1,000 penyokong tiga calon Presiden tabah hadapi terik matahari, tunjukkan sokongan jitu
SINGAPURA: Seawal jam 9.30 pagi lagi, lebih 1,000 penyokong ketiga-tiga calon Presiden sudah mula berkumpul di luar ibu pejabat Persatuan Rakyat (PA) pada Hari Penamaan Calon pagi tadi (22 Ogos).
Sekitar 200 penyokong Encik Tharman Shanmugaratnam pula datang sedondon berbaju merah hati dan menaiki lima buah bas yang disewa khas untuk membawa mereka dari Taman Jurong.
Mereka kemudian dibenarkan masuk ke kawasan penyokong di kawasan padang dalam ibu pejabat PA itu bermula jam 10 pagi.
Proses masuk dikawal baik dan segalanya berjalan lancar dan teratur.
Ada juga yang siap membawa payung untuk melindungi diri daripada panahan matahari.
KEADAAN TERATUR DAN TERKAWAL BAGI PENYOKONG
Sejurus pintu dibuka, para penyokong bergerak ke kawasan khemah-khemah putih yang dibangunkan buat para penyokong berteduh dari panas terik matahari.
Untuk memeriahkan lagi suasana, para penyokong Encik Ng Kok Song juga membawa bersama mereka wisel dan alat penepuk tangan.
Para penyokong Encik Tan Kin Lian pula siap dengan sorakan khas buat beliau bagi menunjukkan sokongan jitu kepada calon Presiden itu.
Rata-rata para penyokong yang hadir ghairah dapat merasakan bahang pilihan raya Presiden bersama para penyokong lain.
Cik Maimunah Ibrahim, 64 tahun berkata: "Saya gembira sebab ramai orang yang menyokong. Tidak pernah rasa sebegini, pengalaman yang tidak selalu kita dapat, enam tahun sekali kan?
"Suasana dengan cuaca sebegini, nampaknya meriah sekali. Sama-sama, ramai-ramai kita sokong untuk bakal presiden kita. Sanggup menahan panas," ujar Cik Khatijah Ahmad, 77 tahun.
Beliau juga berkata bahawa beliau mengambil cuti separuh hari semata-mata untuk merasakan sendiri pengalaman pada Hari Penamaan Calon.
Meskipun datang untuk menyokong calon-calon yang berbeza, keadaan tenteram dan ia diadakan dengan cara yang sihat dan tidak seakan-akan berlawan antara satu sama lain.
Ada juga yang rebah pengsan, tidak dapat menahan bahang matahari. Mujur bantuan perubatan tiba secepatnya dan penyokong tersebut kembali segar.
GEMBIRA DAPAT MENGUNDI 1 SEPTEMBER
Setelah Pegawai Pilihan Raya mengumumkan calon rasmi bagi Pilihan Raya Presiden pada sekitar 12.40 tengah hari, kegembiraan jelas kelihatan di wajah para penyokong kerana ketiga-tiga individu berjaya dicalonkan sebagai presiden.
Para penyokong Encik Ng Kok Song
Para penyokong Encik Tharman Shanmugaratnam
Para penyokong Encik Tan Kin Lian
Malah, beberapa penyokong yang ditemui BERITA Mediacorp melahirkan rasa puas hati bahawa ketiga-tiga individu berjaya dicalonkan sebagai Presiden.
Encik Lee Choong Oon berkata: "Saya rasa orang awam inginkan pertandingan ini sebab pilihan raya sebelum ini tiada pertandingan. Jadi, baik ada calon-calon ini yang tampil untuk pilihan raya."
Encik Mohamed Jufriy Mohamed menambah: "Ini satu peluang baik untuk rakyat Singapura mendapatkan satu presiden yang boleh menyantuni rakyat dan boleh meneliti apa yang dibuat oleh pemerintah."
Ramai juga yang tidak mahu terlepas peluang mengabadikan kenangan dan merakam gambar dengan para calon sebaik sahaja mereka sampaikan ucapan di pentas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.