Skip to main content

Singapura

100 belia perkukuh keupayaan mewujudkan sekitaran damai menerusi inisiatif serantau

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 09 Jun 2026 06:01PM Dikemas Kini : 20 Jun 2026 03:58AM
SINGAPURA: Seramai 100 belia daripada pelbagai latar belakang, menyertai program Pejuang Kedamaian (Champions for Peace) bagi memperkukuh usaha pembinaan keharmonian sosial.

Program tersebut dijayakan di lima negara ASEAN, termasuk Singapura, Filipina, Thailand, Indonesia dan Malaysia.

Ia dianjurkan bersama oleh kumpulan keharmonian tempatan, hash.peace, Yayasan Kofi Annan (KAF) dan KRIS for Peace Philippines (KRIS).

PROGRAM TINGKAT KESEDARAN TENTANG KEPERLUAN MASYARAKAT

Dilancarkan di peringkat serantau di Singapura pada Januari lalu, inisiatif Pejuang Kedamaian antara lain mengajar para peserta menjalankan dialog serta program berkaitan perpaduan sosial, daya tahan dan pembinaan keamanan.

Setiausaha Agung hash.peace, Far'ain Jaafar berkata: "Program ini dianjurkan bagi memberi ruang kepada golongan belia untuk menyuarakan pandangan, berkongsi idea dan menghasilkan impak positif dalam menangani isu-isu global yang dihadapi Singapura serta negara-negara di rantau ini."

"Objektif utama program ini adalah pembinaan kedamaian. Itu yang paling utama sekali. Selain itu, kami turut mempelajari pelbagai kemahiran dan pengetahuan mengenai isu-isu yang boleh memberi kesan positif kepada masyarakat, seperti bantuan kecemasan psikologi, daya tahan kesihatan mental, advokasi alam sekitar dan perpaduan sosial," tambah beliau lagi.

Seramai 100 belia menyertai program Pejuang Kedamaian edisi Singapura yang berlangsung pada 16 hingga 17 Mei serta 6 hingga 7 Jun lalu.

Menerusi sesi itu, para peserta memperoleh kemahiran praktikal untuk memacu perubahan positif dalam komuniti masing-masing, selain menjadi sebahagian daripada rangkaian serantau pembina keamanan muda.

PEKERJA HIJRAHAN INGIN SUMBANG DALAM PROSES MEMBINA KEDAMAIAN

Bagi Tasrif Ahmed, 28 tahun, penghijrahan ke Singapura bukanlah sesuatu yang mudah.

Sebagai seorang pekerja hijrahan, beliau berdepan pelbagai cabaran untuk menyesuaikan diri di sini.

"Saya telah berjauhan dari rumah untuk agak lama dan hari-hari awal saya di Singapura adalah sangat sukar. Saya bergelut dengan pelbagai perkara dan kejutan budaya serta perkara-perkara lain," kata Encik Tasrif.

Mujur buat Encik Tasrif, beliau mendapat sokongan daripada masyarakat umum, untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di Singapura.

"Dalam masyarakat kami dan secara umum, kami memerlukan orang yang sanggup berbual tentang masalah serta cabaran yang kami hadapi dan telah lama kami tanggung. Melalui cara itulah kami dapat mencari komuniti yang sesuai dan saluran yang tepat untuk menjalankan usaha advokasi dengan cara yang betul dan berkesan," tambahnya.

Semangat itu mendorong beliau menyertai program Pejuang Kedamaian, sebuah inisiatif serantau yang memperkasa para peserta dengan kemahiran dalam bidang pembinaan keamanan, daya tahan dan perpaduan sosial.

"Jadi apabila saya mendengar tentang bengkel program ini, dan mereka akan membincangkan mengenai pembinaan keamanan, ia adalah sesuatu yang saya ingin pelajari," kongsi beliau.

"Saya rasa saya mempunyai minat peribadi yang sangat kuat untuk belajar dengan lebih mendalam dan melihat bagaimana saya boleh menjadi penyumbang dalam proses pembinaan kedamaian," tambah Encik Tasrif.

Melalui program itu, Encik Tasrif berharap dapat memainkan peranan dalam membina komuniti yang lebih inklusif serta mewujudkan ruang selamat untuk masyarakat berkongsi pengalaman, cabaran dan sokongan antara satu sama lain.

"Terdapat beberapa perkara yang mungkin akan saya lakukan, termasuk memulakan inisiatif dan secara perlahan-lahan mengumpulkan orang ramai serta membina sebuah komuniti yang mengalu-alukan semua orang, termasuk golongan belia, orang dewasa yang bekerja dan warga emas," tambah beliau.

INGIN TAHU CARA MEMBERI BANTUAN PSIKOLOGI KEPADA ANGGOTA MASYARAKAT LAIN

Seorang lagi peserta program itu ialah Aiman Asmadi.

Cik Aiman ingin memahami dengan lebih mendalam tentang bantuan kecemasan psikologi bagi membantu individu yang memerlukan sokongan ketika berdepan cabaran hidup.

"Dalam program ini, para fasilitator menjalankan beberapa sesi lakonan semula bagi mendedahkan kami kepada situasi-situasi yang mungkin berlaku dalam kehidupan sebenar. Contohnya, apabila berdepan dengan kemalangan atau apabila rakan dan ahli keluarga memerlukan bantuan kecemasan psikologi," katanya.

"Mungkin mereka sedang mengalami kemurungan atau melalui masa yang sukar. Melalui latihan ini, kami diajar langkah-langkah yang boleh diambil untuk membantu mereka serta cara mendapatkan bantuan daripada pihak lain apabila diperlukan," katanya lagi.

Menurutnya, setiap orang mempunyai latar belakang dan perkara-perkara sensitif yang mungkin tidak disedari oleh orang lain sebelum ini.

Pengalaman yang diraih sepanjang latihan itu menjadikan Cik Aiman lebih memahami dan menyedari kepelbagaian keperluan masyarakat.

Ia sekali gus mendorongnya untuk terus memanfaatkan pengetahuan tersebut dalam usahanya menyumbang kepada komuniti.

Program Pejuang Kedamaian turut berhasrat menyokong 20 projek yang diterajui golongan belia menerusi penyediaan dana permulaan.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita