11 orang akan didakwa merusuh susuli pergaduhan di kedai kopi Toa Payoh
Sebelas individu akan didakwa atas kesalahan merusuh selepas terbabit dalam pergaduhan di sebuah kedai kopi di Toa Payoh pada pagi Ahad (24 Ogos).
Polis memberkas 13 individu berikutan satu pergaduhan di sebuah kedai kopi di Toa Payoh pada 24 Ogos 2025. (Gambar: Facebook/Justin Lim Lim)
Mereka merupakan antara 13 orang yang ditangkap – terdiri daripada 12 lelaki dan seorang wanita berusia antara 21 hingga 34 tahun.
Menurut polis, mereka dimaklumkan tentang pergaduhan di Blok 10B Lorong 7 Toa Payoh pada pukul 9.50 pagi.
Para suspek didakwa menyerang dua individu selepas berlakunya pertikaian, dan senjata turut digunakan.
Menurut polis, mangsa berusia 21 dan 30 tahun itu mengalami luka tikaman di bahagian lengan dan belakang badan masing-masing. Mereka mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di sebuah hospital.
Para suspek dikenal pasti dengan bantuan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan kamera polis.
Sebilah parang, yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu, turut dirampas.
Empat suspek akan didakwa di mahkamah pada Selasa atas kesalahan merusuh dengan senjata berbahaya. Tujuh lagi akan didakwa pada Rabu.
Kesalahan itu boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun serta sebatan.
Dua suspek lain – seorang lelaki berusia 30 tahun dan seorang wanita berusia 22 tahun – sedang membantu polis dalam siasatan lanjut.
“Polis tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk keganasan dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab mengikut undang-undang,” menurut Pasukan Polis Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.