10 perkara yang perlu anda tahu apabila Singapura longgarkan lagi sekatan COVID-19 mulai 26 Apr
SINGAPURA: Singapura mencapai satu "detik penting" dalam memerangi COVID-19, dengan negara ini kini boleh "menghela nafas lega".
Demikian menurut Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Jumaat (22 Apr).
Dengan kadar jangkitan COVID-19 semakin stabil, Encik Ong berkata Sistem Respons Keadaan Penularan Penyakit (DORSCON) diturunkan dari paras Jingga kepada Kuning melalui 26 April.
Rangka kerja DORSCON yang menunjukkan keadaan penyakit di negara ini, dinaikkan kepada Jingga lebih dua tahun lalu.
Dengan tahap DORSCON kini diturunkan menjadi Kuning, beberapa sekatan COVID-19 juga dilonggarkan lagi. Berikut ini apa yang perlu anda tahu:
1. Tiada had saiz kumpulan
Mulai 26 April, had saiz kumpulan bagi perhimpunan sosial akan ditiadakan.
Ini bermakna anda tidak perlu mengekalkan saiz kumpulan kepada 10 orang bagi kegiatan di mana peserta tidak dikehendaki memakai pelitup.
Had tetamu bagi setiap kunjungan ke rumah juga ditarik balik.
2. Kembali ke tempat kerja
Semua pekerja boleh kembali ke tempat kerja mulai 26 April, naik berbanding had sekarang, iaitu 75 peratus kakitangan yang boleh bekerja dari rumah.
Mereka juga tidak perlu memakai pelitup apabila tidak berinteraksi secara fizikal antara satu sama lain, dan apabila tidak berada dalam kawasan yang perlu berdepan dengan pelanggan.
Orang ramai masih dinasihatkan supaya "mengamalkan tanggungjawab sosial dan mengekalkan jarak selamat yang sesuai dengan orang lain apabila membuka pelitup," menurut Kementerian Kesihatan (MOH).
3. Tiada lagi jarak selamat, had kapasiti
Memandangkan had saiz kumpulan ditarik balik, jarak selamat tidak lagi diperlukan antara individu atau kumpulan.
Had kapasiti 75 peratus untuk acara-acara di mana peserta harus memakai pelitup dan mempunyai lebih 1,000 peserta juga akan ditarik balik.
Namun, pelitup masih diwajibkan dalam tempat-tempat tertutup, termasuk pengangkutan awam. MOH juga menggalakkan orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga seperti memakai pelitup di tempat-tempat terbuka dengan ramai orang.
4. Langkah-langkah Berdasarkan Status Vaksinasi (VDS) dilonggarkan
Mulai 26 April, tidak perlu VDS di semua tempat, kecuali beberapa tempat tertentu.
Bukti status vaksinasi masih diperlukan untuk tempat-tempat makanan dan minuman (F&B) seperti restoran, kedai kopi dan pusat penjaja, serta acara dengan lebih 500 peserta pada satu-satu masa dan tempat-tempat hiburan malam di mana peserta akan menari.
Ini kerana tempat-tempat tersebut mempunyai "risiko lebih tinggi berlaku jangkitan" akibat faktor-faktor seperti ramai orang dan kegiatan di mana orang ramai tidak memakai pelitup, menurut MOH.
Tempat-tempat F&B tidak perlu melakukan pemeriksaan ke atas pelanggan mereka. Sebaliknya, pelanggan harus mengamalkan tanggungjawab dengan mematuhi peraturan.
Pada masa ini, ia sudah dilakukan di pusat penjaja dan kedai kopi.
Pemeriksaan secara rambang akan terus dijalankan.
Langkah-langkah vaksinasi di tempat kerja yang dilaksanakan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) juga akan ditarik balik.
5. Langkah-langkah pengesanan kontak
Sejajar dengan pelonggaran langkah-langkah berdasarkan status vaksinasi, Singapura juga akan mengurangkan penggunaan langkah-langkah pengesanan kontak TraceTogether dan SafeEntry di tempat-tempat seperti pusat beli-belah, pasar raya dan tempat ibadah.
Pemeriksaan masuk SafeEntry masih diperlukan di lokasi-lokasi di mana langkah-langkah Berdasarkan Status Vaksinasi masih diperlukan.
Alat-alat ini akan "dikekalkan" supaya Singapura boleh memperhebat pemeriksaan vaksinasi dan pengesanan kontak sekiranya perlu berbuat sedemikian sebagai tindakan kepada varian-varian baru, menurut MOH.
6. Ujian sebelum pelepasan
Mulai 26 April, semua pelawat yang sudah lengkap divaksin dan memasuki Singapura melalui pusat pemeriksaan udara atau laut tidak lagi perlu mengambil ujian COVID-19 sebelum pelepasan.
Kanak-kanak belum lengkap divaksin berusia 12 tahun dan ke bawah juga termasuk dalam syarat baru itu.
"Dengan langkah ini, bermakna pelawat yang sihat dan sudah lengkap divaksin tidak perlu lagi menjalani sebarang ujian untuk melakukan perjalanan ke Singapura," menurut MOH.
7. Lebih mudah lakukan perjalanan antara Singapura-Malaysia
Khidmat bas dan teksi rentas sempadan antara Singapura dengan Malaysia akan disambung semula mulai 1 Mei setelah dua tahun operasi digantung akibat pandemik COVID-19.
Pelawat boleh mengambil bas Khidmat 160, 170 dan 170X yang dikendalikan SBS Transit, Khidmat 960 yang dikendalikan SMRT Buses serta Khidmat TS1, TS3, TS6 dan TS8 oleh Transtar Travel.
Mereka yang ingin menaiki teksi boleh ke terminal teksi di Queen Street atau buat tempahan melalui syarikat teksi yang mempunyai pemandu teksi rentas sempadan yang berlesen.
8. Tiada lagi Notis Risiko Kesihatan (HRN)
Mulai 26 April, Kementerian Kesihatan (MOH) tidak akan lagi mengeluarkan Notis Risiko Kesihatan (HRN) kepada kontak rapat.
Mereka yang dijangkiti COVID-19 juga tidak perlu untuk menghantar online maklumat kontak serumah.
Namun, MOH menggalakkan orang ramai supaya mengamalkan tanggungjawab sosial. Misalnya, mereka yang diuji positif COVID-19 harus memberitahu kontak rapat mereka supaya mereka boleh mengambil langkah berjaga-jaga.
9. Tiada lagi ujian percuma
Ujian percuma ART masyarakat dan ujian Jangkitan Akut Pernafasan (ARI) di Pusat Ujian Gabungan (CTC) dan Pusat Ujian Pantas (QTC) akan dihentikan mulai 26 April.
Khidmat itu disediakan semasa gelombang Omicron dan membantu meringankan tekanan ke atas klinik GP dan kemudahan-kemudahan jagaan kesihatan lain.
Jumlah kes jangkitan kini merosot dan tekanan ke atas Klinik Persediaan Kesihatan Awam (PHPC) semakin berkurangan, menurut MOH.
Ujian ART berbayar masih disediakan untuk orang ramai.
10. Dos penggalak bagi pesakit COVID-19 sudah pulih; kurang pusat vaksinasi
Memandangkan daya tahan yang semakin merosot, suntikan penggalak disarankan untuk mereka yang sudah pulih, berusia 12 tahun dan ke atas yang sudah lengkap divaksin.
Mulai 1 Jun, individu-individu tersebut perlu mengambil suntikan dos penggalak mereka sebelum sembilan bulan selepas lengkap dua suntikan pertama untuk mengekalkan status vaksinasi mereka.
Mereka boleh pergi ke mana-mana pusat vaksinasi untuk menerima suntikan ini, tetapi harus ingat bahawa beberapa pusat ini sudah digabungkan, dengan ada juga yang tidak lagi beroperasi pada 31 Mei.
Maklumat lanjut di sini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.