100 orang dipindahkan dari Rosewood Suites susuli tumpahan di balkoni
Sekitar 100 orang dipindahkan dari sebuah kondominium di Woodlands pada pagi Isnin (21 Jun) selepas "satu tumpahan kecil" dikesan di balkoni salah sebuah unit kondominium tersebut.
Kenderaan hazmat di kondominium Rosewood Suites. (Gambar: Pembaca)
SINGAPURA: Sekitar 100 orang dipindahkan dari sebuah kondominium di Woodlands pada pagi Isnin (21 Jun) selepas "satu tumpahan kecil" dikesan di balkoni salah sebuah unit kondominium tersebut.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan ia dimaklumkan tentang insiden melibatkan kondominium Rosewood Suites di 61 Rosewood Drive pada sekitar 9.30 pagi.
"Sebaik saja tiba di tempat kejadian, para pegawai SCDF menemui satu tumpahan kecil di balkoni sebuah unit di tingkat satu," dedah SCDF.
Sekitar 100 orang dari blok terjejas dan blok-blok berhampiran dipindahkan oleh polis.
Menurut SCDF, para pegawainya sudah menguji sampel tumpahan itu dan kawasan terjejas sudahpun dibersihkan dengan cecair pembasmi pencemaran.
"Tumpahan itu didapati mengandungi bahan-bahan yang biasanya terkandung dalam racun perosak," dedah SCDF.
Para penduduk dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada 1.30 tengah hari.
Tiada kecederaan dilaporkan setakat 2.50 petang pada Isnin.
Bercakap dengan Mediacorp, seorang pembantu rumah hijrahan, Dawati Simon Thomas berkata beliau terdengar polis mengetuk pintu rumahnya dan berbual bersama dengan majikannya.
"Ada polis, ada ambulans dan kereta bomba. Saya rasa semua orang rasa cemas apabila polis ketuk pintu rumah dan suruh kami keluar," cerita wanita berusia 48 tahun itu.
Gambar-gambar yang dikirimkan kepada Mediacorp daripada para pembaca menunjukkan sekurang-kurangnya dua kereta bomba, beberapa kereta polis dan sebuah kenderaan hazmat serta sebuah van unit Penyiasat Tempat Kejadian Jenayah.
Orang ramai juga dilihat berkumpul di tanah lapang yang terletak bertentangan dengan kondominium itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.