117 individu disuntik dos lebih rendah vaksin COVID-19 akibat kesilapan di Poliklinik Bukit Merah
Lebih 100 orang yang menerima suntikan vaksin COVID-19 di Poliklinik Bukit Merah tersilap diberi jumlah dos vaksin yang lebih rendah, menurut SingHealth yang mengendalikan poliklinik itu pada Ahad (24 Okt).
(Gambar: CNA)
SINGAPURA: Lebih 100 orang yang menerima suntikan vaksin COVID-19 di Poliklinik Bukit Merah tersilap diberi jumlah dos vaksin yang lebih rendah, menurut SingHealth yang mengendalikan poliklinik itu pada Ahad (24 Okt).
Seramai 111 pesakit dan enam kakitangan yang menjalani vaksinasi dari 20 Oktober hingga 22 Oktober terjejas oleh insiden itu.
Mereka menerima "jumlah dos vaksin yang lebih rendah" iaitu sekitar 10 peratus daripada dos yang disarankan, menurut SingHealth dalam satu kenyataan media.
"Kejadian itu berlaku disebabkan oleh kesilapan dalam mengenal pasti tanda yang betul pada picagari baru yang diperkenalkan baru-baru ini di klinik itu," menurut kumpulan jagaan kesihatan berkenaan.
Selepas kejadian itu dikesan, tindakan segera diambil bagi mengenal pasti tahap kesilapan itu dan menghubungi pesakit yang terjejas, menurut SingHealth.
Kesemua pesakit yang terjejas sudah dihubungi dan aturan dibuat bagi mereka mendapatkan vaksin pada "dos pengganti sepenuhnya" di poliklinik SingHealth secepat mungkin, menurut syarikat itu.
"Berdasarkan garis panduan vaksinasi sedia ada oleh Kementerian Kesihatan, kami ingin memberi jaminan kepada semua pesakit yang terjejas bahawa dos rendah itu tidak mungkin menyebabkan sebarang kesan sampingan buruk, dan ia selamat secara klinikal bagi mereka untuk mendapatkan dos pengganti vaksin COVID-19," menurut SingHealth.
Sebagai langkah berjaga-jaga, semua pesakit yang terjejas akan diperiksa oleh seorang doktor sebelum diberikan dos pengganti, menurut syarikat itu.
"Siasatan kami juga mengesahkan bahawa ini adalah kejadian terpencil, dan semua operasi vaksinasi dan khidmat lain di poliklinik kami tidak terjejas," menurut kumpulan itu, sambil menambah bahawa langkah-langkah sudah diambil bagi mengelakkan kejadian serupa daripada berulang di polikliniknya.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Poliklinik SingHealth Adrian Ee meminta maaf atas "kesulitan dan keresahan" yang dialami oleh pesakit yang terjejas dan anggota keluarga mereka.
"Kami akan mengambil semua langkah yang perlu bagi menangani keprihatinan mereka dan memudahkan mereka mendapatkan vaksinasi pengganti COVID-19 secepat mungkin," kata Dr Ee.
Menurutnya, langkah segera diambil bagi membetulkan kesilapan itu dan kakitangan diingatkan tentang penggunaan betul picagari baru itu dalam memberi vaksin COVID-19.
"Kami juga ingin memberi jaminan kepada pesakit bahawa kami sudah menyemak sepenuhnya proses kami dan akan memastikan kakitangan maklum tentang penggunaan alat-alat yang baru ini," kata Dr Ee.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.