1,000 flat BTO di bekas tapak Padang Golf Keppel akan dilancarkan pada Oktober
Sekitar 1,000 flat Bina-Ikut-Tempahan (BTO) di bekas tapak Padang Golf Keppel akan dijual pada Oktober ini, kata Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee pada Khamis (15 Mei).
"Projek itu akan menawarkan sekitar 1,000 unit terdiri daripada flat Flexi 2 bilik hingga flat 4 bilik, serta flat-flat sewa awam," kata Encik Lee dalam satu catatan Facebook.
Flat-flat baharu itu terletak bersebelahan Berlayer Creek.
"Penduduk boleh menikmati kemudahan kehidupan di pusat bandar dan pemandangan panoramik kawasan pesisiran air.
"Estet ini akan direka bentuk secara peka dengan pertimbangan terhadap kepelbagaian biodiversiti di kawasan itu.
"Ia akan dilengkapi dengan ruang hijau yang rimbun dan bangunan bertingkat setinggi 19 hingga 46 tingkat," kata Encik Lee.
Sekitar 740 flat BTO di Toa Payoh Town (Barat) akan dilancarkan dalam sesi penjualan BTO pada Julai.
Estet baharu itu akan dilengkapi dengan sebuah medan selera, beberapa kedai dan sebuah prasekolah.
"Selain terletak berhampiran dengan stesen MRT Caldecott, para penduduk juga akan mempunyai akses mudah ke sebuah pusat penjaja dan kedai-kedai kejiranan," kata Encik Lee.
"Kami komited untuk memastikan perumahan awam kekal dimampui, inklusif dan mudah diakses oleh rakyat Singapura dengan membina lebih banyak rumah di merata Singapura, termasuk di kawasan berhampiran dengan pusat bandar," kata Encik Lee.
"Ini membolehkan keluarga-keluarga untuk tinggal berdekatan dengan tempat kerja mereka atau dengan ibu bapa mereka yang sudah lanjut usia yang mungkin tinggal di estet-estet HDB lama yang terletak berhampiran dengan pusat bandar, demi penjagaan dan sokongan bersama."
Encik Lee juga mengulangi sasaran pemerintah untuk melancarkan sekitar 19,600 rumah baharu pada tahun ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.