10 pelancong ditangkap di Lapangan Terbang Changi kerana gagal isytihar lebih S$20,000
10 pelancong ditangkap di Lapangan Terbang Changi kerana gagal mengisytiharkan membawa wang tunai melebihi S$20,000 ke Singapura. (Gambar: SPF)
10 individu itu - berusia antara 31 hingga 71 tahun - dikesan secara berasingan dalam satu operasi penguatkuasaan berbilang agensi yang dijalankan selama seminggu.
Operasi tersebut antara lain melibatkan Pasukan Polis Singapura (SPF), Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), Biro Narkotik Pusat (CNB), Kastam Singapura, Lembaga Taman Negara dan
Penguasa Sains Kesihatan.
Pemeriksaan itu, yang dijalankan dari 17 Jun hingga 23 Jun, adalah sebahagian daripada pelbagai usaha berterusan pihak berkuasa untuk mengetatkan kawalan terhadap amalan melanggar rejim pelaporan wang tunai rentas sempadan, serta pelbagai kegiatan rentas sempadan haram lain di Singapura, menurut agensi-agensi menerusi satu kenyataan media pada Selasa (25 Jun).
Lebih 10,000 pelancong dikenal pasti bagi pemeriksaan, dengan lebih 18,000 bagasi dan beg dibawa penumpang diimbas atau diperiksa di empat terminal Lapangan Terbang Changi.
Pada 20 Jun, dua lelaki Singapura dan seorang wanita rakyat asing, berusia antara 31 hingga 50 tahun, dikesan secara berasingan membawa wang tunai dalam pelbagai mata wang, berjumlah antara S$30,000 hingga S$35,000, ke Singapura, tanpa melakukan perisytiharan.
Empat lelaki warga asing, berusia antara 37 hingga 61 tahun, turut dikesan membawa wang tunai dalam pelbagai mata wang pada 22 Jun. Wang tunai yang dibawa berjumlah antara S$24,000 hingga S$109,000.
Pada 23 Jun pula, tiga lelaki warga asing didapati membawa wang tunai berjumlah antara S$$22,000 hingga S$28,000. Mereka berusia antara 60 hingga 71 tahun.
Dua daripada 10 pelancong diberikan amaran, sementara enam yang lain dikenakan denda berjumlah S$23,000, menurut agensi-agensi pemerintah.
"Siasatan sedang dijalankan ke atas dua pelancong yang membawa wang tunai melebihi S$140,000 dalam pelbagai mata wang secara keseluruhan, ke Singapura tanpa perisytiharan," menurut agensi-agensi itu lagi tanpa mendedahkan sebarang butiran mengenai identiti individu-individu terbabit.
Pihak berkuasa mengingatkan orang awam bahawa penalti bagi rejim perisytiharan wang tunai rentas sempadan sudah dipertingkatkan untuk mengisytiharkan aliran tunai dengan nilai melebihi S$20,000.
Para pelancong perlu menyerahkan pengisytiharan 72 jam sebelum memasuki atau meninggalkan Singapura.
Sesiapa yang didapati membawa lebih S$20,000 memasuki atau keluar dari Singapura, tanpa membuat pengisytiharan terlebih dahulu, boleh dipenjara sehingga tiga tahun dan/atau didenda sehingga S$50,000.
Arahan rampasan juga boleh dikeluarkan bagi sebarang bahagian wang tunai berkaitan kesalahan tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.