Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

100 diberkas; dadah bernilai lebih S$835,000 dirampas dalam operasi 5 hari

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 100 yang disyaki pesalah dadah diberkas dan kira-kira 8 kilogram dadah terkawal bernilai lebih S$835,000 dirampas dalam operasi selama lima hari. 

Demikian menurut Biro Narkotik Pusat (CNB) pada Jumaat (21 Jan). 

Rampasan itu terdiri daripada: 5,640 gram heroin, 1,744 gram Ice, 1,380 gram kanabis, lebih 3,000 pil Ecstasy, 5 gram bahan psikoaktif baru (NPS), 24 lembar lysergic acid diethylamide (LSD), 654 pil Erimin-5 dan tiga botol metadon. 

Operasi itu yang dilancarkan dari Isnin (17 Jan) sehingga Jumaat (21 Jan) meliputi kawasan-kawasan seperti Jurong West, Pasir Ris dan Woodlands. 

Dalam salah satu kes, para pegawai CNB memberkas seorang lelaki tanpa kerakyatan berusia 61 tahun di kawasan Circuit Road pada Rabu (19 Jan) kerana disyaki melakukan kesalahan dadah. 

Sekitar 54 gram heroin dan 8 gram kanabis ditemui pada lelaki tanpa kerakyataan itu, menurut CNB. 

Operasi susulan berhasil memberkas seorang lelaki warga Singapura berusia 35 tahun di kawasan Telok Blangah Rise yang disyaki melakukan kesalahan mengedar dadah. 

Kira-kira 870 gram heroin, 292 gram Ice, 28 pil nitrazepam dan pelbagai peralatan dadah turut dirampas. 

Lagi empat orang juga diberkas atas kesalahan kegiatan dadah berdekatan Fajar Road pada hari yang sama. 

Mereka termasuk seorang lelaki warga Singapura berusia 44 tahun yang dicekup di kolong sebuah blok apartmen. Para pegawai CNB menemui sekitar 2 gram heroin pada lelaki berkenaan. Lelaki tersebut kemudian dibawa ke rumahnya di blok yang sama, di mana dua orang lelaki warga Singapura, berusia 39 dan 58 tahun, turut diberkas. 

Kira-kira 120 gram heroin, 11 gram Ice dan pelbagai peralatan dadah dirampas daripada unit tersebut, menurut CNB. 

Operasi lain menyaksikan dua lelaki dan satu wanita diberkas di daerah Kaki Bukit Ave 1. 

Dua daripada mereka dibawa ke sebuah bangunan perindustrian di mana para pegawai merampas 4,619 gram heroin, 1,434 gram Ice dan 1,283 gram kanabis selain dadah-dadah lain.

Pelbagai peralatan dadah dan wang tunai sebanyak S$5,857 juga dirampas daripada sebuah stor di bangunan tersebut, tambah CNB. 

"Siasatan terhadap kegiatan dadah kesemua suspek sedang dijalankan," kata CNB. 

Jumlah dadah yang dirampas cukup untuk melepaskan ketagihan kira-kira 2,690 penyalah guna heroin, 1,000 penagih Ice dan 190 pesalah kanabis selama seminggu, menurut CNB. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan