Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

11 stesen MRT baru Laluan Thomson-East Coast dibuka pada separuh kedua 2022

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 09 Mar 2022 02:38PM Dikemas Kini : 09 Mar 2022 08:48PM

SINGAPURA: Sebanyak 11 lagi stesen Laluan Thomson-East Coast (TEL) dijangka memulakan perkhidmatannya pada separuh kedua tahun ini, umum Menteri Pengangkutan S Iswaran di Parlimen pada Rabu (9 Mac).

"Ini akan menghubungkan penduduk di bahagian utara secara langsung ke banyak destinasi di bandar dan memendekkan masa perjalanan dengan ketara. Mereka yang tinggal atau bekerja berhampiran stesen-stesen baru seperti Great World, Maxwell dan Shenton Way akan mempunyai sambungan terus ke seluruh rangkaian MRT," kata beliau semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan kementeriannya.

Sebaik sahaja TEL siap sepenuhnya, lebih 240,000 keluarga akan berada dalam jarak 10 minit perjalanan kaki dari stesen laluan itu.

LEBIH BANYAK STESEN MERT DIBUKA

Pada 2026, tiga stesen akan ditambah antara stesen Harbourfront dengan stesen Marina Bay, sekali gus menutup gelung Laluan Circle.

Kemudian, 24 stesen di Laluan Daerah Jurong (JRL) dijangka siap mulai 2027. JRL berkhidmat di bahagian utara-barat Singapura, menghubungkan bandar-bandar seperti Choa Chu Kang, Tengah dan Jurong ke Universiti Teknologi Nanyang (NTU), tambah Encik Iswaran.

Mulai 2030 pula, Laluan Rentas Pulau (CRL) diunjurkan selesai dalam beberapa peringkat.

Peringkat pertama meliputi stesen-stesen dari Aviation Park ke Bright Hill serta peluasan dengan tiga stesen dari Elias ke Punggol, kata Encik Iswaran.

Peringkat kedua akan diperluaskan lanjut di sebelah barat, merangkumi kawasan seperti Turf City, Sunset Way, Clementi, West Coast dan Daerah Tasik Jurong.

PENGANGKUTAN AWAM INKLUSIF

Perubahan juga akan dilakukan pada pengangkutan awam Singapura untuk menjadikannya lebih mudah diakses oleh tiga golongan penumpang - keluarga dengan anak kecil, penumpang yang pekak atau kurang daya pendengaran serta mereka yang menghidapi demensia.

Peningkatan itu bertujuan untuk mewujudkan sebuah pengalaman perjalanan lebih inklusif bagi sistem pengangkutan awam, umum Setiausaha Parlimen Kanan Pengangkutan Baey Yam Keng.

Bilik Jagaan Bayi akan disediakan di semua stesen Laluan Daerah Jurong dan Laluan Rentas Pulau selain di pusat pertukaran bas baru untuk para ibu bapa dan penjaga yang membuat perjalanan bersama bayi serta anak-anak kecil.

Bilik-bilik itu akan menyediakan "ruang peribadi" bagi ibu yang menyusu serta ibu bapa yang perlu menjaga bayi mereka, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam satu kenyataan media.

Buat masa ini, semua stesen pertukaran di TEL dan 60 peratus pusat pertukaran bas dilengkapi dengan Bilik Jagaan Bayi.

SOKONGAN UNTUK PENUMPANG PEKAK, KURANG DAYA PENDENGARAN

Untuk membantu penumpang yang pekak atau kurang daya pendengaran untuk berhubungan dengan kakitangan pengangkutan awam, pusat perkhidmatan penumpang di semua stesen MRT baru - bermula dengan TEL - akan dilengkapi dengan sistem peningkatan pendengaran.

Pusat perkhidmatan pelanggan di pusat pertukaran bas sedia ada yang sedang menjalani kerja naik taraf serta yang dibina dari tahun 2019 turut akan dilengkapi dengan sistem peningkatan pendengaran.

Selain itu, sebuah "alat komunikasi visual" - yang dibangunkan oleh LTA dengan kerjasama Persatuan Orang Pekak Singapura, Penguasa Bangunan dan Binaan serta pengendali pengangkutan awam - akan dilancarkan di semua stesen MRT dan pusat pertukaran bas menjelang hujung tahun ini.

LEBIH BANYAK LOKASI 'GO-TO-POINTS'

LTA juga sedang bekerjasama dengan pengendali pengangkutan awam untuk menyenaraikan semua nadi pengangkutan awam sebagai lokasi untuk menemukan para individu dengan demensia bersama dengan penjaga mereka (Dementia Go-To-Points), menjelang hujung 2022.

Kakitangan pengangkutan awam yang ditempatkan di lokasi sedemikan sudah dilatih untuk membantu insiden terpisah seumpama itu.

Inisiatif itu pertama kali dilancarkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) dan disokong oleh Agensi Jagaan Bersepadu (AIC) serta rakan kongsi masyarakat.

Jika anggota masyarakat ternampak individu dengan demensia yang hilang arah dan memerlukan bantuan, mereka boleh membawa individu itu ke tempat rujukan tersebut di mana para kakitangan akan kemudian menghulurkan bantuan.

Buat masa ini, sekitar 54 nadi pengangkutan awam - termasuk stesen MRT dan LRT, pusat pertukaran bas dan hab pengangkutan bersepadu - sudahpun ditetapkan sebagai lokasi 'Go-To-Points'.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan