Skip to main content

Singapura

11 lelaki diberkas di SG, terlibat kes dera kanak-kanak secara online

Polis memberkas 11 orang lelaki di Singapura yang merupakan antara lebih 300 individu yang diberkas dalam satu operasi rentas sempadan yang menyasarkan eksploitasi seksual kanak-kanak secara online.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 28 Apr 2026 10:10AM Dikemas Kini : 03 May 2026 09:16PM
  • Polis Singapura bersama enam negara/wilayah lain menjalankan operasi selama empat minggu membanteras eksploitasi seksual kanak-kanak secara online.
  • Seramai 326 individu diberkas di rantau ini, termasuk 11 lelaki di Singapura berusia 22 hingga 44 tahun, manakala 119 lagi membantu siasatan.
  • Kesalahan melibatkan penghasilan, pemilikan, pengedaran bahan penderaan seksual kanak-kanak, komunikasi seksual dengan bawah umur, ugutan, serta penjualan bahan lucah.
  • Operasi melibatkan kerjasama dengan syarikat teknologi, institusi kewangan dan NGO, serta rampasan pelbagai peranti elektronik dan bahan bukti.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Polis memberkas 11 orang lelaki di Singapura yang merupakan antara lebih 300 individu yang diberkas dalam satu operasi rentas sempadan yang menyasarkan eksploitasi seksual kanak-kanak secara online.

Operasi selama empat minggu itu melibatkan pihak polis di Singapura, Brunei, Hong Kong, Jepun, Malaysia, Korea Selatan dan Thailand.

Antara 23 Mac hingga 17 April, para pegawai polis menyerbu 382 lokasi di tujuh negara dan wilayah tersebut dan memberkas 326 individu, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu kenyataan media pada Selasa (28 Apr).

Lagi 119 termasuk 16 di Singapura, sedang membantu siasatan.

“Seramai 445 orang yang ditangkap dan disiasat terdiri daripada 430 lelaki dan 15 wanita, berusia antara 12 hingga 72 tahun,” kata SPF.

Pihak berkuasa turut merampas sejumlah peranti elektronik, termasuk 116 komputer, 340 telefon bimbit, 25 tablet elektronik, 140 peranti penyimpanan dan 16 router, serta bahan penderaan seksual kanak-kanak dan kandungan lucah.

“Kesalahan sedemikian sering dipermudahkan melalui platform digital dan saluran kewangan rentas sempadan. Oleh itu, kerjasama rapat dengan rakan-rakan industri adalah penting,” tambah SPF.

Polis Singapura menyatakan pihaknya bekerjasama rapat dengan syarikat teknologi, institusi kewangan dan pertubuhan bukan pemerintah sepanjang operasi tersebut.

PENANGKAPAN DI SINGAPURA

11 lelaki yang ditangkap di Singapura berusia antara 22 hingga 44 tahun.

Mereka yang ditangkap, serta 16 individu yang sedang membantu siasatan, disyaki terlibat dalam:
 
  • Menghasilkan, memiliki, mendapatkan akses dan mengedarkan bahan penderaan seksual kanak-kanak
  • Komunikasi seksual dengan individu bawah umur
  • Melakukan kesalahan berkaitan seks komersial dengan individu bawah umur
  • Mengugut untuk mengedarkan gambar atau rakaman intim
  • Menghantar dan menjual bahan lucah
  • Memiliki filem lucah

Siasatan awal mendapati lapan daripada mereka dengan sengaja mengakses, memuat turun dan memiliki bahan penderaan seksual kanak-kanak melalui platform pesanan online dan “perkhidmatan 'peer-to-peer'”, menurut SPF.

Dalam satu kes, polis menyiasat dua orang lelaki berusia 26 dan 28 tahun kerana membuat pembayaran rentas sempadan untuk mengakses bahan lucah melalui saluran Telegram.

Ini berlaku selepas pihak berkuasa menerima maklumat daripada polis Malaysia bahawa seorang individu dipercayai menjual bahan sedemikian kepada orang ramai di Singapura.

Seorang lagi lelaki diberkas pada Mac, dan pihak berkuasa menemui bahan melibatkan dua orang mangsa yang dieksploitasi secara seksual dalam perantinya.

Para mangsa dieksploitasi secara seksual oleh seseorang di luar negara melalui sebuah platform online. Kes tersebut terbongkar hasil rujukan daripada sebuah pertubuhan bukan pemerintah.

Polis Singapura bekerjasama dengan penguat kuasa luar negara untuk mengenal pasti pelaku dan menangkapnya pada 27 Mac.

Gambar-gambar seorang lagi mangsa turut ditemui dalam perantinya, dan siasatan masih dijalankan, tambah pihak berkuasa.

Sesiapa yang disabit kesalahan menghasilkan bahan penderaan kanak-kanak boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan didenda atau dirotan.

Sesiapa yang dengan sengaja memiliki atau mendapatkan akses kepada bahan penderaan kanak-kanak boleh dihukum penjara sehingga lima tahun jika sabit kesalahan dan didenda atau dirotan.

Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita