Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

1 wanita, 2 lelaki didakwa abaikan 13 kucing dalam kes berasingan

Anggaran Waktu Membaca:
1 wanita, 2 lelaki didakwa abaikan 13 kucing dalam kes berasingan

(Gambar: Koen Eijkelenboom/Unsplash)

SINGAPURA: Tiga orang berusia antara 26 dengan 68 tahun didakwa pada Rabu (27 Jul) kerana mengabaikan kucing di tempat awam sepanjang beberapa tahun yang lalu. 

Individu paling tua antara tiga orang tertuduh itu, Song Leng Heong, berdepan tiga tuduhan di bawah Akta Haiwan dan Burung kerana mengabaikan tiga anak kucingnya di tempat meletak basikal di Blok 626 Ang Mo Kio Avenue 4 pada 26 Mei 2020. 

Menerusi seorang jurubahasa, dia memberitahu mahkamah dalam bahasa Mandarin bahawa seekor kucing jalanan melahirkan anak-anak kucing di rumahnya. 

"Jiran saya meminta saya untuk menjaga kucing-kucing tersebut di rumah saya. Saya berbuat demikian atas rasa muhibah." 

Tambahnya, dia menghubungi pihak berkuasa tetapi "mereka berkata mereka mempunyai terlalu banyak kucing dan ingin memberikan saya sangkar untuk menjaga kucing". 

Song turut mendakwa bahawa dia tidak mengabaikan kucing-kucing tersebut dan membawa mereka ke tempat meletak basikal dengan harapan bahawa orang lain akan menjaga mereka.

Namun, ini berlaku semasa perintah berkurung separa di Singapura sewaktu penularan COVID-19. Song berkata, disebabkan itu, tiada siapa yang ingin menjaga kucing-kucing tersebut. 

Tambah Song: "Jika saya benar-benar ingin abaikan kucing-kucing itu, saya akan letakkannya di sebuah tempat jauh dari rumah saya." 

Cik Wendy Tan, seorang pendakwa daripada Lembaga Taman Negara (NParks), memberitahu mahkamah bahawa Song sudah memaklumkan kepada pihak berkuasa sewaktu siasatan yang dia merupakan penjaga utama anak-anak kucing itu selama enam bulan. 

Song juga memberitahu NParks bahawa dia mengabaikan kucing-kucing itu kerana tidak lagi mampu untuj menjaganya dan ia "membuat bising di tengah-tengah malam", kata Cik Tan. 

Song kemudian berkata seorang kanak-kanak ingin mengambil kucing-kucing tersebut, tetapi ibu kanak-kanak itu ingin bertanya suaminya terlebih dahulu. Song tidak memberi perincian mengenai hasilnya. 

Hakim Daerah Lorraine Ho kemudian bertabya Song sama ada dia ingin mengaku bersalah atau tidak, memandangkan pendakwa menuntut denda sebanyak $2,000. 

Selepas beberapa minit, Song berkata dia ingin mengaku bersalah dan akan kembali ke mahkamah pada 1 September. 

KES LAIN

Muhammad Al-Imran M Roslan, 37 tahun, berdepan tujuh tuduhan. 

Dia dituduh mengabaikan lapan kucing jenis Shorthair domestik pada 23 Januari 2022 di tong sampah Blok 462 Choa Chu Kang Avenue 4. 

Individu ketiga, Muhammad Khairudie Balkiah, 26 tahun, dituduh mengabaikan seekor kucing betina yang juga jenis Shorthair bernama Comot dan seekor lagi kucing jantan Shorthair bernama Pak Teh pada 13 Disember lalu. 

Dia dipercayai meninggalkan kucing-kucing itu dalam sangkar berdekatan tangga di tong sampah pada tingkat bawah Blok 326B Sumang Walk di Punggol. 

Kedua-dua lelaki tersebut berkata mereka ingin mengaku bersalah dan akan tampil di mahkamah pada 31 Ogos untuk berbuat sedemikian. 

Jika disabit kesalahan sengaja mengabaikan haiwan, ketiga-tiga tertuduh itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 12 tahun atau didenda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya sekali, bagi setiap kesalahan. 

Mereka juga tidak akan dibenarkan memiliki haiwan peliharaan maksimum 12 bulan. 

Pada Mac, Parlimen dimaklumkan bahawa jumlah kes pengabaian haiwan peliharaan, yang separuh daripadanya melibatkan kucing, semakin naik sepanjang lima tahun yang lalu. NParks menyiasat 225 kes sedemikian tahun lalu. 

Encik Tan Kiat How, Menteri Negara Kanan Pembangunan Negara, berkata Pemerintah akan meneliti semula hukuman di bawah Akta Haiwan dan Burung untuk memastikan ia "kekal berkesan untuk mencegah tindakan pengabaian haiwan peliharaan".

Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan