11 disiasat judi haram, langgar langkah jarak selamat di rumah
Seramai 11 wanita disiasat polis kerana disyaki melanggar langkah jarak selamat semasa terlibat dalam aktiviti perjudian haram di sebuah unit kediaman di Teban Gardens Road pada Khamis (4 Feb) petang.
Gambar Fail: Kereta polis di Singapura.
SINGAPURA: Seramai 11 wanita disiasat polis kerana disyaki melanggar langkah jarak selamat semasa terlibat dalam aktiviti perjudian haram di sebuah unit kediaman di Teban Gardens Road pada Khamis (4 Feb) petang.
Polis menyerbu unit tersebut pada sekitar 4.30 petang dan mendapati wanita-wanita tersebut sedang berjudi di situ. Seorang wanita berusia 75 tahun, sedang disiasat kerana mengendalikan rumah judi, manakala yang lain, berusia 28 hingga 88, disiasat kerana berjudi di rumah judi berkenaan.
Wang tunai dan barang-barang berkaitan judi itu dirampas sebagai bahan bukti kes, kata polis dalam satu kenyataan media pada Jumaat (5 Feb).
Sejak 26 Jan, isi rumah tidak dibenarkan menerima lebih daripada lapan tetamu dalam satu-satu masa.
"Polis akan terus bertindak tegas terhadap kegiatan jenayah, termasuk perjudian haram. Sesiapa yang didapati terlibat dalam kegiatan-kegiatan haram, akan ditangani dengan tegas mengikut undang-undang," tambah polis.
Kesalahan mengendalikan tempat yang digunakan sebagai rumah judi di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Rumah Judi Terbuka memperuntukkan denda tidak kurang daripada S$5,000, dan tidak lebih daripada S$50,000, dan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun.
Kesalahan berjudi di rumah judi di bawah Seksyen 7 Akta Rumah Judi Terbuka membawa denda tidak melebihi S$5,000, atau hukuman penjara tidak melebihi enam bulan, atau kedua-duanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.