1,100 kambing dan biri-biri selamat tiba di 3 masjid
This audio is generated by an AI tool.
SINGAPURA: Kesemua 1,100 haiwan korban oleh Syarikat Aliyah Rizq Holding Pte Ltd selamat tiba di Singapura pada sekitar pukul 2.00 pagi, Selasa (26 Mei).
Haiwan korban tersebut terdiri daripada 900 biri-biri, dan 200 kambing dari Australia.
Ia kemudian dihantar ke lima lokasi, iaitu Masjid Al-Istighfar, Masjid Omar Salmah, Masjid Tentera Diraja, PERTAPIS dan Persatuan Muhammadiyah.
Menurut Naib Presiden Pembangunan Perniagaan Aliyah Rizq, Mohammad Rezwan Amat, proses pemindahan dari Pusat Cargo Udara Changi berjalan dengan lancar.
MAJLIS AQIQAH DIMULAKAN DULU
Semasa kunjungan BERITA Mediacorp ke Masjid Omar Salmah pagi tadi, sebanyak 17 haiwan korban sudah disembelih bagi ibadah aqiqah.
Antara mereka yang melakukan aqiqah pada tahun ini ialah Cik Siti Hajar Osman.
Bagi dirinya, peluang untuk menyaksikan sendiri proses aqiqah membawanya kembali ke zaman kanak-kanaknya.
"Ia peluang yang baik kerana sudah lama saya tidak tengok korban, kali terakhir saya lihat korban adalah semasa saya kecil," katanya.
Bagi bapanya pula, Encik Osman Razak, dia bersyukur dapat melaksanakan ibadah itu untuk cucunya meskipun harga menjalankan aqiqah di Singapura agak tinggi.
Menurut tinjauan BERITA Mediacorp di akaun media sosial Aliyah Rizq sehingga artikel ini diterbitkan, harga korban untuk seekor kambing dan kambing biri-biri dari Australia berharga S$597.
"Tapi kalau diberi peluang, kalau banyak lagi masjid-masjid dibenarkan, saya rasa ramai lagi orang yang masih boleh melakukannya," tambahnya lagi.
TUNGGU SEHINGGA 1 JAM 45 MINIT ESOK UNTUK DAGING KORBAN
Bagi ibadah korban pada Hari Raya Aidiladha esok (27 Apr), Encik Rezwan menjangkakan setiap sohibul korban perlu menunggu sekitar satu jam 45 minit untuk mendapatkan daging korban masing-masing.
Namun, tempoh itu juga bergantung kepada kelancaran operasi serta tenaga para relawan yang membantu sepanjang proses penyembelihan dan pengagihan.
"Contohnya pada waktu Zohor, di mana mereka berehat untuk makan tengah hari, ia mungkin mengambil masa lebih lama tetapi kami akan lakukan yang terbaik untuk mengagihkan daging korban pada masa yang sama seperti sebelum ini," kata Encik Rezwan.
Aliyah Rizq juga akan memperkenalkan sistem pemantauan secara langsung.
Ia bertujuan untuk memperkemas operasi ibadah korban, di mana setiap stesen, daripada pendaftaran sohibul korban sehinggalah pengagihan daging kepada mereka, akan dipantau dalam masa nyata.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.