Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

1 maut, seorang lagi cedera akibat kebakaran PMD di flat Jurong West

Seorang individu maut dan seorang lagi penghuni cedera setelah kebakaran tercetus di sebuah flat HDB di Jurong West pada awal pagi tadi (8 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 08 Oct 2021 12:08PM Dikemas Kini : 08 Oct 2021 08:58PM

SINGAPURA: Seorang individu maut dan seorang lagi penghuni cedera setelah kebakaran tercetus di sebuah flat HDB di Jurong West pada awal pagi tadi (8 Okt).

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan pihaknya dimaklumkan tentang kebakaran di Blok 978 Jurong West Street 93 itu pada sekitar pukul 2.25 pagi.

Dua individu, yang dilihat sedang berdiri di belebas di luar unit itu, turut diselamatkan.

"Apabila SCDF tiba di tempat kejadian, kebakaran itu boleh dilihat dari bahagian dalam sebuah unit di tingkat lima," dedah SCDF.

"Pasukan bomba SCDF yang memakai alat pernafasan bergegas memasuki unit berkenaan untuk memadamkan kebakaran. Pada masa yang sama, pasukan bomba juga memasuki sebuah bilik tidur secara paksa untuk menyelamatkan dua individu daripada belebas unit itu."

Kebakaran melibatkan isi bilik tidur itu berjaya dipadamkan menggunakan jet air. Siasatan awal menunjukkan bahawa kebakaran "berpunca daripada sumber elektrik" dari sebuah alat mobiliti peribadi (PMD), menurut SCDF.

Seorang individu ditemui di dalam bilik tidur berkenaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik. Seorang lagi penghuni yang menyelamatkan diri sebelum SCDF tiba di tempat kejadian dibawa ke Hospital Besar Singapura (SGH) kerana mengalami luka kebakaran.

Pasukan paramedik juga menilai keadaan dua individu yang diselamatkan daripada belebas itu. Kedua-duanya tidak mahu dibawa ke hospital, menurut SCDF.

Seramai 60 individu dari unit-unit berhampiran dipindahkan oleh polis sebagai langkah berjaga-jaga.

"Dua anggota bomba dinilai mengalami keletihan haba oleh pasukan paramedik dan mereka dibawa ke Hospital Ng Teng Fong sebagai langkah berjaga-jaga," menurut SCDF. "Mereka sudahpun dibenarkan keluar hospital."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan