Skip to main content

Singapura

12 askar SAF cedera selepas kenderaan tempur berperisai Hunter bertembung semasa Latihan Wallaby

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Dua belas anggota kerahan Perkhidmatan Negara cedera selepas dua kenderaan berperisai bertembung semasa Latihan Wallaby, iaitu latihan luar negara satu hala terbesar Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), di Queensland, Australia pada Selasa (24 Sep).

"Pada sekitar 7.40 malam waktu Australia (5.40 petang waktu Singapura), sebuah kenderaan tempur berperisai Hunter, melanggar sebuah lagi kenderaan semasa bergerak pulang ke pangkalan di Kawasan Latihan Shoalwater Bay," menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam kenyataannya.

"Dua belas anggota kerahan SAF mengalami kecederaan ringan dan mereka sudahpun dibawa ke hospital. Mereka sedang menerima rawatan atau sedang beransur pulih.

"Keselamatan dan kesejahteraan anggota kami menjadi keutamaan. SAF sudah mengarahkan jeda keselamatan bagi mengingatkan pemandu untuk mengekalkan jarak yang wajar. MINDEF/SAF berharap anggota kerahan itu cepat sembuh."

Agensi berita Australia 9News melaporkan bahawa insiden itu melibatkan sebuah kereta kebal Australia dan sebuah kereta kebal Singapura.

Anggota yang cedera itu dibawa ke Lapangan Terbang Rockhampton dengan bantuan helikopter tentera dan kemudian dihantar ke hospital melalui ambulans, lapor Daily Mail Australia.

Latihan Wallaby, yang pertama kali dijalankan pada 1990, diadakan di Kawasan Latihan Shoalwater Bay di Queensland.

Edisi tahun ini bermula pada 8 Sep dan akan berlangsung sehingga 3 Nov.

Ia melibatkan sekitar 6,200 kakitangan, termasuk 500 anggota kerahan.

AFV Hunter dibangunkan bersama oleh Agensi Sains dan Teknologi Pertahanan, Tentera Singapura dan ST Engineering.

Pada 2019, ia menggantikan AFV M113 Ultra SAF, yang sudahpun digunakan sejak tahun 1970-an.
Sumber : CNA/IM/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita