Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

11 kes tanpa kaitan dalam kalangan 21 kes COVID-19 dalam masyarakat

Singapura melaporkan 125 kes baru COVID-19 setakat sehingga 12.00 tengah hari Khamis (9 Jul), termasuk 21 jangkitan dalam masyarakat, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Anggaran Waktu Membaca:
11 kes tanpa kaitan dalam kalangan 21 kes COVID-19 dalam masyarakat

Hospital Ng Teng Fong.

Diterbitkan : 10 Jul 2020 02:11AM Dikemas Kini : 10 Jul 2020 02:14AM

SINGAPURA: Singapura melaporkan 125 kes baru COVID-19 setakat sehingga 12.00 tengah hari Khamis (9 Jul), termasuk 21 jangkitan dalam masyarakat, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Terdapat 11 kes tanpa kaitan dalam kalangan kes baru masyarakat, lapor kementerian itu.

Seorang lelaki warga Bangladesh berusia 38 tahun yang diuji positif COVID-19 meninggal dunia pada Selasa. Lelaki itu dibawa ke Hospital Besar Ng Teng Fong pada 28 Jun setelah terkena sawan, dan kemudian mengalami pendarahan intrakranium.

"Punca awal kematian adalah kegagalan jantung-pernafasan, sementara menunggu siasatan lanjut oleh koroner," jelas MOH.

Kematiannya tidak diambil kira bagi angka korban rasmi, yang kekal pada 26 orang.

"Hanya kes-kes di mana doktor atau pakar patologi mengaitkan punca utama atau penyebab kematian adalah akibat jangkitan COVID-19, ia akan disertakan dalam angka korban COVID-19," menurut MOH.

"Ini selaras dengan amalan antarabangsa dalam mengklasifikasikan kematian."

11 KES DALAM MASYARAKAT TANPA KAITAN

21 kes baru dalam masyarakat termasuk tiga rakyat Singapura, seorang penduduk tetap, tiga pemegang pas kerja dan 14 pemegang permit kerja.

Buat masa ini, 11 daripada kes-kes dalam masyarakat tiada kaitan dengan kes-kes lain, tambah MOH. Daripada jumlah itu, enam kes dikesan menerusi ujian proaktif, sementara empat pula diuji kerana mereka bekerja dalam khidmat penting, walaupun mereka tidak menunjukkan gejala.

Dua kes lain diuji sebagai sebahagian daripada usaha MOH untuk menyaring individu yang bekerja dalam operasi barisan hadapan COVID-19.

Daripada baki kes, empat daripadanya diuji di bawah ujian dipertingkat masyarakat untuk menguji semua individu berusia 13 tahun ke atas yang didiagnosis dengan jangkitan pernafasan akut semasa kali pertama berjumpa doktor.

Sepuluh kes masyarakat dikaitkan dengan kes atau kelompok sebelumnya, tambah MOH.

"Secara keseluruhannya, jumlah kes baru dalam masyarakat telah meningkat, dari purata sembilan kes sehari pada minggu sebelumnya, kepada purata 16 kes sehari pada minggu lalu," menurut MOH.

Jumlah kes yang tiada kaitan dalam masyarakat juga meningkat, dari purata empat kes sehari pada minggu sebelumnya, kepada purata lapan sehari pada minggu lalu.

SATU KES IMPORT DARI INDIA

Satu kes import dilaporkan pada Khamis.

Penduduk tetap berusia 23 tahun itu dikenakan notis jangan keluar rumah setibanya di Singapura dari India pada 23 Jun.

Wanita itu diuji semasa menjalani notis tersebut di rumahnya.

Baki kes melibatkan 103 pemegang permit kerja yang tinggal di dormitori pekerja asing. Tiada kelompok baru dikenal pasti.

LAGI 322 DIBENARKAN PULANG

MOH melaporkan lagi 322 pesakit COVID-19 dibenarkan keluar hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat.

Secara keseluruhannya, 41,645 sudah pulih sepenuhnya dari jangkitan COVID-19 dan dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan jagaan masyarakat.

Kini terdapat 197 kes yang disahkan masih dirawat di hospital. Daripada jumlah tersebut, kebanyakannya stabil atau beransur pulih, dan satu dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi.

Seramai 3,554 diasingkan dan dirawat di kemudahan masyarakat. Mereka mengalami gejala ringan, atau sihat secara klinikal tetapi masih diuji positif COVID-19.

LOKASI YANG DIKUNJUNGI OLEH KES COVID-19

Kira-kira 30 lokasi sudah ditambah ke dalam senarai tempat yang dikunjungi oleh kes COVID-19 dalam masyarakat semasa tempoh berjangkit.

Lokasi-lokasi itu termasuk pusat belajar memandu, pusat beli-belah dan kedai makanan dan minuman yang dikunjungi oleh kes-kes yang disahkan antara 25 Jun dan 7 Jul.

UJIAN DI BLOK TAMPINES

MOH mengumumkan pada 2 Julai bahawa ia meletakkan 58 keluarga yang menetap di Blok 111 Tampines Street 11 di bawah pengawasan telefon aktif dan sedang menguruskan ujian COVID-19 untuk mereka dan juga tetamu mereka.

"Ini sebagai langkah pencegahan setelah MOH mengesan sembilan kes yang disahkan dari dua keluarga yang tinggal di blok tersebut."

Sejumlah 123 penduduk dan tetamu mereka sudah diuji sejauh ini dan hasil ujiannya negatif.

Siasatan epidemiologi sedang dijalankan, tetapi saat ini tidak ada bukti berlaku penularan menjangkaui dua keluarga itu, tambah MOH.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan