Skip to main content

Singapura

11 lelaki diberkas, lakukan urus niaga haram minyak gas marin

Sebelas lelaki, berusia antara 32 hingga 58 tahun, diberkas pada awal pagi Ahad (22 Feb) kerana disyaki terlibat dalam urus niaga haram minyak gas marin.
Anggaran Waktu Membaca:
11 lelaki diberkas, lakukan urus niaga haram minyak gas marin
Kapal-kapal tunda yang terlibat dalam urus niaga haram minyak gas marin. (Gambar: Pasukan Polis Singapura)
Diterbitkan : 22 Feb 2026 06:25PM
SINGAPURA: Sebelas lelaki, berusia antara 32 hingga 58 tahun, diberkas pada awal pagi Ahad (22 Feb) kerana disyaki terlibat dalam urus niaga haram minyak gas marin.

Pegawai Polis Pengawal Pantai memberkas anak-anak kapal sebuah kapal tunda berdaftar Singapura dan sebuah lagi kapal tunda berdaftar asing pada pukul 1.40 pagi di perairan Selat Pauh, Singapura.

Siasatan awal mendedahkan bahawa empat kakitangan kapal tunda berdaftar Singapura itu dipercayai menyeleweng minyak gas marin bernilai kira-kira S$5,000 (AS$3,900) tanpa pengetahuan syarikat mereka, menurut polis dalam satu kenyataan media.

Minyak tersebut dipercayai mahu dijualkan secara haram kepada tujuh kakitangan kapal tunda berdaftar asing bagi mendapatkan keuntungan peribadi dalam bentuk kewangan.

Kesemua lelaki itu akan didakwa pada Isnin.

Kakitangan kapal tunda berdaftar Singapura yang terbabit akan didakwa atas kesalahan pecah amanah jenayah, manakala baki suspek dari kapal tunda berdaftar asing akan didakwa kerana cuba menerima harta curi secara tidak jujur.

Jika sabit kesalahan pecah amanah jenayah, pesalah boleh berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan didenda.

Jika sabit kesalahan cuba menerima harta curi secara tidak jujur, seseorang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali.

Polis menyatakan pihaknya memandang serius urus niaga haram minyak gas marin di perairan Singapura.

“Pihak berkuasa akan terus menjalankan pemeriksaan penguatkuasaan dan keselamatan untuk mencegah, membanteras dan mengesan kegiatan haram sedemikian di perairan Singapura.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita