Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

10 mainan magnetik ini didapati tidak selamat untuk kanak-kanak

Sebanyak 10 mainan magnetik, termasuk blok-blok binaan serta bola magnetik yang secara umumnya dikenali sebagai Buckyballs, diuji dan ia didapati tidak selamat untuk kanak-kanak. 

Anggaran Waktu Membaca:
10 mainan magnetik ini didapati tidak selamat untuk kanak-kanak

Gambar fail mainan blok bangunan dan bola magnetik.

Diterbitkan : 02 Sep 2019 11:32PM Dikemas Kini : 02 Sep 2019 11:36PM

SINGAPURA: Sebanyak 10 mainan magnetik, termasuk blok-blok binaan serta bola magnetik yang secara umumnya dikenali sebagai Buckyballs, diuji dan ia didapati tidak selamat untuk kanak-kanak. Demikian menurut pengawal selia keselamatan produk Singapura pada Isnin (2 Sep).

Mainan-mainan itu - yang dikatakan dapat membantu dalam kreativiti, kemahiran motor serta koordinasi kanak-kanak - biasanya dijual secara online dan dipasarkan sebagai produk pendidikan.

Pengawal selia keselamatan Enterprise Singapore menyatakan ia menguji 10 sampel mainan magnetik dan kesemua ditemui tidak selamat di mana "sifat mekanikal tidak mematuhi peraturan keselamatan" yang ditetapkan oleh Pertubuhan Antarabangsa bagi Piawaian (ISO).

"Keprihatinan utama berhubung mainan-mainan ini adalah ia mungkin mengandungi magnet berkuasa tinggi dan boleh memudaratkan jika beberapa daripadanya ditelan oleh kanak-kanak," kata pengawal selia Singapura itu yang menyelia keselamatan produk pengguna umum.

"Magnet-magnet kecil boleh menarik satu sama lain melalui usus dan berpotensi mengakibatkan kecederaan seperti penembusan, parut atau jangkitan."

Agensi tersebut memberi contoh dua insiden serius yang menyebabkan dua mangsa kanak-kanak terpaksa menjalani pembedahan. Salah satu daripadanya berlaku di Amerika Syarikat di mana kanak-kanak berusia empat tahun tertelan 13 biji magnet manakala di China pula, seorang kanak-kanak tertelan 21 bebola magnet.

Enterprise Singapore sudahpun mengeluarkan makluman kepada para pembekal mainan-mainan yang diuji itu. Sejak itu, para pembekal sudahpun menarik balik semua produk terjejas daripada penjualan.

Berikut adalah senarai produk yang diuji oleh Enterprise Singapore:

  1. Blok bangunan magnetik TENSOGER
  2. Blok bangunan magnetik TONGYUAN
  3. Blok bangunan magnetik ZHOND TOY
  4. Blok bangunan magnetik MAG-FUN
  5. Bola magnetik Buckyballs Neocube, 216 biji, 5mm
  6. Kbus magnetik MAGCUBE - Creative Building Block Magic Cube, 125 keping, 5mm
  7. Bola magnetik MAGCUBE magnetic balls – Magnetic Buck Balls, 216 biji, 3mm
  8. Bola magnetik Bucky Balls Rare Earth, 216 biji, 5mm
  9. Bola magnetik Magnetic Magic Cube Puzzle, 216 biji, 5mm
  10. Blok bangunan magnetik KEAIHAO Magnetic Building Blocks (Pembekalnya sudahpun menjelaskan keprihatinan keselamatan dengan memasukkan label amaran yang diluluskan pada bahagian kecil mainan, menurut Enterprise Singapore.)

Mainan-mainan diuji itu dijual di wadah-wadah online seperti Lazada, ezbuy, Qoo10 dan Shopee.

Enterprise Singapore menggesa pengguna yang sudahpun membeli produk-produk terjejas itu untuk berhenti menggunakannya dengan serta-merta dan mereka yang sudahpun membeli mainan-mainan yang sama untuk melihat jika ada sebarang isu keselamatan.

Ini termasuk bahagian-bahagian kecil yang boleh dicerna oleh kanak-kanak, menimbulkan bahaya daripada bahagian-bahagian yang terjojol atau pemerangkapan jari akibat reka bentuk mainan yang tidak betul.

Enterprise Singapore memberi amaran bahawa mainan-mainan sedemikian sepatutnya hanya dibeli daripada jenama dan penjual yang berwibawa.

Ibu bapa juga harus memantau anak-anak mereka apabila mereka bermain dengan mainan magnet, memeriksa dahulu mainan untuk mana-mana bahagian rosak atau tidak selamat, simpan mainan magnet dari jangkauan anak serta berjumpa doktor segera jika anak-anak mereka merasa tidak sihat semasa atau selepas bermain.

Enterprise Singapore menambah para pengguna boleh menyemak sama ada amaran keselamatan dikeluarkan untuk sesuatu produk itu di laman webnya atau laman web antarabangsa lain seperti US Safer Products.

Di bawah peraturan keselamatan barang pengguna Singapura, mainan perlu memenuhi piawai keselamatan antarabangsa seperti bahaya mekanikal dan keracunan dari bahan kimia berbahaya.

Sesiapa yang gagal mematuhi arahan Enterprise Singapore untuk menghentikan penjualan produk-produk tidak selamat boleh dipenjara sehingga dua tahun dan didenda sehingga S$10,000. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan