10 individu kurang upaya ditaja tunaikan umrah

(Gambar: POS TKI)
Kemudahan khas disediakan untuk rombongan istimewa ini, seperti penerbangan kelas bisnes dan van khas serta sukarelawan yang mengiringi mereka pada setiap masa.
LAWAN RASA 'ANXIETY', HARUNGI KESESAKAN DI TANAH SUCI
Antara perkara yang menakutkan jemaah umrah kali pertama yang kurang upaya intelek, Salamah Mohamed Ghazali Khan, 39 tahun adalah jika orang terlalu ramai dan saling tolak-menolak.

"Pengalaman yang tidak akan saya lupakan adalah di tempat yang suci ini, saya berjaya mengawal rasa ‘anxiety’ dan berasa tidak terlalu tertekan walaupun suasana sesak dan ketakutan saya terhadap orang yang tolak-menolak dan Alhamdulillah buat pertama kali dalam hidup saya, saya berjaya memanjat gunung. Kami diberi kesempatan untuk ziarah dan mendaki Jabal Nur! Di atas sokongan dari sukarelawan, saya berjaya mendaki sehingga ke puncaknya!"

Daripada 10 anggota rombongan khas ini, separuh merupakan golongan yang kurang sempurna penglihatan seperti Cik Fadiah Aman yang bersyukur dapat menunaikan umrah buat pertama kalinya pada usianya 58 tahun kini.
"Sebagai seorang yang kurang penglihatan, terdapat beberapa cabaran saya hadapi ketika buat umrah. Di antaranya adalah jalan di sana yang tidak rata menjadikan saya agak sukar untuk melangkah. Tangga yang tidak mempunyai warna menjadikan saya sukar untuk mendakinya walaupun dengan bantuan tongkat saya. Cabaran terbesar adalah menghadapi orang yang ramai bersama ingin solat di masjid. Namun itu tidak menghambat saya daripada melakukan ibadah yang terbaik untuk umrah ini."
"Cabaran semasa tawaf. Sesak dan ramai hinggakan saya ditolak tetapi saya hadapi dengan tabah sehingga alhamdulillah dapat menyelesaikan tawaf. Ini ditambah dengan perasaan gementar berada di kawasan sesak seperti di Raudhah," kongsi Cik Fadiah.
LEBIH BANYAK PERANCANGAN BAGI PENUHI KEPERLUAN JEMAAH KURANG UPAYA
Kejayaan ini hasil perancangan awal yang dilakukan sejak Oktober lalu antara BYSD dan POS TKI Travel.
“Kami mempersiapkan kemudahan yang mesra-OKU seperti van khas dan kumpulan khusus dalam menangani keperluan mereka. Selain itu, kami juga bekerjasama erat dengan pegawai BYSD untuk memastikan bahwa semua keperluan jemaah dapat dipenuhi. BYSD juga menempatkan relawan yang penuh perhatian bagi setiap jemaah umrah yang ikut serta.
"Tanpa para relawan ini, ibadah umrah bagi jemaah OKU itu tidak mungkin terlaksana. Kami sangat menghargai dedikasi mereka. Kami harus berdamping dengan mereka pada setiap waktu seperti solat, makan dan juga berbelanja.

Selain sokongan tersebut, perancangan bagi pengangkutan dan hotel juga dititikberatkan untuk memberi keselesaan bagi para jemaah lebih-lebih lagi yang berkerusi roda.
"Penyediaan pengangkutan mengambil bagasi dan jemaah dari rumah ke lapangan terbang untuk memastikan perjalanan mereka bermula dengan selesa tanpa perlu risau tentang kenderaan. Penyediaan pengangkutan mudah akses untuk pengguna kerusi roda melibatkan usaha memastikan bas atau van mempunyai ruangan khas untuk meletakkan kerusi roda. Penginapan di lokasi yang berhampiran dengan masjid adalah utama untuk mengurangkan jarak berjalan kaki. Hotel juga mesti mempunyai kemudahan seperti lif yang luas dan bilik mandi mesra OKU.

Perjalanan umrah dari 13 hingga 24 Januari itu ditaja sepenuhnya oleh para penderma BYSD termasuk dermawan individu dan peniaga tempatan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.