Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

1 zon, 100 jemaah: 15 daripada 20 masjid pilihan diisi sepenuhnya bagi solat Jumaat

Masjid Al-Mawaddah hari ini sambut 1,800 jemaah untuk solat Jumaat - bilangan paling ramai sejak 15 bulan lalu! Ia antara 20 masjid yang dibenarkan menerima 100 jemaah dalam 1 zon, berbanding 50 sebelum ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Ruang solat Jumaat untuk hari ini (26 Nov) bertambah sebanyak 9,000 slot. Ia bermakna lebih 50,000 jemaah dapat mengerjakan solat Jumaat berbanding lebih 41,000 jemaah pada minggu lalu.

Peningkatan jumlah jemaah itu berlaku setelah 20 buah masjid dibenar menambah kapasiti sehingga 100 peratus bagi setiap zon solat Jumaat, bermula hari ini (26 Nov).

Menurut Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), 15 daripada 20 masjid dengan kapasiti lebih besar ditempah sepenuhnya bagi sesi solat Jumaat masing-masing.

PELAKSANAAN DI MASJID AL-MAWADDAH

Masjid Al-Mawaddah contohnya menerima jumlah jemaah solat Jumaat yang paling ramai sejak 15 bulan lalu di tengah-tengah pandemik COVID-19 yang berterusan ini.

Ini juga hari pertama masjid itu menawarkan sebanyak enam zon solat Jumaat dalam setiap sesi, dengan setiap zon diisi 100 jemaah.

Pada minggu-minggu lalu Masjid Al-Mawaddah, seperti masjid-masjid lain di Singapura, hanya dibenar menampung 50 jemaah dalam setiap zon.

Dengan peningkatan kepada 100 jemaah serta ketiga-tiga sesi solat Jumaatnya diisi sepenuhnya, Masjid Al-Mawaddah dapat menampung sejumlah 1,800 jemaah. Ini merangkumi iaitu 60% daripada kapasiti penuh masjid itu yang mampu menampung seramai 3,000 jemaah pada setiap sesi semasa zaman prapandemik.

Masjid itu menyatakan, setelah menyediakan enam zon solat Jumaat, ia masih ada kapasiti untuk menambah 30 hingga 50 ruang slot solat dalam setiap zon tersebut sekiranya lebih banyak jemaah dibenarkan pemerintah.

Masjid Al-Mawaddah di kalangan 20 masjid sahaja di seluruh negara yang dibenarkan mempunyai 100 jemaah dalam setiap zon bermula hari ini.

Kelonggaran diperkenalkan kerana keadaan COVID-19 kini bertambah baik di Singapura.

LEBIH RAMAI JEMAAH, LEBIH RAMAI KAKITANGAN DIPERLUKAN

Namun demikian, Pengerusi Eksekutif Masjid Al-Mawaddah Ustaz Firdaus Khan Jamal Khan berkata bahawa sememangnya pertambahan jemaah harus dilakukan secara berfasa.

Masjid Al-Mawaddah akur bahawa mengendalikan lebih ramai jemaah bukan sesuatu tugas mudah. Ia memerlukan 50% lebih ramai sukarelawan berbanding minggu lepas.

Ini bagi melaksanakan kerja-kerja seperti menampal lebih banyak pelekat di ruang solat selain kerja-kerja pembasmian kuman selepas setiap sesi solat Jumaat dan menjaga tempat masuk masjid.

"Kami berterima kasih sangat kepada para sukarelawan yang ke hadapan untuk menghulurkan bantuan dan sama-sama membantu masjid lebih-lebih lagi dalam keadaan masjid dibenarkan mengubah suai jarak selamat," jelas Ustaz Firdaus.

PARA JEMAAH GEMBIRA

Para jemaah yang hadir juga rata-rata gembira dengan langkah membenarkan lebih ramai jemaah mengerjakan solat Jumaat pada satu-satu masa.

"Kita dapat solat berjemaah beramai-ramai, dapat rasakan suasana lebih meriah, lebih-lebih lagi hari Jumaat, hari kemenangan untuk orang Islam," luah Encik Farhan Sudirman, 26 tahun, yang ditemui di Masjid Al-Mawaddah.

Namun mereka juga faham akan perlunya bersikap bertanggungjawab dengan adanya lebih ramai jemaah berkumpul di satu-satu ruang.

"Saya rasa meningkatkan jumlah jemaah di masjid ini sangat baik tetapi apa-apapun kita perlu jaga keselamatan, gunakan pelitup. Ini tanggungjawab kita," kata jemaah bernama Encik Jupary Suhudi, 65 tahun.

Antara yang tidak ditempah sepenuhnya pula termasuk Masjid Pusara Aman, Masjid Tentera Di Raja dan Masjid Darussalam.

Ini dia senarai 20 masjid yang menawarkan 100 slot setiap zon solat Jumaat:

Kelompok Timur
1. Masjid Al Abdul Razak
2. Masjid Al-Ansar
3. Masjid Al-Istighfar
4. Masjid Al-Mawaddah
5. Masjid Kassim

Kelompok Utara
1. Masjid Al-Muttaqin
2. Masjid Assyafaah
3. Masjid Darul Makmur
4. Masjid En-Naeem
5. Masjid Muhajirin

Kelompok Selatan
1. Masjid Abdul Gafoor
2. Masjid Al-Amin
3. Masjid Jamiyah Ar-Rabitah
4. Masjid Mujahidin
5. Masjid Sultan

Kelompok Barat
1. Masjid Assyakirin
2. Masjid Darussalam
3. Masjid Maarof
4. Masjid Pusara Aman
5. Masjid Tentera Di Raja   

Sumber : BERITA Mediacorp/tq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa