Skip to main content

Singapura

10 lelaki didakwa tukar alamat tanpa izin melalui khidmat online ICA

Anggaran Waktu Membaca:
10 lelaki didakwa tukar alamat tanpa izin melalui khidmat online ICA
Bangunan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) di Singapura. (Gambar fail: ICA)
Diterbitkan : 09 Dec 2025 06:22PM Dikemas Kini : 09 Dec 2025 06:23PM
SINGAPURA: Polis pada Selasa (9 Dis) mendakwa 10 lelaki kerana disyaki terlibat dalam beberapa cubaan tanpa kebenaran untuk menukar alamat kediaman berdaftar melalui perkhidmatan elektronik (e-service)Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).

Kes itu pertama kali didedahkan oleh ICA pada 11 Januari, selepas ia mengesan sekitar 80 cubaan tanpa izin untuk menukar alamat kediaman berdaftar melalui pilihan “lain-lain” (others) - yang membenarkan penukaran alamat oleh pihak ketiga - yang disediakan dalam khidmat online tersebut.

Tuduhan terhadap 10 lelaki berusia antara 17 hingga 32 tahun itu menjadikan jumlah keseluruhan individu yang didakwa setakat ini kepada 14, kata polis dan ICA dalam kenyataan bersama pada Selasa.

“Siasatan oleh polis dan ICA mendedahkan satu rangkaian jenayah dipercayai memintas kiriman surat bagi PIN daripada ICA, yang kemudian digunakan untuk menukar alamat kediaman berdaftar mangsa,” kata pihak berkuasa.

“Rangkaian jenayah itu dipercayai berbuat demikian untuk menerima kiriman surat bagi penetapan semula kata laluan Singpass, yang membolehkan mereka mengambil alih akaun Singpass mangsa.”

Daripada 14 individu yang didakwa, tiga dipercayai menjadi pelaku utama, manakala yang lain dipercayai membantu melakukan jenayah itu, kata pihak berkuasa.

Polis menyatakan salah seorang pelaku utama, Lee Ming Shen, 25 tahun, berdepan lapan tuduhan pada Selasa, termasuk kesalahan di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer kerana bersubahat mendedahkan kod akses Singpass dan memberi maklumat akaun kepada orang lain, serta bersubahat di bawah Peraturan Pendaftaran Kebangsaan untuk membuat permohonan palsu menukar alamat kediaman.

Sembilan suspek lain turut didakwa pada Selasa.

Mereka ialah: Klein Kong Yan Kai, 20 tahun, Serrure Cho Jing Cong, 25 tahun, Toh Zheng Han Bryan dan Muhammad Nur Hakim Abdullah - kedua-duanya 32 tahun - serta lima remaja berusia antara 17 hingga 18 tahun.

Mereka yang dipercayai mendalangi jenayah tersebut, Ng Wei Chang, 30 tahun, Yuen Mun Fei, 39 tahun, dan Koh Hong Yan, 27 tahun, semuanya sudah didakwa pada Januari, bersama Chaing Bang Xuan, 32 tahun.

Pada Selasa, polis mengemukakan tuduhan tambahan terhadap Yuen, Koh dan Chaing. Ng menerima 42 tuduhan tambahan pada Julai dan November.

Sebagai dalang utama, Ng dipercayai membuat penukaran alamat kediaman tanpa kebenaran dan dengan cara menipu, serta menjejas 18 akaun Singpass.

Chaing, salah seorang pelaku utama, dipercayai mendapatkan butiran kad pengenalan NRIC dan merekrut “runner”.

Pada Selasa, dia menerima tuduhan tambahan termasuk memindahkan hasil daripada kegiatan jenayah di bawah Akta Rasuah, Pengedaran Dadah dan Jenayah Berat Lain.

Sebelas lelaki lain dipercayai memainkan peranan sokongan seperti menjadi orang tengah untuk menghantar gambar kiriman surat PIN, memberikan butiran akaun bank atau Singpass mereka untuk keuntungan wang, dan membuat permohonan palsu menukar alamat kediaman.

Tujuh lagi individu yang ditangkap berkaitan kes ini menerima amaran bersyarat 24 bulan sebagai ganti pendakwaan.
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita