Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

11 stesen di laluan Thomson-East Coast dibuka 13 Nov

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sebelas stesen MRT di laluan Thomson-East Coast (TEL) akan dibuka rasmi kepada penumpang pada 13 November.

Demikian diumumkan oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) hari ini (7 Okt).

Dengan laluan sepanjang 13.2 kilometer, stesen-stesen tersebut ialah Stevens, Napier, Orchard Boulevard, Orchard, Great World, Havelock, Outram Park, Maxwell, Shenton Way, Marina Bay dan Gardens by the Bay.

Empat daripadanya adalah stesen pertukaran MRT. Secara keseluruhannya, ia menghubungkan para penumpang TEL dengan semua laluan MRT sedia ada, menurut LTA dalam kenyataan media.

Stesen Stevens menghubungkan penumpang dengan Laluan Downtown manakala stesen Orchard akan menyediakan sambungan ke Laluan Laluan Utara-Selatan (NSL).

Stesen Outram Park dan Marina Bay kedua-duanya adalah pusat pertukaran bagi tiga laluan, dengan Outram Park menghubungkan penumpang dengan Laluan Timur Barat (EWL) dan Laluan Utara Timur (NEL), manakala Marina Bay dihubungkan dengan Laluan Utara Selatan dan Laluan Circle.

PERJALANAN PERCUMA PADA 11 NOVEMBER

Satu acara pembukaan akan diadakan pada 11 November dan para penumpang boleh melakukan perjalanan percuma di stesen-stesen baru tersebut dari pukul 10.00 pagi hingga pukul 9.00 malam pada hari itu.

Menurut LTA, kegiatan-kegiatan lain akan diadakan sempena pembukaan peringkat terbaru TEL dan ini akan diumumkan di media sosial.

Semua 11 stesen itu adalah di bawah Peringkat 3 TEL. Lagi dua stesen di bawah Peringkat 3 - Mount Pleasant dan Marina South - akan dibuka hanya selepas pembinaan perumahan di sana sudah siap.

Peringkat 2, yang terdiri daripada enam stesen dari Springleaf hingga Caldecott, memulakan khidmat penumpang pada Ogos 2021, menambah lagi tiga stesen di Woodlands yang dibuka dalam Peringkat 1 pada 2020.

Dengan stesen-stesen terbaru itu, lebih 180,000 keluarga akan berada sekitar 10 minit perjalanan dari salah satu daripada 18 stesen TEL. Laluan itu dari Woodlands North hingga Gardens by the Bay.

"(Para penumpang) boleh menjangkakan tempoh perjalanan lebih singkat sekitar 40 peratus," menurut LTA. "Misalnya, penduduk Bright Hill yang melakukan perjalanan ke Taman di Pesisiran akan mengambil masa 40 minit melalui TEL berbanding sekitar 65 minit sekarang.

Keseluruhan TEL - yang terdiri daripada 32 stesen dengan lapan pusat pertukaran - pada awalnya dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2024. Sekalipun demikian, garis masa yang sudah ditetapkan ditangguhkan.

Pembukaan Peringkat 2, misalnya, dilengahkan dua kali. Yang pertama disebabkan pandemik COVID-19. Yang kedua, selepas LTA menjalankan semakan sistem menyusuli gangguan lima jam di laluan tersebut pada Disember 2020 disebabkan masalah isyarat.

Peringkat 4, yang terdiri daripada lapan stesen seperti Tanjong Katong, Marine Parade dan Siglap, dijangka dibuka pada 2024. Peringkat 5, yang terdiri daripada stesen Bedok South dan Sungei Bedok, akan dibuka pada 2025.
Sumber : CNA/NK/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan