Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

11 didakwa tipu Skim Bantuan Pekerjaan; 2 geran lain pemerintah bagi COVID-19

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 11 orang didakwa di Mahkamah hari ini (5 Mei) kerana dipercayai cuba menipu skim sokongan kewangan pemerintah. 

Individu-individu itu yang berusia antara 28 dengan 65 tahun cuba mendapatkan bayaran di bawah Skim Bantuan Pekerjaan (JSS), menurut polis dalam kenyataan medianya. 

Tiga daripada mereka turut menghadapi pertuduhan serupa berhubung Geran Bantuan COVID-19 dan Dana Bantuan Kewangan Sementara. 

Gay Kah Leong dan Tan Zhong Lin daripada Deidrea of Kings Spa SG didakwa dengan tuduhan cuba memperdayakan Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) untuk mendapatkan agihan JSS bernilai sekitar S$50,000. 

Ini berhubung 36 individu yang tidak melaksanakan kerja atau tidak menerima gaji seperti yang diisytiharkan, menurut polis. 

Gay dan Tan, bersama dengan tujuh individu lain turut didakwa kerana dipercayai memalsukan kontrak kerja dan surat gaji yang diserahkan kepada IRAS, di samping memberikan maklumat palsu. 

Gay dan lagi dua yang lain dikenakan tuduhan tambahan kerana disyaki menipu atau cuba menipu Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) untuk mengagihkan dana di bawah Geran Bantuan COVID-19 dan Dana Bantuan Kewangan Sementara sekalipun mereka tidak kehilangan pekerjaan atau mata pencarian akibat pandemik. 

Polis turut mendedahkan bahawa Teoh Wong Har dari TK Manufacturing and Wholesale Centre dan Wong Lai Kook daripada Double Ace Associates juga didakwa kerana dipercayai cuba menipu IRAS supaya mengagihkan bayaran JSS kepada individu-individu yang tidak bekerja atau tidak melaksanakan tugas seperti yang diisytiharkan. 

Agihan dana itu bernilai sekitar S$15,000. 

Ketiga-tiga skim bantuan kewangan itu dilancarkan oleh Pemerintah sewaktu pandemik COVID-19. 

JSS yang ditadbir oleh IRAS menawarkan sokongan gaji kepada para majikan supaya mereka dapat mengekalkan tenaga pekerja tempatan masing-masing. 

Bagi memastikan JSS diagihkan dengan adil dan betul, IRAS menyemak kes-kes berisiko tinggi  menggunakan analitik data dan maklumat yang diberikan oleh orang ramai. Agihan JSS akan disesuaikan atau ditolak jika pihak majikan tidak dapat membuktikan kelayakan mereka. 

Kes-kes penipuan secara terang-terangan seperti mereka yang disyaki menyerahkan dokumen-dokumen palsu kepada IRAS akan dirujukkan kepada pihak polis. 

Geran Bantuan COVID-19 dan Dana Bantuan Kewangan Sementara yang ditadbir oleh MSF menawarkan bantuan kewangan kepada rakyat Singapura yang hilang pekerjaa  atau kehilangan mata pencarian. 

Sesiapa yang didapati bersalah kerana menipu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan mungkin juga denda, manakala mereka yang disabit kesalahan memalsukan akaun bank berdepan dengan hukuman penjara sehingga 10 tahun, didenda atau kedua-duanya sekali. 

Sesiapa yang didapati telah memberikan maklumat palsu  boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda atau kedua-duanya sekali. 

Polis memandang serius terhadap sebarang penyalahgunaan geran pemerintah, terutama sekali jika ia melibatkan "pengalihan sumber daripada mereka yang benar-benar memerlukan bantuan semasa pandemik COVID-19". 

Para pesalah akan dikenakan hukuman berat mengikut undang-undang, tegas polis. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan