10,000 pekerjaan bakal ditawar dalam siri pertama pesta kerjaya seawal Jun
Sekitar 10,000 pekerjaan dan latihan amali akan ditawarkan bagi siri pertama pesta kerjaya yang diterajui Majlis Pekerjaan Nasional, yang mungkin dilancarkan seawal hujung bulan ini.
SINGAPURA: Sekitar 10,000 pekerjaan dan latihan amali akan ditawarkan bagi siri pertama pesta kerjaya yang diterajui Majlis Pekerjaan Nasional, yang mungkin dilancarkan seawal hujung bulan ini.
Ini menyusuli apa yang disifatkan Menteri Pendidikan Ong Ye Kung sebagai "tsunami" kehilangan pekerjaan.
Encik Ong mendedahkan pelan majlis berkenaan untuk mewujudkan peluang kepada hampir 100,000 pekerja di tengah-tengah pandemik COVID-19.
Dalam satu temu bual dengan CNA 938, Encik Ong berkata pihaknya menyasarkan sehingga lima pesta kerjaya di merata negara tetapi ia semua bergantung kepada peralihan dari fasa pertama kepada fasa kedua pembukaan ekonomi Singapura.
Encik Ong menjangkakan krisis global sekarang akan berpanjangan.
Lantaran itu, beliau menasihati masyarakat agar bersedia menghadapi jumlah pemberhentian kerja yang lebih tinggi berbanding tiga kemelesetan ekonomi sebelum ini.
Namun begitu, menurut Encik Ong, masih ada lagi peluang pekerjaan dalam sektor-sektor pertumbuhan seperti pengilangan makanan serta permintaan bagi para pekerja kontrak jangka pendek.
Sekatan perjalanan juga membuka lebih banyak peluang pekerjaan yang sebelum ini dilakukan warga asing seperti para pemandu bas.
Selain peluang latihan, Encik Ong berkata para lulusan baru juga boleh mengikuti lebih 400 kursus pensijilan jangka pendek yang bertujuan memperluaskan kemahiran mereka.
"ITE akan mempunyai sekitar 250 kursus, 100 bagi peringkat politeknik, sekitar 100 bagi universiti dan inilah kursus bagi para lulusan baru. Ia akan dijalankan dalam tiga hingga enam bulan," kata Encik Ong.
"Para peserta akan mendapat sijil, sijil profesional, sijil diploma lanjutan atau sijil pos diploma atau sijil pos siswazah."
Pendaftaran mula dibuka bulan ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.