Skip to main content

Singapura

11 suspek dalam pergaduhan di Orchard Road dibawa ke tempat kejadian di Hotel Concorde

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: 11 lelaki disyaki terlibat dalam pergaduhan yang menyebabkan kematian seorang lelaki, diiringi oleh para pegawai polis ke tempat kejadian di Orchard Road pada Ahad (27 Ogos).

Di antara mereka adalah Asvain Pachan Pillai Sukumaran, 29 tahun, yang didakwa atas tuduhan membunuh Encik Mohammad Isrrat Mohd Ismail awal minggu ini.
Berpakaian baju polo merah, seluar pendek biru dan selipar, Asvain tiba pada kira-kira 9.00 pagi di dalam van tidak bertanda dan dibawa ke Pusat Beli-Belah dan Hotel Concorde. Beberapa bahagian kawasan itu dikepung.

10 suspek lain tiba tidak lama kemudian.

Pegawai polis berpakaian biasa mengiringi Asvain dan kumpulan itu berhenti di tangga untuk beberapa minit sebelum ke bahagian depan bangunan tersebut.

Dia kemudian dibawa ke dalam hotel, di mana pihak media tidak dibenarkan masuk.

Asvain kemudian keluar dari pintu masuk utama dan dibawa ke bahagian depan beberapa kedai.

Dia dilihat menunjukkan ke lantai dan bercakap menggunakan seorang jurubahasa. Dia meninggalkan lokasi pada 9.17 pagi.

Selain Asvain, sembilan lelaki didakwa atas kesalahan merusuh dengan senjata berbahaya.

Seorang lagi lelaki, iaitu individu ke-11 terkait dengan insiden itu, didakwa menyebabkan kecederaan secara sukarela menggunakan senjata berbahaya.

Kesemua lelaki terbabit akan ke mahkamah minggu depan.

Jika didapati bersalah, Asvain mungkin dijatuhi hukuman mati.

Kesalahan merusuh sambil menggunakan senjata berbahaya membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan rotan.

Hukuman menyebabkan kecederaan dengan sengaja menggunakan senjata adalah hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda, sebatan rotan, atau mana-mana gabungan hukuman tersebut.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita