Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

1 maut selepas kereta terbakar di Cassia Crescent

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang individu maut pada Jumaat (7 Jan) selepas satu kejadian kereta terbakar di tempat meletak kereta bersebelahan dengan Pusat Polis Kejiranan Geylang. 

Menjawab pertanyaan Mediacorp, polis mendedahkan bahawa pihaknya memberikan respons kepada satu kes kereta terbakar di tempat meletak kereta di Blok 42 Cassia Crescent sekitar pukul 3.00 petang semalam (7 Jan). 

"Individu berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF)," menurut polis. 

Pihak berkuasa bagaimanapun tidak memberi gambaran tentang jantina ataupun umur mangsa tersebut. 

Polis juga menyatakan ia tidak mensyaki perbuatan khianat berdasarkan siasatan awal. 

Menurut laporan media tempatan, seorang pemandu lelaki terperangkap dalam sebuah kereta Mazda 3 putih selepas merempuh sebuah lagi kereta di tempat letak kereta yang jaraknya lima minit daripada Pusat Makanan Old Airport Road yang popular. 

Penduduk di kawasan tersebut menyedari tentang kejadian itu apabila terhidu asap di udara, menurut laporan itu lagi.

Seorang lagi penduduk memberitahu akhbar tersebut bahawa seorang pegawai polis mencuba untuk menarik lelaki itu keluar daripada kereta, namun tidak berjaya. 

Menurut laporan itu lagi, kereta tersebut merupakan kenderaan sewa daripada sebuah syarikat yang menyewakan kenderaan menerusi platform e-dagang Carousell.

Satu rakaman video yang dimuat naik ke media sosial tentang kejadian tersebut menunjukkan sebuah kereta putih yang dijilat api sementara beberapa lelaki cuba memadamkan api itu dengan pancutan air.

Siasatan polis sedang dijalankan.

Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan