Skip to main content

Singapura

11 anak kapal dijel terbabit dalam penjualan haram 4,200 liter minyak gas marin di Tuas

Seramai 11 anak kapal dari dua kapal tunda, salah satunya  kapal berdaftar Singapura, dihukum penjara pada Jumaat (20 Jan) atas kesalahan menjual minyak gas marin secara rahsia yang dilakukan di kawasan perairan berhampiran Tuas di barat Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 11 anak kapal dari dua kapal tunda, salah satunya  kapal berdaftar Singapura, dihukum penjara pada Jumaat (20 Jan) atas kesalahan menjual minyak gas marin secara rahsia yang dilakukan di kawasan perairan berhampiran Tuas di barat Singapura.

Anggaran 4,208 liter minyak yang bernilai hampir S$4,300 dijual secara haram.

Mahkamah diberitahu pada Jumaat bahawa kesemua lelaki warga Indonesia itu, bekerja di dua kapal berbeza - iaitu kapal The Banyu yang berdaftar di Mongolia dan kapal PW Iota yang berdaftar di Singapura.

PW Iota dimiliki Maritime Foxtrot Pte Ltd dan dikendalikan oleh Pacific Workboats.

Setiap satu daripada lima anak kapal PW Iota dituduh melakukan pecah amanah sebagai pekerja sementara keenam-enam anak kapal Banyu didakwa kerana menerima harta benda curian.

Hukuman yang dikenakan ke atas kesemua anak kapal itu adalah seperti berikut:

PW IOTA

- Hukuman penjara empat bulan bagi Aswar Mansyur, 42 tahun, ketua kapal
- Hukuman penjara 14 minggu bagi Yohanis Baturapa, 43 tahun, ketua jurutera
- Hukuman penjara tiga bulan bagi Syariful Khoiri, 31 tahun, ketua pegawai
- Hukuman penjara tiga bulan bagi Andhika Arsad Tangke, 37 tahun, pelaut
- Hukuman penjara tiga bulan bagi Daniel Bruce Karaeng, 33 tahun, jurutera kedua

THE BANYU

- Hukuman penjara 14 minggu bagi Pareng Budiman, 48 tahun, ketua kapal
- Hukuman penjara enam minggu bagi Hemei, 40 tahun, ketua pegawai
- Hukuman penjara 12 minggu bagi Ahmat Bazzi, 47 tahun, pelaut
- Hukuman penjara enam minggu bagi Muhammad Jayadi, 42 tahun, jurutera kedua
- Hukuman penjara enam minggu bagi Angga Putra, 28 tahun, tukang minyak
- Hukuman penjara enam minggu bagi Anton Heri Pramana, 53 tahun, ketua jurutera

KESNYA

Dokumen mahkamah menyatakan rancangan untuk  menjual minyak gas marin secara haram berlaku pada 21 Disember tahun lalu, apabila kedua-dua bot berlabuh berhampiran satu sama lain di limbungan kapal Inparco dekat Tuas.

Pada kira-kira pukul 8.00 malam, ketua kapal Banyu, Pareng, menjerit ke arah anak kapal PW Iota untuk menanyakan sama ada mereka mempunyai sebarang minyak ganti untuk dijual.

Ketua jurutera kapal itu, Yohanis, terdengar pertanyaan tersebut lalu memaklumkan hal itu kepada ketua kapalnya, Aswar.

Selepas satu perbincangan, Aswar bersetuju untuk menjual lebihan 3,000 liter minyak gas marin yang berada di kapal PW Iota pada kadar S$600 bagi setiap tan metrik.

Kedua-dua pihak bersetuju menjalankan urus niaga itu pada pukul 2.00 pagi pada 22 Disember supaya tidak dikesan, kerana mereka tahu hanya beberapa orang akan berada di limbungan kapal pada masa itu.

Aswar memberitahu anak kapalnya mengenai penjualan tersebut dan hasilnya akan dibahagikan sama rata.

Dokumen mahkamah juga menyatakan  kesemua 11 anak kapal itu sedar bahawa penjualan minyak tersebut adalah haram kerana ia milik Pacific Workboats. Syarikat itu kemudian mengesahkan bahawa ia tidak memberi sebarang kebenaran bagi penjualan itu.

Pada sekitar pukul 2.00 pagi, Pareng dari kapal Banyu memberi isyarat kepada PW Iota supaya bersiap sedia untuk memindahkan minyak itu sebelum anak kapalnya menggunakan tali untuk mengikat kedua-dua kapal tunda tersebut.

Namun sedang minyak itu dipindahkan menggunakan hos bahan api, mereka dilihat oleh pegawai ronda dari Penguasa Maritim dan Pelabuhan SIngapura pada kira-kira pukul 2.30 pagi.

Para pegawai menaiki kedua-dua kapal tunda tersebut lalu anak kapal dari kedua-dua kapal tergesa-gesa mencabut hos bahan api itu, justeru menyebabkan tumpahan minyak pada PW Iota.

Selepas membongkar kesalahan itu, Pacific Workboats menjalankan ujian bunyi pada tangki minyak PW Iota lalu mendapati bahawa sekitar 4,208 liter minyak gas marin telah dipindahkan.

Minyak yang hilang itu mempunyai nilai keseluruhan sebanyak S$4,292.16 di pasaran.

Mana-mana pekerja yang didapati bersalah melakukan pecah amanah boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan didenda.

Sesiapa yang didapati bersalah menerima harta curian boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau didenda, atau kedua-duanya sekali.
 

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita