10 lelaki diberkas; disyaki terbabit urus niaga haram bahan api kapal

(Gambar: SPF)
SINGAPURA: Sepuluh orang diberkas kerana dipercayai terlibat dalam urus niaga haram minyak gas marin, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Khamis (4 Ogos).
Melalui operasi bersama dengan Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA), para pegawai Polis Pengawal Pantai (PCG) memberkas 10 lelaki, yang berusia antara 22 hingga 48 tahun, setelah mereka dipercayai terlibat dalam urus niaga haram minyak gas marin di perairan berdekatan bahagian selatan Tuas Basin.
Enam daripada lelaki-lelaki tersebut adalah anak kapal bot tunda yang berdaftar di Singapura, manakala lagi empat adalah anak kapal bot tunda dari luar negara.
Siasatan awal menunjukkan bahawa anak kapal bot tunda yang berdaftar di Singapura dipercayai menyalahgunakan minyak gas marin tanpa pengetahuan syarikat mereka dan menjualnya kepada anak kapal bot tunda berdaftar di negara asing, menurut SPF.
Bot tunda dan wang tunai bernilai S$8,000 dirampas sebagai bukti dalam operasi tersebut, tambah SPF.
Kesemua 10 lelaki itu akan didakwa di mahkamah pada Jumaat (5 Ogos), dengan para anak kapal bot tunda berdaftar di Singapura akan didakwa dengan tuduhan pecah amanah.
Empat anak kapal bot tunda asing akan didakwa dengan tuduhan menerima hasil curian secara tidak jujur.
Jika didapati bersalah atas kesalahan pecah amanah sebagai pekerja, mereka boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan didenda. Sesiapa saja yang didapati bersalah kerana menerima barang curi boleh dipenjara sehingga lima tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.
PCG dan MPA memandang serius terhadap urus niaga haram melibatkan minyak gas marin di perairan Singapura, menurut SPF.
"Pihak berkuasa akan terus menjalankan penguatkuasaan dan pemeriksaan keselamatan untuk mencegah, menghalang dan mengesan aktiviti haram di perairan Singapura," tambah SPF.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.