Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

10,000 pekerja hijrahan terima hadiah menerusi insiatif amal sempena Krismas

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Badan amal ItsRainingRaincoats berhasil mengumpul sekitar 10,000 hadiah daripada para penderma, menerusi satu inisiatif amal yang sudah diadakan buat kali kelima sempena sambutan Hari Krismas, untuk diagihkan kepada para pekerja hijrahan.

Sehingga 20 sukarelawan berkumpul di ibu pejabat ItsRainingRaincoats di Upper Paya Lebar Road setiap hari sejak pertengahan November untuk membungkus hadiah-hadiah.

Antara hadiah yang disumbangkan adalah ubat gosok Tiger Balm, cawan, peranti mengecas, botol air dan kelengkapan dandanan diri.

Lebih 200 sukarelawan terlibat dalam usaha amal tahun ini, dengan menyingsing lengan untuk mengumpul, membungkus dan mengagihkan hadiah.

Para pekerja hijrahan juga boleh memilih barangan terpakai di aras pertama ibu pejabat ItsRainingRaincoats yang baru dibuka pada September lalu.

Sekitar 80 pekerja hijrahan melawat kedai itu setiap hujung minggu setelah menempah slot secara online.

Seorang pekerja limbungan kapal, Chowdhury Aradhon, adalah antara pekerja hijrahan yang beratur di luar ibu pejabat ItsRainingRaincoats pada 18 Disember untuk mendapatkan barangan keperluan. 

Selain kasut, stoking, baju hujan dan kelengkapan dandanan diri, Encik Chowdhury, 39 tahun, juga menerima kejutan apabila mendapat hadiah lain semasa meninggalkan bangunan tersebut pada pagi itu. 

Pekerja binaan, Wei Yinghai, 48 tahun, pula datang ke ibu pejabat badan amal itu untuk mendapatkan dispenser air panas, krim cukur, ubat gosok Tiger Balm dan pelitup muka. Beliau juga menerima hadiah sebelum meninggalkan tempat berkenaan. 

Encik Wei berkata beliau ingin meraikan Krismas bersama rakan-rakannya di sebuah restoran sebelum mengunjungi Sentosa. 

Walapun kemurahan hati masyarakat tempatan terselah menerusi jumlah sumbangan yang diterima ItsRainingRaincoat, badan amal itu masih berdepan cabaran untuk memberikan hadiah kepada hampir 1 juta pekerja hijrahan di Singapura. 

"Sungguhpun begitu, kami amat menghargai semua sumbangan yang kami terima. Meskipun kami tidak mungkin menepati jumlah keseluruhannya, kami amat bersyukur atas apa saja yang kami terima. Namun setiap tahun, kami berharap kami boleh menerima lebih banyak sumbangan," kata pengasas ItsRainingRaincoats, Cik Dipa Swaminathan, kepada Mediacorp. 

Bagi Cik Dipa, seorang peguam yang menubuhkan badan amal itu pada 2015, harapannya bagi pekerja hijrahan di Singapura adalah agar mereka "kekal selamat dan sihat".

"Itu perkara paling penting sekali." 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan