Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

11 pemegang pas kerja dalam industri ICT serah sijil kelayakan palsu sepanjang 3 tahun lalu

Sebanyak 11 pemegang Pas Pekerjaan (EP) dan Pas S yang bekerja dalam industri Teknologi Infokom (ICT) didapati menyerahkan sijil kelayakan palsu kepada Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dari 2018 hingga 2020, dedah Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng pada Isnin (2 Ogos). 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 02 Aug 2021 07:31PM Dikemas Kini : 02 Aug 2021 11:45PM

SINGAPURA: Sebanyak 11 pemegang Pas Pekerjaan (EP) dan Pas S yang bekerja dalam industri Teknologi Infokom (ICT) didapati menyerahkan sijil kelayakan palsu kepada Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dari 2018 hingga 2020, dedah Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng pada Isnin (2 Ogos).

Pas kerja mereka ditarik balik dan mereka dilarang bekerja di Singapura buat selama-lamanya.

Dr Tan menjawab soalan-soalan parlimen yang diajukan oleh Anggota Parlimen (AP) Gan Thiam Poh (PAP-Ang Mo Kio) yang bertanya berapa ramai pemegang EP dan Pas S dalam industri ICT menyerahkan sijil kelayakan pendidikan yang palsu sepanjang tiga tahun lalu.

Beliau juga ingin tahu jika MOM menyemak dan bekerjasama hanya dengan institusi pendidikan luar negara yang berwibawa dengan reputasi baik bagi kelulusan permohonan pas kerja.

Dr Tan berkata semua majikan memikul tanggungjawab utama untuk memastikan ketulenan dan mutu sijil kelayakan calon mereka ketika membuat permohonan pas kerja.

MOM juga menjalankan pemeriksaan tambahan dengan memeriksa sijil kelayakan yang diserahkan melalui pangkalan data institusi dan ia akan menolak permohonan dengan sijil kelayakan palsu atau tidak diiktiraf.

"Pangkalan data ini kerap disemak menerusi pemeriksaan laporan sumber terbuka kami dan penyelidikan daripada pertubuhan pemeriksaan pihak ketiga," menurut Dr Tan.

"Bagi permohonan yang mengandungi sijil kelayakan dari insitusi bukan dalam pangkalan data kami, majikan dikehendaki menyerahkan bukti pengesahan daripada pertubuhan pemeriksaan pihak ketiga untuk memastikan sijil kelayakan yang diserahkan itu diiktiraf."

Beliau menambah MOM mengambil "pendirian tegas" terhadap orang asing yang menyerahkan sijil kelayakan palsu untuk mendapatkan pas kerja.

MOM juga boleh mendakwa pesalah atas pernyataan palsu di bawah Akta Pengambilan Kerja Tenaga Kerja Asing, yang membawa denda sehingga S$20,000, penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Bulan lalu, dua pemegang pas kerja dipenjara kerana menyerahkan sijil kelayakan palsu dari Universiti Manav Bharti. Seorang lagi didakwa manakala 19 lain yang memegang ijazah dari universiti berkenaan sudahpun dilarang secara tetap daripada bekerja di Singapura.

Sebelum ini, MOM menyatakan bahawa sepanjang lima tahun lalu, purata 660 warga asing dilarang bekerja di Singapura pada setiap tahun kerana menyerahkan sijil kelayakan pendidikan palsu dalam permohonan pas kerja mereka.

PEMEGANG PAS KERJA BUAT NGOTEM

Kementerian itu juga memberi respons kepada satu lagi soalan oleh AP Louis Chua (WP-Sengkang) tentang bagaimana ia menguatkuasakan sekatan ke atas pemegang pas kerja yang bekerja sambilan lain selain majikan mereka.

Encik Chua ingin tahu jumlah tahunan kes pemegang pas kerja yang didapati bekerja untuk lebih daripada satu majikan pada satu-satu masa sepanjang lima tahun lalu dan hukuman bagi kedua-dua majikan serta pekerja.

Beliau juga bertanya dalam satu soalan tambahan tentang bagaimana proses MOM sudah berubah dalam tempoh lima tahun lalu.

"Satu contoh baru-baru ini adalah kelompok KTV di mana sebilangan daripada mereka sudahpun melakukan kesalahan di bawah Akta Pengambilan Kerja Tenaga Kerja Asing," ujar beliau.

Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia Koh Poh Koon berkata antara 2016 hingga 2020, MOM mengeluarkan amaran kepada purata 160 pemegang pas kerja setiap tahun yang diambil bekerja secara haram.

"Kesemua mereka dilarang bekerja di Singapura," kata Dr Koh.

MOM menerima aduan, maklumat dan rujukan daripada anggota awam serta agensi awam tentang pemegang pas kerja yang mungkin bekerja secara haram, kata Dr Koh.

Ia juga menjalankan pemeriksaan berdasarkan analisis dan pencetus kementerian untuk mengesan kemungkinan pengambilan kerja secara haram pemegang pas kerja, tambah beliau.

Pemegang pas kerja yang diambil kerja secara haram boleh didenda sehingga S$20,000, dipenjara dua tahun atau kedua-duanya sekali. MOM juga akan melarang mereka daripada bekerja di Singapura.

Majikan yang mengambil sebarang warga asing tanpa pas kerja yang sah untuk bekerja dengan mereka boleh didenda sehingga S$30,000, dipenjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali. Keistimewaan pas kerja mereka juga akan digantung.

Dr Koh menambah terdapat juga usaha untuk mendidik tenaga kerja asing di Singapura untuk membantu mereka memahami apa yang membentuk pengambilan kerja yang haram atau pencabulan syarat-syarat permit kerja mereka.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan