Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

1,000 bungkus bubur dari 2 masjid habis diagihkan kurang sejam

Masjid-masjid setempat kembali sibuk di siang hari bagi hari pertama pengagihan bubur Ramadan pada Khamis (23 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Masjid-masjid setempat kembali sibuk di siang hari bagi hari pertama pengagihan bubur Ramadan pada Khamis (23 Mac).

Usai sahaja solat Asar, para jemaah dan penduduk di kawasan Tiong Bahru sudah mula beratur di Masjid Jamiyah Ar-Rabitah bagi mendapatkan bubur.

Ada yang sanggup datang awal agar tidak terlepas mendapatkan bubur yang dianggap sebagai pelengkap Ramadan mereka.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Antaranya ialah pasangan suami isteri Encik Salim Osman dan Cik Maimoon Nisha Alauddin.

"Saya datang dari pukul 3 petang. Bubur di sini memang hebat, sedap. Tahun lepas saya selalu datang dekat sini walaupun saya tinggal dekat Telok Blangah," kata Encik Salim.

"Pasal bubur masjid itu, mesti hendak (makan) punya. Setahun sekali mesti nak rasa nak makan," kata Cik Maimoon.

BEKALAN BUBUR NAIK SEGANDA

Tahun ini, masjid itu membekalkan hampir 500 mangkuk bubur sehari, naik seganda berbanding tahun lalu, hasil sumbangan ihsan para jemaah yang bermurah hati.

Atas maklum balas penduduk juga, mereka juga mendapatkan pembekal bubur masjid yang baru tahun ini, bagi memenuhi citarasa penduduk.

Pembekal yang mereka pilih tahun ini ialah Dapur Nasir Esah (NAES).

(Gambar: Syawal Yusoff)

Selain itu, pihak masjid juga melakukan penghantaran bubur ke rumah bagi para jemaah yang tidak dapat datang ke masjid.

"Warga tua yang di rumah ataupun mereka yang mempunyai keluarga yang agak ramai dan juga kepada mereka yang juga tidak mempunyai kemampuan untuk keluar kerana sakit. Maka kami akan menghantarkan bubur kepada rumah mereka pada hari-hari tertentu," kata Naib Pengurus Jabatan Dakwah, Masjid Jamiyah Ar-Rabitah, Ustazah Siti Zubaidah Mohamed.

Beliau menambah, masjid juga turut mengagih-agihkan bubur kepada para penerima zakat yang tinggal di kawasan itu.

PENDUDUK STIRLING ROAD BERSIFAT RAHMAH, AMBILKAN BUBUR UNTUK YANG KURANG BERNASIB BAIK

Kemeriahan agihan juga dirasakan di Masjid Mujahidin.

Untuk tahun ini, masjid di Stirling Road ini menyediakan 400 bubur setiap hari - naik sekitar 25 peratus berbanding tahun lalu.

Dalam kurang setengah jam sahaja, kesemua buburnya habis diagihkan.

"Pengagihan bubur pada tahun ini berjalan lancar. Kami jangkakan ramai jemaah yang berada di sekitar masjid akan datang mengambil bubur pada tahun ini," kata Penolong Ketua, Perkhidmatan Korporat dan Pembangunan (Operasi), Masjid Mujahidin, Encik Mohammad Maksod Nabi Ahamad.



Bagi memudahkan lagi para jemaah mengambil bubur, masjid itu juga menyediakan khidmat 'drive-thru' di mana bubur-bubur diagihkan langsung kepada pemandu atau penunggang motosikal yang mengejar masa.

"Ramai jemaah yang datang mengambil bubur ini, ada yang untuk mereka sendiri dan ada yang akan diberikan kepada jiran mereka atau pada warga emas atau pada warga yang kurang upaya," ujar Encik Maksod.

Dalam usaha menyebarkan rahmat dalam bulan Ramadan ini, Masjid Mujahidin juga akan membekalkan bubur untuk pertubuhan-pertubuhan kebajikan seperti Lions Befrienders.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan