Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

11 suspek diberkas; dadah bernilai S$1.2 juta termasuk 3kg Ice dirampas

Para pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) memberkas 11 orang yang disyaki adalah pesalah dadah dan merampas pelbagai dadah melalui operasi berbilang lokasi yang dilancarkan minggu ini, menurut biro itu pada Jumaat (9 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
11 suspek diberkas; dadah bernilai S$1.2 juta termasuk 3kg Ice dirampas

(Gambar: CNB)

Diterbitkan : 09 Oct 2020 06:41PM Dikemas Kini : 09 Oct 2020 06:49PM

SINGAPURA: Para pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) memberkas 11 orang yang disyaki adalah pesalah dadah dan merampas pelbagai dadah melalui operasi berbilang lokasi yang dilancarkan minggu ini, menurut biro itu pada Jumaat (9 Okt).

Operasi CNB di Jalan Selamat pada Rabu membawa kepada serbuan di empat lokasi lain, di mana para pegawai CNB merampas dadah yang dianggarkan bernilai sekitar S$1.2 juta.

Dadah tersebut termasuk sekitar 3.6 kilogram Ice, 265 gram heroin, 910 gram ganja, 398 gram ketamin, 76 pil Ecstasy dan 555 pil Erimin-5, menurut CNB dalam kenyataan medianya.

Tujuh lelaki dan empat wanita, berusia 20 tahun hingga 54 tahun, diberkas dalam operasi tersebut dan siasatan terhadap kegiatan dadah mereka sedang dijalankan.

5 INDIVIDU DIBERKAS DI JALAN SELAMAT

Pada Rabu malam, para pegawai CNB memberkas seorang lelaki dan seorang wanita, kedua-duanya berusia 26 tahun, berdekatan Jalan Selamat di Kembangan.

Ice sekitar 400 gram dan 20 pil Ecstasy dijumpai dalam kenderaan yang dipandu lelaki itu.

Lelaki itu dibawa ke sarang dadah di mana lebih banyak Ice dan pil Erimin-5 dijumpai.

Para pegawai memberkas tiga suspek - dua lelaki berusia 26 tahun dan 22 tahun dan seorang wanita berusia 24 tahun - dalam unit yang sama dengan sarang dadah tersebut.

Sebelum mereka diberkas, satu bungkusan dipercayai dibuang dari tingkap, menurut CNB.

Para pegawai kemudian menjumpai bungkusan itu, yang mengandungi sekitar 545 gram Ice. Mereka juga menjumpai Ice, ganja, pil Ecstasy dan wang tunai bernilai S$13,780 di dalam bilik di mana ketiga-tiga suspek itu diberkas.

Empat paket yang mengandungi sekitar 20 gram Ice juga dijumpai di dalam kenderaan yang dipandu oleh lelaki berusia 26 tahun yang turut diberkas di dalam bilik itu.

6 INDIVIDU DIBERKAS DALAM OPERASI SUSULAN

Dalam operasi susulan pada pagi Khamis, para pegawai CNB menyerbu sebuah kediaman di kawasan Lorong Limau berdekatan Whampoa.

Para pegawai memberkas seorang lelaki berusia 47 tahun dan seorang wanita berusia 20 tahun. Sekitar 599 gram Ice, termasuk ganja, ketamin, Ecstasy dan pil Erimin-5, dirampas daripada kediaman itu.

Lewat hari itu, para pegawai memberkas seorang lelaki berusia 54 tahun berdekatan Tampines Street 86 dan menjumpai pil Erimin-5 pada lelaki tersebut.

Para pegawai juga menyerbu sebuah unit berdekatan Aljunied Crescent, di mana mereka memberkas seorang lelaki berusia 34 tahun dan seorang wanita berusia 28 tahun dan merampas pelbagai jenis dadah.

Apabila basikal milik lelaki itu digeledah, lebih 1 kilogram Ice dan sekitar 398 gram ketamin ditemui.

Kedua-dua lelaki itu yang berusia 54 tahun dan 34 tahun dipercayai mempunyai kaitan dengan dua pesalah dadah yang diberkas berdekatan Lorong Limau di Whampoa pada awal Khamis, menurut CNB.

Pada petang Khamis, satu lagi operasi susulan membawa kepada penangkapan seorang lelaki berusia 28 tahun di sebuah bilik hotel berdekatan Upper Weld Road di Little India.

Dia memilki heroin seberat 0.3 gram.

Apabila bilik hotelnya digeledah, 265 gram heroin dan 157 gram Ice serta ganja, Ecstasy dan pil Erimin-5 dijumpai.

Wang tunai bernilai S$2,004 dan pelbagai peralatan dadah juga dijumpai di dalam bilik hotel itu.

Jumlah keseluruhan Ice yang dirampas dalam serbuan itu, iaitu sekitar 3.6 kilogram, boleh menampung ketagihan sekitar 2,100 penagih dadah selama seminggu, menurut CNB. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan