Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

102 suspek pesalah dadah diberkas, dadah bernilai hampir S$1.2 juta dirampas

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 May 2022 02:29PM Dikemas Kini : 13 May 2022 11:12PM

SINGAPURA: Pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) menangkap 102 orang disyaki pesalah dadah dalam operasi seluruh negara selama lima hari dan merampas rekod jumlah tertinggi ganja tahun ini. 

Suspek paling muda ditahan adalah seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang ditangkap kerana  salah guna dadah, menurut CNB pada Jumaat (13 Mei). 

Semasa operasi yang dijalankan dari 9 Mei hingga 13 Mei di kawasan-kawasan seperti Ang Mo Kio, Bukit Batok dan Yio Chu Kang, CNB merampas dadah terkawal yang bernilai sekitar S$1,195,000. 

Ini termasuk 6,227 gram heroin, 724 gram Ice, 20,438 gram ganja, 3 gram bahan psikoaktif baru (NPS), satu pil Ecstasy, dua botol cecair yang dipercayai mengandungi gamma-hydroxybutyrate (GHB) dan 16 pil methadone - jumlah yang boleh memenuhi ketagihan 2,960 penyalah guna heroin, 410 penyalah guna Ice dan 2,910 penyalah guna ganja selama seminggu, menurut CNB. 

Jumlah ganja sebanyak 20 kilogram itu merupakan jumlah tertinggi dirampas agi 2022. Dua rampasan ganja yang serupa berlaku pada 2021, termasuk 24 kilogram yang dirampas pada April tahun lalu. 

Siasatan terhadap kegiatan dadah semua suspek itu sedang dijalankan. 

Di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (MDA), mengedar atau menawarkan untuk mengedar dadah terkawal merupakan satu kesalahan. 

Melakukan atau menawarkan untuk melakukan sebarang persiapan atau atas sebab mengedar dadah terkawal juga merupakan satu kesalahan. 

Ini termasuk mereka yang berbuat demikian bagi pihak sendiri atau pihak orang lain - tidak kira sama ada orang itu berada di Singapura ataupun tidak. 

Sesiapa yang didapati bersalah mengedar lebih 15 gram heroin tulen (diamorphin) atau 500 gram ganja boleh dikenakan hukuman mati mandatori. 

"Ekonomi terbuka dan ketersambungan Singapura sebagai hab pengangkutan serantau, serta lokasinya yang dekat dengan rantau pengeluar dadah utama, secara berterusan meletakkan negara ini dalam bahaya bahan narkotik dibawa masuk," ujar Penolong Pesuruhjaya (AC) Leon Chan, Timbalan Pengarah CNB (Operasi). 

"Meskipun keadaan di Singapura terkawal, kita tidak boleh menganggap ia akan selalu begitu." 

AC Chan berkata undang-undang tegas dan sokongan berterusan orang awam penting untuk mencapai sebuah negara Singapura yang bebas dadah, sambil menambah bahawa CNB tidak mengurangkan usaha penguatkuasaannya. 

Beliau juga berkata CNB dan Home Team akan terus menyasarkan bekalan dan permintaan dadah dalam negara.

"Rampasan terbaru ini menjejas sindiket-sindiket itu dan CNB akan terus memberi tekanan terhadap mereka. Kami juga sedang mengawal permintaan tempatan melalui operasi yang menyasarkan penyalahguna dadah," kata AC Chan. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan