Skip to main content

Singapura

10 tahun gempa Sabah: 2 bekas pelajar TKPS gagahkan diri atasi trauma, tawan Gunung Kinabalu

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sudah genap 10 tahun sejak berlakunya tragedi gempa bumi di Gunung Kinabalu, Sabah yang turut meragut nyawa 10 warga Singapura.

Masa pantas berlalu, namun, segala yang berlaku pada pagi 5 Jun 2015 masih segar dalam ingatan Emyr Uzayr Mohamed Sadri.

Apatah lagi, dengan parut yang masih jelas di belakang kepalanya, bagai satu peringatan setiap detik getir yang pernah hampir meragut nyawanya.

Rombongan 29 pelajar dan lapan guru Sekolah Rendah Tanjong Katong (TKPS) terlibat dalam ekspedisi ke Gunung Kinabalu pada 5 Jun 2015 apabila gempa bumi sekuat 5.9 magnitud menggegarkan gunung itu. (Gambar: Emyr Uzayr)

Emyr Uzayr merupakan salah seorang daripada rombongan 29 pelajar dan lapan guru Sekolah Rendah Tanjong Katong (TKPS), yang terlibat dalam ekspedisi ke Gunung Kinabalu apabila gempa bumi sekuat 5.9 magnitud menggegarkan gunung itu.

Dipanggil 'Omega Challenge', lawatan itu adalah sebahagian daripada kursus kepimpinan sekolah tersebut.

Tujuh pelajar dan dua guru TKPS serta seorang pemandu pengembaraan terkorban akibat kejadian gempa di gunung itu.

Bagi Emyr pula, beliau mengalami kecederaan parah daripada tragedi itu - keretakan di kepala dan beberapa tulang yang terseliuh.

Setelah sedekad, Emyr – bersama Prajesh Dhimant Patel, rakan yang turut terselamat – menggagahkan diri untuk kembali ke Gunung Kinabalu.

Mereka akhirnya kembali menjejakkan kaki ke puncak Gunung Kinabalu pada 22 Mei, untuk menamatkan pendakian yang terhenti akibat bencana tersebut 10 tahun lalu.

Emyr (kanan), kini pelajar tahun pertama jurusan kewangan di Universiti Nasional Singapura (NUS), mengajak Prajesh (kiri), kini pelajar sistem maklumat di Universiti Pengurusan Singapura (SMU), kembali ke Gunung Kinabalu untuk menamatkan misi yang tertangguh. (Gambar: Emyr Uzayr)

Emyr, kini pelajar tahun pertama jurusan kewangan di Universiti Nasional Singapura (NUS), mengajak Prajesh, kini pelajar sistem maklumat di Universiti Pengurusan Singapura (SMU), kembali ke Gunung Kinabalu untuk menamatkan misi yang tertangguh.

Tanpa dirancang pendakian kali ini bertepatan dengan genap 10 tahun sejak tragedi itu, yang mereka anggap sebagai satu "aturan baik".

Walaubagaimanapun, perjalanan untuk menawan Gunung Kinabalu kali ini bukanlah mudah bagi Emyr dan Prajesh, kini 22 tahun.

"SETIAP LANGKAH KEMBALIKAN MEMORI; PALING TAKUT PERNAH SAYA RASAI"

Cabaran paling sukar dalam percubaan kali kedua mereka bukanlah dari segi fizikal, sekalipun mereka hanya mempunyai tiga bulan untuk melakukan persiapan mendaki gunung tertinggi di Malaysia itu.

Sebaliknya, halangan utama mereka adalah parut emosi yang perlu diatasi sepanjang pendakian, termasuk hari-hari menjelang ekspedisi tersebut.

"Sebelum hari keberangkatan, saya tidak boleh tidur. (Saya dibelenggu) rasa takut. Saya tahu yang saya akan kembali ke tempat, (di mana) saya nyaris meninggal dunia dan tempat di mana, saya nampak kawan saya meninggal dunia. Ia sangat menggerunkan. Keresahan itu benar. Saya rasa ia adalah yang paling takut yang pernah saya rasa dalam hidup saya," kata Emyr kepada BERITA Mediacorp.

Ditanya apa yang membulatkan tekadnya untuk teruskan rancangannya itu, ini luahan mahasiswa NUS itu:

"Apa yang saya telah beritahu diri saya adalah saya telah tempah penerbangan. Tiada jalan keluar dan saya akan mendaki gunung itu sekali lagi dengan kawan saya."

Setiap langkah dan sudut di laluan pendakian Gunung Kinabalu itu, membuat mereka mengimbau kembali setiap detik yang hampir meragut nyawa mereka 10 tahun lalu.

Mereka tidak mengikut laluan yang digunakan kumpulan TKPS, 10 tahun lalu iaitu laluan Via Ferrata. Ini memandangkan laluan tersebut musnah hampir sepenuhnya akibat gempa.

Mereka sebaliknya, mengikuti laluan 'Walk the Torq', yang turut membawa mereka ke lokasi-lokasi yang dilawati rombongan TKPS sebelumnya menuju ke puncak, seperti rumah rehat Pendant Hut.

"Bila saya masuk Pendant Hut kali ini, saya boleh ingat segalanya - di mana kami duduk, apa yang kami makan, mana kami tidur ... Cabaran yang paling sukar adalah kesan emosinya, dari segi emosi. Sebab setiap langkah saya ingat memori suka dan duka," jelas Emyr dengan raut wajah yang sebak.

Lebih menyayat hati, pendakian Emyr dan Prajesh disertai oleh Billy Sapinggi dan Cornelius Sanan, dua malim gunung yang terlibat sama dalam ekspedisi 10 tahun lalu.

Lebih menyayat hati, pendakian Emyr dan Prajesh disertai oleh Billy Sapinggi (paling kanan) dan Cornelius Sanan (dua dari kanan), dua malim gunung yang terlibat sama dalam ekspedisi 10 tahun lalu. (Gambar: Emyr Uzayr)

Tanpa dirancang, mereka juga berkesempatan untuk bertemu dengan beberapa keluarga malim gunung yang terkorban dalam ekspedisi, 10 tahun lalu.

Sebahagian daripada mereka masih bertugas di gunung itu, sama ada sebagai cef di rumah rehat mahupun sebagai malim gunung, meskipun mereka sendiri terkesan oleh tragedi pahit itu.

"Mereka adalah wira sebenar. Walaupun mereka menjadi saksi (tragedi itu), mereka masih bekerja di sana. Mereka benar-benar individu yang kuat dan mereka memberi inspirasi kepada kami," ujar Emyr.

MESKI BIMBANG, IBU BAPA EMYR SOKONG KEINGINAN REALISASIKAN NIAT YANG DIPENDAM SEJAK 10 TAHUN LALU

Tidak dapat dinafikan, naluri ibu bapa tidak dapat menahan rasa bimbang terhadap keselamatan anak-anak mereka.

Emyr membaca laporan akhbar TODAY mengenai tragedi itu bersama ibu bapanya, Cik Nur Aryana Aziz (kanan) dan Encik Mohamed Sadri Mohamed Farick (kiri), yang diterbitkan 10 tahun lalu. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)

Terutama sekali, bagi Cik Nur Aryana Aziz dan Encik Mohamed Sadri Mohamed Farick, yang pernah menyaksikan anak mereka terlibat dalam tragedi gempa pada 2015.

Mereka bagaimanapun menyedari bahawa Emyr sangat memerlukan sokongan padu mereka untuk menawan gunung itu kali ini.

"Bila kami bawanya pulang dari Gunung Kinabalu (10 tahun lalu), kami tahu sebagai ibu bapa, dia akan kembali satu hari nanti untuk lakukan apa yang seharusnya dibuat di sana," kata Cik Aryana, 46 tahun.

Malah, sebaik sahaja mereka mendapat khabar bahawa pendakian Emyr terpaksa ditunda selama sehari dek cuaca buruk, mereka cuba menenangkan anak sulung mereka itu walaupun dari jauh.

Ini pesanan yang dititipkan Encik Sadri, 47 tahun, kepada anaknya:

"Saya beritahu Emyr jangan pulang selagi belum mendakinya. Jadi, apabila dia sampai - Alhamdulillah. Kami pun sujud syukur. Akhirnya, satu bab tutup sebab dia ingin buka bab baharu. Dia lebih hargai kehidupan. Itu lebih penting."

'RASA TENANG' - BERAKHIRNYA PENANTIAN SELAMA 10 TAHUN

Berkat semangat jitu dan ketabahan Emyr dan Prajesh, mereka berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu pada 22 Mei setelah penantian selama 10 tahun.

Emyr dan Prajesh bergambar di puncak Gunung Kinabalu pada 22 Mei. (Gambar: Emyr Uzayr)

Lebih bermakna, mereka turut membawa baju kemeja merah daripada ekspedisi 2015 demi memperingati rakan-rakan mereka.


 
Emyr dan Prajesh membawa baju kemeja merah daripada ekspedisi 2015 demi memperingati rakan-rakan mereka. (Gambar: Emyr Uzayr)

"Bila saya di puncak Gunung Kinabalu, saya rasa amat bangga terhadap diri saya dan amat bersyukur kerana diberi peluang kedua ini untuk mendaki Gunung Kinabalu, untuk menyelesaikan misi ini.

"Saya rasa sebak. Rasanya macam melepaskan semua emosi yang tersimpan selama 10 tahun. Sejujurnya, saya berasa lebih 'ringan' sekarang, lebih tenang kerana saya dapat selesaikan apa yang rakan-rakan saya tidak berjaya lakukan," kata Emyr sambil menahan sebak.

Emyr dan Prajesh tidak menyangka sokongan yang mereka terima sepanjang pendakian ke Gunung Kinabalu akan begitu luar biasa.

Sejak mereka berangkat hingga mereka kembali ke pangkuan keluarga, kata-kata semangat datang mencurah-curah daripada orang ramai.

Bahkan, kisah Emyr dan Prajesh turut menarik perhatian pemimpin negara termasuk Menteri Kanan Lee Hsien Loong.

"Saya tak sangka saya akan mendapat banyak mesej atau sambutan positif daripada masyarakat atau pemimpin. Pada awalnya, saya sekadar ingin mendokumentasi perjalanan saya mendaki. Ia memberangsangkan dan menolong saya apabila saya berada di sana. Ia memberi saya kekuatan. Dan saya amat berterima kasih atas kesemuanya."

Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita