Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

10 kes kesan sampingan serius dilaporkan bagi kanak-kanak 5-11 tahun selepas divaksin, dedah HSA

Anggaran Waktu Membaca:
10 kes kesan sampingan serius dilaporkan bagi kanak-kanak 5-11 tahun selepas divaksin, dedah HSA

(Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

SINGAPURA: Sepuluh kes kesan sampingan yang serius dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak yang berusia antara lima hingga 11 tahun yang sudah mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 setakat sehingga hujung bulan Januari, menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Rabu (23 Feb).

Kesan-kesan sampingan itu termasuk sawan, apendisitis, penurunan tekanan darah, alahan, fungsi gingal yang luar biasa dan pembengkakan saluran darah kecil, menurut HSA.

Setakat ini, tiada kes miokarditis atau perikarditis dilaporkan dalam kalangan kumpulan usia itu.

BACA:Tempahan vaksin COVID-19 bagi budak 5-11 tahun mula minggu depan

Setakat hujung Januari, sebanyak 238,253 dos sudah diberikan kepada kanak-kanak dalam kumpulan usia itu. Kadar kesan sampingan serius yang dilaporkan dalam kumpulan usia itu adalah 0.004 peratus daripada keseluruhan dos yang diberikan, menurut HSA.

Penguasa itu bagaimanapun menegaskan bahawa laporan itu tidak "semestinya bermakna vaksin menyebabkan kesan sampingan yang serius kerana ia mungkin berkaitan dengan penyakit sedia ada atau belum didiagnosis atau mungkin secara kebetulan ia berlaku pada masa yang sama ketika mereka mendapatkan suntikan vaksin".

"HSA akan memantau dengan teliti (kesan sampingan) yang dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak dan sedang menilainya dalam konteks latar belakang kadar kejadian," tambah HSA.

Secara keseluruhannya, 280 kesan sampingan buruk dilaporkan dalam kumpulan usia ini, iaitu 0.12 peratus daripada dos yang sudah diberikan.

Kesan sampingan biasa termasuk, bengkak kelopak mata, muka atau bibir, pening kepala, demam dan sesak nafas.

Laporan tersebut merupakan kemas kini keselamatan vaksin COVID-19 yang ke-10 sejak program vaksinasi nasional bagi kumpulan usia itu dijalankan dari 30 Disember 2020 hingga 31 Januari 2022.

VAKSIN MRNA

Setakat hujung Januari 2022, Singapura sudah memberikan 12,755,259 dos vaksin mRNA Pfizer-BioNTech/Comirnaty dan Moderna/Spikevax, dengan 15,655 kejadian yang disyaki adalah kesan sampingan buruk dilaporkan.

820 kesan sampingan buruk yang serius dilaporkan, termasuk 88 kes anafilaksis dan kesan lain seperti rheumatoid arthritis, alahan kulit yang teruk, platelet rendah dan darah beku.

VAKSIN BUKAN MRNA

Setakat sehingga 31 Januari, sejumlah 369,083 dos vaksin Sinovac-CoronaVac sudah diberikan. 299 kejadian disyaki kesan sampingan buruk dan 22 kesan sampingan buruk yang serius dilaporkan.

Bagi vaksin Sinopharm, 89,350 dos sudah diberikan. 41 kesan sampingan buruk disyaki dan enam kejadian buruk yang serius dilaporkan.

DOS PENGGALAK

Sejak program dos penggalak dilancarkan pada 15 September tahun lalu, sejumlah 3,194,494 sudah menerima suntikan dos itu setakat 31 Januari, menurut HSA.

Bagi kategori ini, sebanyak 553 kesan sampingan buruk dilaporkan (0.03 peratus daripada dos diberikan) yang dikaitkan dengan vaksin PfizerBioNTech/Comirnaty dan 289 laporan kesan sampingan buruk (0.03 peratus daripada dos diberikan) dilaporkan berhubung dengan vaksin Moderna/Spikevax.

Terdapat juga 73 laporan kesan buruk yang serius (0.002 peratus daripada dos diberikan), dengan 15 kes adalah miokarditis dan perikarditis.

KESAN SAMPINGAN BURUK YANG DIBERIKAN PERHATIAN KHUSUS

HSA turut mengumumkan bahawa ia sedang memantau dengan teliti kesan sampingan buruk yang serius seperti anafilaksis, miokarditis, perikarditis dan cerebral venous thrombosis (trombosis sinus vena serebral).

Sejauh ini, kadar kejadian anafilaksis yang dilaporkan di Singapura kekal "rendah dan stabil" iaitu kira-kira 0.89 bagi setiap 100,000 dos yang diberikan, menurut HSA.

Daripada 88 kes anafilaksis yang dilaporkan berhubung vaksin mRNA, kesemua pesakitnya sudah sembuh selepas menjalani rawatan perubatan.

Satu kes miokarditis yang terkait dengan vaksin Sinovac-Coronavac dilaporkan.

Setakat hujung Januari, HSA menerima 13 laporan yang disyaki adalah trombosis sinus vena serebral yang dikaitkan dengan vaksin berkenaan.

"Vaksinasi adalah cara terbaik untuk melindungi orang ramai daripada COVID-19 dan ia berjaya menyelamatkan banyak nyawa," menurut HSA.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan