Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

100 belia tamat ikuti program PEER edisi ke-2 Kelab Muda MENDAKI

Anggaran Waktu Membaca:
100 belia tamat ikuti program PEER edisi ke-2 Kelab Muda MENDAKI

Gambar berkumpulan para peserta program PEER di Tampines. (Gambar: Kelab Muda MENDAKI)

SINGAPURA: 100 peserta tamat menjalani program bimbingan masyarakat utama kelolaan Kelab Muda MENDAKI (YMC), PEER.

Program berstruktur selama enam bulan itu adalah program bimbingan terbesar dalam masyarakat yang diterajui relawan, khusus buat golongan belia Melayu/Islam yang menuntut di sekolah menengah.

Di bawah edisi kedua program itu yang diadakan dengan kerjasama M³@Tampines dan Woodlands - lebih 100 relawan pembimbing dari institusi pengajian tinggi tempatan dan dewasa muda yang bekerja dari pelbagai latar akademik dipadankan dengan 100 menti.

Pasangan pembimbing dan menti itu kemudian menjalani pelbagai kegiatan bersama-sama dua kali seminggu sepanjang tempoh enam bulan. Kegiatan tersebut disusun khas oleh pihak penganjur untuk memupuk 5C bagi perkembangan belia yang positif iaitu: Confidence (Keyakinan), Competence (Kecekapan), Community (Masyarakat), Character (Sikap) dan Connection (Hubungan).

Berucap di acara penutup PEER@Tampines pada Sabtu lalu (30 Jul), Setiausaha Parlimen Kanan Kementerian Kesihatan merangkap Undang-undang Rahaya Mahzam menggariskan peri pentingnya program seperti PEER dalam membina sebuah kontrak sosial yang kukuh untuk masyarakat.
Cik Rahayu berinteraksi dengan para peserta PEER di acara penutup. (Gambar: Kelab Muda MENDAKI)

"Bagi menti, PEER bertindak sebagai sistem sokongan lanjutan mereka; menyediakan bimbingan serta membuka mata mereka tentang apa yang sedang berlaku di sekeliling mereka menjangkaui persekitaran bilik darjah," kata Cik Rahayu.

"Ia juga akan membantu menti mendakap peluang dan mempelajari kemahiran baru sedang mereka memulakan perjalanan hidup masing-masing," tambah Anggota Parlimen GRC Jurong itu.

Turut sama menyerikan majlis untuk melabuhkan tirai bagi program PEER edisi kedua ialah Anggota Parlimen GRC Sembawang Mariam Jaafar.

ymc peer progamme woodlands
Gambar berkumpulan para peserta program PEER di Woodlands. (Gambar: Kelab Muda MENDAKI)


Lebih daripada menerapkan apa yang sudah dipelajari sepanjang enam bulan lalu, Cik Rahayu juga menggesa para menti supaya menyumbang kepada masyarakat dengan memberi tunjuk ajar kepada golongan belia pada masa kelak.

Menurut YMC dalam kenyataan medianya pada Isnin (1 Ogos), berdasarkan maklum balas yang dikongsi oleh peserta menti PEER, program itu membantu mereka meningkatkan keyakinan diri dan kemahiran perhubungan dengan orang lain.

"Saya menyertai program ini dengan tujuan untuk meningkatkan kemahiran sosial saya. Saya seorang pemalu dan seringkali berasa amat gementar apabila bercakap dengan orang lain, terutama sekali dengan orang yang baru saya kenali. Namun melalui PEER serta interaksi saya bersama menti dan pembimbing lain sepanjang program ini, saya kini lebih yakin diri," kata Muhammad Rian, 15 tahun, seorang pelajar dari Sekolah Menengah Tampines.

Bagi peserta pembimbing pula, PEER menyediakan mereka peluang untuk memahami dengan lebih baik dan terus peka akan realiti kehidupan yang dialami golongan lebih muda dalam masyarakat.

Pengerusi Program Masyarakat PEER Masagos Umar meluahkan rasa gembira melihat semangat yang ditonjolkan para pembimbing dalam usaha mereka untuk membantu golongan belia meningkatkan rasa yakin diri dan menyedari potensi masing-masing.

"Kami amat berterima kasih kepada para relawan, lebih tepat lagi lebih 100 daripada mereka, yang tampil ke hadapan sejak Februari untuk menjayakan program ini buat menti kami," kata beliau.

"Kerja sukarela bukan mudah. Ramai yang bekerja, ada keluarga dan komitmen lain tetapi memutuskan untuk meluangkan masa bagi menjadi sebahagian daripada (program) ini," tambahnya.

KOLABORASI DENGAN M³ PACU PERKEMBANGAN, IMPAK 'PEER'

Model kerjasama dengan M³@Tampines dan Woodlands membantu YMC membangunkan sebuah masyarakat pembimbing yang tertumpu kepada lokasi, selain memanfaatkan pangkalan sumber lebih meluas untuk menyokong pelaksanaannya dan meningkatkan keseluruhan pengalaman buat kedua-dua mentor serta menti.

Bagi edisi kali ini, penganjur PEER juga melaksanakan pendekatan lebih segar untuk mengendalikan program lebih berkesan bagi para peserta.

Misalnya, meningkatkan perkongsian khususnya dengan sekolah-sekolah di Tampines dan Woodlands, kumpulan ibu bapa serta pertubuhan yang memberi tumpuan kepada segmen masyarakat yang terabai untuk memperluaskan jangkauan program itu.

Data dan alat digital juga dimanfaatkan dalam perancangan serta pelaksanaan PEER bagi memaklumkan dan menyokong proses membuat keputusan.

Penganjur turut bereksperimentasi dengan kempen media sosial kreatif melalui kerjasama dengan pempengaruh di TikTok dan Instagram dalam usaha menarik lebih banyak penyertaan.

Pengambilan mentor bagi edisi ketiga PEER akan diadakan pada hujung tahun ini, dengan pendaftaran bagi menti bermula pada Februari 2023.

Mereka yang berminat boleh melayari www.ymcpeer.com untuk maklumat pendaftaran.

Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan