119 pelajar raih Anugerah Cemerlang MENDAKI Kepujian Kelas Pertama, tertinggi dalam sejarah anugerah itu
SINGAPURA: Anugerah MENDAKI 2025 mencatat rekod baharu tahun ini dengan jumlah tertinggi bagi penerima Anugerah Cemerlang MENDAKI.
Seramai 119 pelajar menerima anugerah itu yang mengiktiraf graduan universiti dengan Kepujian Kelas Pertama.
Jumlah itu adalah yang tertinggi sejak anugerah itu diperkenalkan pada 1982.
Jumlah itu juga 35 peratus lebih tinggi berbanding 2024.
Secara keseluruhan, sebanyak 529 anugerah disampaikan tahun ini di majlis Anugerah MENDAKI yang diadakan pada Sabtu (11 Okt).
SALIFIAN SULAIMAN VALEDICTORIAN ANUGERAH MENDAKI 2025
Antara penerimanya ialah Valedictorian bagi Anugerah MENDAKI tahun ini, Salifian Sulaiman, 26 tahun, yang diiktiraf dengan Anugerah Gemilang MENDAKI dan Anugerah Cemerlang MENDAKI (Kepujian Kelas Pertama).
Bermula sebagai pelajar di bawah Skim Bantuan Kewangan (FAS), Salifian kini menjadi penerima Biasiswa Rhodes Singapura 2025 dan baru sahaja memulakan pengajian doktor falsafah dalam bidang antropologi dan pengajian penghijrahan di Universiti Oxford.
Memahami cabaran yang dihadapi golongan pelajar FAS, ia dijadikan dorongan untuk Salifian menyumbang kepada masyarakat menerusi inisiatif yang beliau mulakan.
Antaranya badan Kesan Sosial Blossom As One (BAO) semasa pandemik COVID-19 untuk membantu golongan memerlukan serta badan pelajar SALAM di Universiti Nasional Singapura (NUS).
"Ramai murid dalam program (FAS) ini sangat cerdik dan bijak dan boleh berjaya tetapi tidak banyak sumber yang diberikan kepada mereka, serta motivasi yang baik. Sebab itu, saya rasa saya ingin membangunkan murid-murid ini dan memberikan mereka peluang yang saya diberikan," kongsi Salifian kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
"Di NUS pula, saya memulakan Kumpulan 'Interfaith' atau berbilang kepercayaan kerana saya rasa orang Melayu/Islam sangat kurang diwakili dalam program-program NUS yang tertinggi dan saya rasa dengan berkongsi budaya kita, apa yang kita meraikan dan agama kita, saya rasa itu boleh membangunkan diri kita agar kita faham sesama kita dan ini boleh membuat kita maju ke hadapan," tambah beliau.
INGIN SUMBANG MASA, IDEA, KAJIAN BANGUNKAN MASYARAKAT MELAYU/ISLAM
Di NUS, Salifian menerima Kepujian Tertinggi dalam pengajian Sejarah dan di Universiti Waseda di Jepun pula, penuntut bidang Pengajian Liberal Antarabangsa itu pernah tersenarai dalam Senarai Dekan sebanyak dua kali.
"Anugerah ini adalah satu permulaan untuk saya memberikan lebih banyak masa, idea dan kajian saya untuk masyarakat Melayu/Islam di Singapura," katanya.
"Pada masa hadapan, saya mesti menyumbang kembali kepada masyarakat Melayu/Islam dan saya ada impian yang saya ingin membangunkan masyarakat Melayu/Islam terutamanya generasi muda kita," tambahnya lagi.
INGIN BANTU PELAJAR SG DAPATKAN MAKLUMAT TENTANG PENGAJIAN UNIVERSITI DI LUAR NEGARA
Segala kejayaan yang dicapai adalah hasil bimbingan dan sokongan ramai, menurut Salifian lagi.
"Yang penting adalah untuk membuat banyak refleksi dan muhasabah diri. Saya rasa dengan itu, saya boleh beri tumpuan kepada keutamaan-keutamaan yang penting untuk saya pada masa itu. Saya juga rasa nasihat-nasihat yang diberikan kepada saya dari ibu bapa, guru dan kawan-kawan saya adalah penting," ujar Salifian.
Kini, beliau sedang membangunkan satu projek untuk memudahkan pelajar tempatan mendapat akses kepada maklumat tentang biasiswa dan universiti luar negara seperti Harvard, Oxford dan Cambridge.
“Ramai orang yang bertanya kepada saya bagaimana untuk memohon tetapi tidak ada banyak maklumat di Internet. Jadi sebab itu, saya melanjutkan projek ini. Insya-Allah tahun depan kita ada laman web untuk menyebarkan informasi ini,” jelasnya.
Beliau juga berharap anak muda hari ini tidak lupa akan identiti mereka sebagai Melayu/Islam serta sokongan yang sudah disediakan kepada mereka untuk berjaya.
Salifian antara 119 pelajar yang diiktiraf dengan Anugerah Cemerlang MENDAKI.
ALIFAH ILYANA JAMAL INGIN GUNA MINAT DALAM SAINS DAN PERUBATAN BANTU MASYARAKAT
Seorang lagi penerima anugerah ialah Alifah Ilyana Jamal, 21 tahun, yang diiktiraf dengan Anugerah Gemilang MENDAKI, Anugerah Pencapaian Akademik dan Anugerah MENDAKI, atas kecemerlangan bukan hanya dalam bidang akademik tetapi juga kepimpinan dan khidmatnya kepada masyarakat.
Perjalanan Alifah 'berbeza' sedikit.
Daripada pengajian di maktab rendah buat setahun, Alifah membuat peralihan ke Politeknik Temasek di mana muncul rasa minat terhadap bidang kajian.
Di sini juga, Alifah terdorong untuk menyumbang dengan bermakna dalam bidang sains dan perubatan untuk membantu masyarakat.
"Peralihan saya dari maktab rendah kepada Politeknik bukan sesuatu yang mudah. Saya perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baharu tetapi saya rasa dengan minat saya dalam bidang sains, dan juga sokongan guru, ibu bapa dan juga rakan-rakan saya, ia telah membuat peralihan itu lebih mudah buat diri saya," kongsi Alifah kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
INGIN BERI INSPIRASI KEPADA PELAJAR MELAYU/ISLAM CEBURI BIDANG SAINS DAN PERUBATAN
Anugerah yang diterima itu bahkan menjadi dorongan baginya meneruskan usaha untuk menyumbang kepada masyarakat.
Mahasiswa NUS dalam Sekolah Perubatan Yong Loo Lin itu berharap dapat menjadi seorang saintis-klinisian untuk memperbaiki kehidupan masyarakat.
"Alhamdulillah, saya amat bersyukur menerima anugerah ini dan saya harap perjalanan saya akan memberi inspirasi kepada pelajar Melayu/Islam untuk menceburi bidang sains dan perubatan juga," ujar Alifah.
"Saya minat dalam bidang sains dan juga perubatan kerana saya rasa saya dapat membantu masyarakat saya dalam industri ini dan saya harap pada masa hadapan, selepas saya tamat pelajaran saya, saya meraih peluang untuk menceburi bidang kajian kerana saya rasa saya boleh memperbaiki kualiti hidup masyarakat dalam badan kajian," tambahnya.
ARI ZULHAKIM ANTARA YANG DIIKTIRAF DALAM ANUGERAH MENDAKI ATAS PENCAPAIAN BUKAN AKADEMIK
Selain dalam bidang akademik, Anugerah MENDAKI juga mengiktiraf pelajar yang cemerlang dan sudah menerima anugerah di peringkat nasional, serantau atau antarabangsa dalam bidang-bidang bukan akademik.
Antaranya ialah atlet sukan menyelamat di air atau 'lifesaving', Ari Zulhakim Mohamed Azman,
20 tahun, yang menerima Anugerah Pencapaian Khas untuk Kecemerlangan (SAAE).
Pelajar Pengurusan Kulinari dan Katering di Politeknik Temasek itu mengambil langkah berani untuk memulakan perjalanan dalam sukan yang belum diketahui ramai itu tahun lalu, dengan sokongan ibu yang menjadi sumber inspirasinya.
"Saya ingin tahu lebih lanjut tentang sukan ini kerana ia tidak begitu dikenali di seluruh dunia. Jadi saya memutuskan untuk menyertai sukan 'lifesaving' supaya saya boleh mengajak semua orang untuk menyertai sukan 'lifesaving' ini, kerana ada di antara mereka di luar sana, para perenang, yang tidak mahu lagi meneruskan berenang. Jadi mungkin sukan ini boleh menjadi sesuatu yang mereka boleh teruskan, kerana terdapat banyak cabang daripada sukan renang yang mereka boleh ceburi seperti renang berirama, renang sirip dan renang menyelamatkan di air," ujar Ari.
HARAP DAPAT WAKILI SG DALAM SUKAN 'LIFESAVING' DI SUKAN OLIMPIK 2032
Pada 2024, Ari mewakili Singapura di bawah pasukan Pacific Swim Team dalam Cabaran Sukan Penyelamatan Air Antarabangsa ke-7 yang berlangsung di Kuala Lumpur di mana beliau berjaya merangkul pingat emas dalam kategori terbuka Lelaki 'Manikin Carry'.
Dengan anugerah itu, Ari bersemangat dan menaruh harapan untuk mewakili Singapura di persada antarabangsa dalam Sukan Olimpik 2032 di Brisbane di mana sukan itu buat pertama kalinya dipertandingkan sebagai sebagai sukan Olimpik.
Ari berkata: "Apabila saya menerima anugerah ini, saya rasa saya sangat bangga dengan diri saya kerana ibu bapa saya, yang melihat saya di atas pentas itu, tahu bahawa saya boleh melakukan yang baik dalam sukan 'lifesaving' dan saya percaya bahawa mereka akan terus menyokong saya."
"Saya sebenarnya mendapat motivasi oleh abang kedua saya, Ardi Azman. Dia sebenarnya yang memberikan motivasi kepada saya, kerana dia mengambil bahagian dalam Sukan SEA tahun ini di Bangkok dan dia juga menyasarkan untuk ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028."
"Apabila saya melihat dia di luar sana, saya juga mahu melihat diri saya di luar sana. Saya sebenarnya boleh membayangkan diri saya berada di situ juga. Walaupun ia sangat sukar bagi saya untuk untuk saya menyertai Sukan SEA dalam sukan renang kerana ia sangat kompetitif, saya (rasa) saya boleh beralih ke sesuatu yang lain, seperti 'lifesaving', untuk membantu saya memenangi pingat bagi Singapura," tambah Ari.
GENERASI MUDA PERLU SIAPKAN DIRI UNTUK DUNIA AI
Dalam ucapannya, tetamu kehormat iaitu Menteri Kesihatan merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, Ong Ye Kung menekankan pentingnya untuk mempersiapkan generasi muda menghadapi dunia dengan Kecerdasan Buatan (AI).
Namun begitu, adalah penting untuk memastikan para pelajar tidak terlalu bergantung kepada AI sehingga hilang kemahiran asas untuk berkomunikasi.
"Kita perlu mempersiapkan anak muda kita dengan lebih baik untuk menghadapi dunia yang dibentuk oleh AI, yang akan menjadi sesuatu yang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan mereka. Para pendidik kita perlu berupaya memanfaatkannya dalam pengajaran, serta membimbing para pelajar menggunakan AI dengan wajar dan bertanggungjawab," ucap Encik Ong.
"Kita mesti belajar menggunakan AI untuk memperkaya minda kita, mengurangkan kerja keras yang berulang-ulang, dan mempertingkatkan keupayaan kita. Pada masa yang sama, kita mesti memastikan agar para pelajar tidak menjadi terlalu bergantung kepada AI sehingga kita kehilangan kemahiran asas sebagai manusia untuk berkomunikasi, untuk mencuba melakukan kesilapan, belajar dan menguasai sesuatu kemahiran dan sedang kita mendakap teknologi, sentuhan kemanusiaan, empati, kreativiti dan pemikiran kritis perlu kekal tanpa diganti," tambah beliau.
PEMBANGUNAN HOLISTIK PELAJAR PENTING; BERTERAS MERITOKRASI YANG LUAS, BERPERIKEMANUSIAAN UNTUK SG
Pembangunan menyeluruh para pelajar juga perlu dititikberatkan terutama kesihatan mental dan kesejahteraan mereka iaitu asas kepada pembelajaran dan kehidupan yang bermakna, menurut Encik Ong.
"Hari ini, golongan muda membesar dengan peranti pintar. Namun, ini memberi kesan yang mendalam terhadap perkembangan sosio-emosi mereka dan bagaimana mereka melihat diri mereka sendiri dan berinteraksi dengan orang lain. Sekolah, keluarga dan masyarakat perlu berganding bahu untuk menyokong minda anak muda kita."
Encik Ong turut menekankan kepentingan untuk memberi sokongan berterusan kepada pelajar supaya mereka dapat mencapai potensi sepenuhnya, tanpa mengira latar belakang atau titik permulaan masing-masing.
"Mewujudkan pelbagai laluan menuju kejayaan dalam sistem pendidikan kita ialah utama dalam usaha membantu rakyat Singapura mencapai potensi sepenuhnya, serta memastikan meritokrasi yang luas, dan berperikemanusiaan terus berfungsi untuk Singapura," ujar Encik Ong.
Beliau juga menyatakan komitmen pemerintah untuk terus mempertingkatkan sokongan kepada pelajar daripada latar belakang berbeza termasuk mereka yang boleh meraih manfaat daripada Pendidikan Khas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.