12 orang disiasat, disyaki terbabit dalam perjudian haram
(Gambar: SPF)
SINGAPURA: Seorang wanita dan 11 lelaki berusia antara 34 hingga 80 tahun sedang disiasat kerana disyaki terlibat dalam aktivitijudi haram, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Khamis (10 Mac).
Para pegawai dari Divisyen Polis Woodlands menajlankan operasi penguatkuasaan di Marsiling Road, Marsiling Crescent dan Woodlands Street 32 antara 26 Februari dengan 9 Mac.
Tiga lelaki dituduh bertindak sebagai penerima taruhan kepada tujuh orang lagi. Dua daripada tiga lelaki itu juga sedang disiasat kerana tuduhan di bawah Akta Perjudian Jarak Jauh, menurut SPF.
Selain itu, seorang wanita berusia 71 tahun dipercayai telah membeli tiket daripada seorang lelaki, 80 tahun, yang didakwa membantu menjalankan perjudian loteri awam.
Lebih S$470 wang tunai, telefon bimbit dan alat berkaitan berjudi dirampas.
Sesiapa yang didapati bersalah bertindak sebagai penerima taruhan boleh didenda antara S$20,000 hingga S$200,000 dan dipenjara sehingga lima tahun.
Mereka yang didapati bersalah membantu menjalankan perjudian loteri awam boleh didenda antara S$20,000 hingga S$200,000 dan dipenjara sehingga lima tahun.
Sementara itu, mereka yang didapati bertaruh dengan penerima taruhan, atau terlibat dalam perjudian haram jarak jauh, boleh didenda sehingga S$5,000, dipenjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.
"Polis memandang serius terhadap semua jenis kegiatan perjudian haram dan akan terus mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas terhadap pesalah, mengikuti undang-undang," menurut polis.
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melibatkan diri dalam aktiviti sedemikian."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.