Skip to main content

Singapura

102 individu ditahan miliki vape mengandungi dadah; 67 ditempatkan dalam program pemulihan sejak hukuman dipertingkat

Dari 1 September hingga 12 Oktober, seramai 1,339 individu ditahan kerana kesalahan berkaitan vape, termasuk 102 orang yang disahkan memiliki vape yang mengandungi etomidate.

Anggaran Waktu Membaca:
102 individu ditahan miliki vape mengandungi dadah; 67 ditempatkan dalam program pemulihan sejak hukuman dipertingkat

Pelbagai jenis vape dan barangan yang berkaitan dengan vape. (Gambar fail: iStock)

SINGAPURA: Dari 1 September hingga 12 Oktober, seramai 1,339 individu ditahan kerana kesalahan berkaitan vape, termasuk 102 orang yang disahkan memiliki vape yang mengandungi etomidate.

Daripada jumlah tersebut, 67 individu ditempatkan dalam program pemulihan di Institut Kesihatan Mental (IMH), Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dan Agensi Perkhidmatan Sosial (SSA).

Dalam satu kenyataan bersama pada Khamis (16 Okt), Kementerian Kesihatan (MOH) dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) turut menyatakan bahawa dua pesalah gagal menghadiri sesi pemulihan pertama mereka.

HSA sedang menyiasat kes tersebut dan akan mendakwa individu yang gagal menghadiri sesi pemulihan mereka atas kesalahan berkaitan vape atau etomidate, menurut kenyataan itu.

Mereka yang didapati memiliki vape biasa atau vape yang mengandungi etomidate masing-masing boleh dikenakan denda maksimum S$2,000, atau denda sehingga S$10,000 dan penjara maksimum selama dua tahun.

“Program pemulihan ini memberi tumpuan kepada pendidikan, kaunseling dan sokongan untuk membantu individu mengatasi ketagihan mereka,” menurut MOH dan HSA.

“Selain sesi individu, program ini juga akan merangkumi sesi berkumpulan dan keluarga untuk membolehkan peserta berkongsi pengalaman dan mempelajari teknik untuk menangani ketagihan dengan lebih baik semasa proses pemulihan.”

Di bawah rangka kerja lebih kukuh yang berkuat kuasa sejak 1 September, mereka yang didapati memiliki, menggunakan atau membeli vape akan berdepan dengan hukuman yang lebih berat.

Pengguna berulang diwajibkan menjalani program pemulihan, dan mereka yang gagal melengkapkan program itu akan didakwa di mahkamah.

Para pengguna vape mengandungi etomidate pula berdepan hukuman lebih berat dan dikehendaki menjalani pemulihan sehingga enam bulan. Pesalah berulang akan tertakluk kepada ujian dadah yang diwajibkan serta pengawasan berterusan.

“Pemerintah akan terus memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan sokongan untuk berhenti menggunakan vape,” menurut kenyataan pihak berkuasa.

Berdasarkan kenyataan media tersebut, 150 individu sudah mendaftarkan diri di bawah program “I Quit” HPB bagi penggunaan vape secara umum.

Orang ramai yang mahu berhenti menggunakan vape juga boleh menyertai program QuitVape atau menghubungi talian QuitLine HPB di 1800 438 2000.

Sokongan di bawah program QuitVape dan I Quit HPB adalah percuma untuk warga Singapura dan para penduduk tetap.

Mereka yang secara sukarela mendapatkan bantuan tidak akan dikenakan sebarang hukuman atau mendapat rekod jenayah.

Orang ramai juga boleh melupuskan vape secara selamat di tong pelupusan khas yang disediakan di lokasi-lokasi tertentu, termasuk di sempadan pusat pemeriksaan dan di lokasi di mana program-program QuitVape atau pemulihan dijalankan.

MOH dan HSA turut mengingatkan pelawat asing yang memasuki Singapura supaya mematuhi undang-undang dan peraturan tempatan. Kedua-dua pihak tersebut turut menambah bahawa mereka yang didiapati menyalahgunakan vape yang mengandungi etomidate akan turut disiasat dan dikenakan hukuman.

Semasa perlumbaan Formula 1 Grand Prix Singapura dari 3 hingga 5 Oktober, 32 pelawat asing dan lima warga Singapura ditahan kerana memiliki vape. Jumlah tersebut menunjukkan kemerosotan lima kali ganda berbanding tahun lalu.

Semua pesalah dikenakan denda di tempat kejadian.

Dalam tempoh enam minggu lalu, lima individu didakwa kerana disyaki mengedarkan vape yang mengandungi etomidate.

Selain itu, lapan kes penyeludupan vape biasa turut dikesan di lapangan terbang, pusat pemeriksaan dan terminal kapal pesiaran dalam tempoh yang sama, dengan lebih 26,000 vape dan komponennya dirampas.

Dua individu didakwa kerana disyaki menyeludup vape dan kini ditahan reman.

Pengimport, penjual dan pengedar vape yang mengandungi etomidate akan berdepan hukuman jauh lebih berat di bawah rangka kerja yang dipertingkatkan. Para pengimport boleh dikenakan penjara antara tiga hingga 20 tahun dan antara lima hingga 15 sebatan rotan, manakala penjual dan pengedar berdepan hukuman penjara antara dua hingga 10 tahun dan antara dua hingga lima sebatan rotan.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita