Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

100 slot bagi setiap zon solat Jumaat mungkin dilaksana 4-6 minggu dari sekarang

Zon-zon ruang solat Jumaat yang menampung 100 jemaah setiap satu, mungkin hanya dapat dilaksanakan antara empat hingga enam minggu dari sekarang, menurut Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Zon-zon ruang solat Jumaat yang menampung 100 jemaah setiap satu, mungkin hanya dapat dilaksanakan antara empat hingga enam minggu dari sekarang, menurut Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Ini walaupun Pemerintah sudahpun membolehkan sehingga 100 orang berkumpul dalam satu zon bagi acara-acara keagamaan berkuat kuasa Rabu 10 Nov.

(Gambar: MUIS)

Menurut MUIS hari ini (12 Nov), ia enggan terburu-buru melaksanakannya kerana masjid-masjid masih perlu membuat pelbagai penyesuaian.

"Kami ingin meningkatkan jumlah jemaah kepada 100 jemaah setiap zon dan bukan senang untuk membuat pertukaran ini sebab tanda-tanda solat sedia ada harus ditanggalkan dan tanda-tanda baru harus diletak dan ini akan mengambil masa.

"Kami harap masjid-masjid akan membuat penukaran ini dalam secepat mungkin," kata Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen, yang ditemui selepas solat Jumaat di Masjid Hajjah Rahimabi Kebun Limau.

ADA MASJID SUDAH BERSEDIA TAMBAH SLOT

Bagaimanapun sebilangan pemimpin masjid yang ditemui BERITAmediacorp melahirkan rasa lebih optimis bahawa zon dengan 100 jemaah setiap satu dapat dilakukan dengan cepat.

"Untuk mengubah suai kita punya tempat-tempat solat daripada sekarang 50 untuk menjadi 100, boleh dibuat secara agak mudah," kata Pengerusi Lembaga Pentadbir Masjid Hajjah Rahimabi Kebun Limau, Encik Abdul Jalil Anwari.

Beliau menyuarakan keyakinan tersebut kerana masjid yang dipimpinnya itu mempunyai rangkaian kakitangan dan sukarelawan yang mantap.

Hakikatnya, setiap masjid berbeza dan mungkin tidak semua masjid dapat mengambil 100 jemaah dalam setiap zon.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Misalnya Masjid Hajjah Rahimabi Kebun Limau contohnya, ia akan hanya dapat menyediakan sekitar 80 ruang solat dalam satu-satu zon sahaja oleh kerana saiz ruang keseluruhan sememangnya terhad.

(Gambar: Syawal Yusoff)

SOLAT JUMAAT PERTAMA DENGAN PERUBAHAN BARU JALAN LANCAR

Sementara itu, solat Jumaat hari ini juga merupakan yang pertama di mana masjid-masjid mula melaksanakan beberapa perubahan baru.

Misalnya orang ramai kini sudah boleh menempah slot untuk solat Jumaat setiap minggu, dan tidak lagi dikenakan masa menunggu dua tiga minggu sebelum boleh membuat satu lagi tempahan.

"Sebelum ini memang agak sukar sikit, Sebelum ini kita tempah kalau kita dapat pada satu minggu mungkin minggu lagi satu tak dapat dan sebagainya. Dan adakala kita pun tidak dapat waktu dan slot menunai solat itu agak ketat.

"Jadi sekarang ini, memang saya nampak ada kemudahan, ada perubahan yang baik, Insha Allah," kongsi Encik Mohamed Faiz Abdul Kadir Maricar yang gembira dengan sistem baru itu.

Satu lagi perubahan ialah meniadakan sesi solat Jumaat ketiga di sebahagian masjid dan menambah zon solat bagi sesi pertama dan kedua.

Masjid Hajjah Rahimabi Kebun Limau antara masjid yang berbuat demikian.

Pantauan BERITAmediacorp mendapati, pelaksanaannya berjalan licin bagi masjid tersebut, walaupun ini bermakna ada lebih ramai jemaah dalam dua sesi pertama.

Sesi-sesi berkenaan lazimnya mempunyai tiga zon, tetapi hari ini ia mengisi empat zon merangkumi 200 jemaah solat Jumaat setiap satu.

Bagaimanapun secara keseluruhannya masjid itu hanya dapat menampung 400 jemaah berbanding 450 jemaah bagi tiga sesi.

JEMAAH LEBIH RAMAI, RASA SEPERTI SOLAT JUMAAT 'DULU'

Namun demikian MUIS sudahpun menjelaskan bahawa sesi ketiga di sebahagian masjid kini tiadakan kerana ia kurang popular dengan para jemaah dan tidak penuh terisi.

Bagi pihak masjid seperti Masjid Hajjah Rahimabi Kebun Limau, pengurangan sesi adalah lebih baik kerana ini meringankan tugas kakitangan dan sukarelawan masjid.

Para jemaah yang kami temui juga gembira melihat suasana masjid dengan empat zom.

"Seronok sebab nampak jemaah makin banyak sebab dahulu, kan jemaah 150 sahaja boleh masuk. Jadi dia punya aura... dia punya rasa macam solat Jumaat yang dulu... dah datang balik," kata jemaah masjid bernama Abdul Hanan Amin Abdul Samad.

(Gambar: MUIS)

Dalam pada itu, MUIS turut menyampaikan cek bernilai lebih S$15,000 kepada Masjid Hajjah Rahimabi Kebun Limau hasil kutipan menerusi portal OurMasjid.SG.

MUIS mendedahkan bahawa sejak portal tersebut dilancarkan April tahun lepas, ia kini berjaya mengumpulkan lebih S$7 juta.

Sumber : BERITA Mediacorp/sy

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa