Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

12 klinik didakwa bersubahat dengan doktor warga asing; bekerja secara haram lebih 8 tahun

Sebanyak 12 klinik didakwa di mahkamah pada Khamis (29 Jul) atas tuduhan bersubahat dengan seorang doktor warga asing untuk bekerja di cawangan-cawangannya tanpa pas kerja yang sah.

Anggaran Waktu Membaca:
12 klinik didakwa bersubahat dengan doktor warga asing; bekerja secara haram lebih 8 tahun

Gambar fail: Calvin Oh

Diterbitkan : 29 Jul 2021 12:19PM Dikemas Kini : 29 Jul 2021 12:22PM

SINGAPURA: Sebanyak 12 klinik didakwa di mahkamah pada Khamis (29 Jul) atas tuduhan bersubahat dengan seorang doktor warga asing untuk bekerja di cawangan-cawangannya tanpa pas kerja yang sah.

Klinik-klinik tersebut yang terletak di merata Singapura dituduh bersubahat dengan Dr Queck Kian Kheng untuk bekerja tanpa pas kerja yang sah antara Disember 2011 dengan Mei 2019.

Dokumen-dokumen mahkamah menyenaraikan klinik-klinik itu seperti berikut:
Klinik Pacific Family, Klinik My Family (TH), Klinik My Family (RV), Klinik My Family (Hougang Central), Prohealth Medical Group @ LRT Fernvale, Silver Cross Healthcare, Ihealth, Healthway Medical Group, Health 2.0, CMI Lifemed, CMI Health Services dan Avermed.

Cawangan-cawangan di mana Dr Queck dipercayai bertugas sewaktu dia tidak memiliki pas kerja yang sah terletak di: Jurong West, Hougang, Clementi, Sengkang, Woodlands, Punggol, Bedok dan Redhill.

Klinik-klinik itu berdepan antara dua dengan lapan tuduhan setiap satu di bawah Akta Pengambilan Kerja Tenaga Kerja Asing kerana mengambil Dr Queck untuk bekerja di klinik mereka beratus-ratus kali sekalipun dia tidak memiliki pas kerja yang sah.

Dr Queck disenaraikan dalam laman Mount Alvernia sebagai mempunyai klinik sendiri, Pusat Neurologi KK Queck.

Menurut laman SingHealth, dia lulus program perubatan pada 2016. Dia didaftarkan sebagai seorang karyawan perubatan (pakar neurologi) di bawah Majlis Perubatan Singapura, menurut laman itu.

Profilnya di platform jagaan kesihatan online Smarterhealth.sg menyatakan bahawa Dr Queck memperolehi pendidikan dan kelayakannya dari Malaysia dan Britain.

Dokumen-dokumen mahkamah bagaimanapun tidak mendedahkan kerakyatan Dr Queck mahupun bagaimana kesalahan-kesalahan yang terbongkar itu dikesan.

Atas kesalahan-kesalahan di bawah Akta Pengambilan Kerja Tenaga Kerja Asing, klinik-klinik tersebut boleh didenda sehingga S$20,000 bagi setiap tuduhan jika didapati bersalah. 

Sumber : CNA/SM/sm

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa