10 artis tempatan meriahkan Riuh Riuh Raya Geylang Serai anjuran WGS Sabtu ini
Sekiranya anda tidak merancang untuk berkunjung ke rumah ibu bapa atau datuk nenek Sabtu ini, kini ada 'rancangan' yang dapat anda tonton bagi mengisi masa lapang anda pada hujung minggu ini.

Poster Riuh Riuh Raya Geylang Serai. (Gambar: WGS)
SINGAPURA: Sekiranya anda tidak merancang untuk berkunjung ke rumah ibu bapa atau datuk nenek Sabtu ini, kini ada 'rancangan' yang dapat anda tonton bagi mengisi masa lapang anda pada hujung minggu ini.
Dari 9.00 malam hingga sekitar 11.00 malam, anda boleh berhibur dengan dendangan lagu-lagu Raya, lawak jenaka dan pelbagai permainan berkaitan Hari Raya oleh 10 artis tempatan dalam 'Riuh Riuh Raya Geylang Serai'!
Dianjurkan Wisma Geylang Serai dengan kerjasama Suhaimi Yusof, Riuh Riuh Raya Geylang Serai berhasrat mengekalkan semangat Lebaran dan membawa sambutan Raya dekat dengan masyarakat, dari keselesaan dan keselamatan rumah anda.
Bakal disiarkan menerusi Facebook Live WGS dan laman rasmi Suhaimi Yusof, rancangan Hari Raya itu juga akan dihoskan oleh personaliti mapan itu sendiri, Khairudin Samsudin dan Farhana M Noor.
DENDANGAN LAGU RAYA & ELEMEN BERBILANG KAUM
Antara segmen kemuncak bagi Riuh Riuh Raya Geylang Serai ialah persembahan bakat-bakat tempatan yang bakal mendendangkan lagu-lagu Raya.
Ini termasuk Wann, Ryzall Noh, Rahila Rashun, Aisyah Aziz and Aliff Aziz.
Malah, selebriti Kumar dan Patricia Mok juga akan turut serta dalam Trivia Hari Raya sambil menambah keceriaan dengan telatah lucu mereka.

(Gambar: Wisma Geylang Serai)
Jurucakap WGS memberitahu BERITAmediacorp: "Riuh Riuh Raya Geylang Serai berbeza kerana ia memiliki elemen berbilang kaum, dengan kehadiran Kumar and Patricia Mok. Mereka akan menambah kepada elemen komedi dan ditugaskan menanyakan soalan mengenai Hari Raya yang mungkin berlegar-legar di minda masyarakat bukan Muslim."
Jurucakap tersebut juga menjelaskan jarak selamat akan dilaksanakan semasa menerbitkan rancangan Hari Raya tersebut.
DR MALIKI OSMAN BUAT PENAMPILAN
Riuh Riuh Raya Geylang Serai juga bakal menampilkan Menteri Negara Kanan Dr Maliki Osman, yang akan menyentuh tentang pencapaian WGS.
Ini termasuk 'kejutan' penyalaan lampu Hari Raya tahun ini, penanda aras WGS dan program-program akan datang sehingga hujung tahun ini.
Para peniaga GeylangBazaar.Online akan turut berkongsi pengalaman berniaga di tengah-tengah pandemik COVID-19.
Rancangan Hari Raya ini juga sebahagian daripada kandungan digital percuma WGS di platform-platform media sosialnya.
Sebelum ini, ia banyak memuat naik kandungan dari persembahan akustik oleh artis tempatan, rancangan memasak, sesi komedi dan sesi kecergasan jasmani.
LANCAR 4 CABARAN TULAR DI MEDIA SOSIAL
Malah, sebagai sebahagian daripada #SGUnited, WGS juga sedang menjalankan empat cabaran tular, yang berhasrat merapatkan ikatan keluarga dan menambah keseronokan dalam masyarakat dan menyemarakkan semangat Raya.
Cabaran-cabaran tersebut terdiri daripada #BajuRayaSedondon, #TepukSepuluh, #LapLipRumahku dan #GemaKeluarga.
Dilancarkan pada 24 Mei, cabaran #BajuRayaSedondon menggalak keluarga merakam ucapan Hari Raya dalam pakaian Raya sedondon.
13 hadiah akan diberikan kepada video-video kreatif bagi mereka yang mengirim kepada Wisma_geylang_serai [at] pa.gov.sg sebelum 23 Jun 2020.
Setakat ini, lebih 40 penyertaan sudahpun dikirimkan, menurut jurucakap WGS.
"Terdapat hadiah-hadiah untuk dimenangi bukan sahaja semasa rancangan itu, tetapi juga semasa publisiti 'live' sebelum rancangan di laman Facebook Suhaimi Yusof Official, yang bermula pada Khamis. Semua hadiah ditaja oleh Harvey Norman," kata jurucakap WGS.
#TepukSepuluh pula cara menarik untuk mengucapkan terima kasih kepada pekerja barisan hadapan dan bagi menghargai komitmen dan menyanjungi perjuangan mereka memerangi pandemik ini.
Bermula sejak 19 Mei lalu, cabaran tersebut sudahpun ditonton sebanyak 350,000 kali daripada 1,300 video yang dihasilkan. Cabaran ini berlangsung selama enam bulan.
#LAPLIPRUMAHKU & #GEMAKELUARGA
Peraduan #LapLipRumahku pula bertujuan mencungkil daya kreativiti dalam masyarakat.
Bagi menyertainya, keluarga perlu mengambil gambar mereka dengan rumah yang dihiasi lampu lap-lip.
Mereka perlu memuat naik di akaun 'public' Facebook atau Instagram, sambil pautkan WismaGeylangSerai (Facebook) atau WGeylangSerai (Instagram) dengan 'hashtag' tersebut.
10 peserta akan dipilih untuk memenangi hadiah-hadiah eksklusif daripada Harvey Norman.
Sehubungan itu, cabaran #GemaKeluarga mendorong keluarga yang tinggal serumah berseronok dan berdikir barat atau menyanyi lagu Di Pinggiran Aidilfitri bersama-sama.
Bermula 5 Mei lalu, keluarga peserta juga perlu merakam video selama seminit dan mengirimkan video tersebut melalui Instagram.
Setakat ini, lebih 30 penyertaan sudahpun dikirimkan, dedah jurucakap WGS.
JANGKAKAN "JUMLAH BESAR" PENONTON
Pihak WGS juga menjangkakan "jumlah besar" penonton bagi rancangan Hari Raya ini.
Ini memandangkan lebih lima juta tontonan dicapai dari 28 April hingga 24 Mei bagi program online pihaknya semasa Ramadan lalu.
Malah, 'E-Buka Puasa' WGS juga merakam sekitar 700 orang semasa segmen nyanyian Anuar Zain, jelas jurucakap WGS.
Yang pasti, WGS akan terus menyemarakkan lagi semangat Hari Raya dan mendampingi masyarakat sepanjang musim ini bagi menggantikan pembatalan Bazar Raya Geylang Serai tahun ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.