Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

1 juta penduduk S'pura dijangka hidap kencing manis - Pasukan Bertindak baru antara penangkisnya

Pemerintah hari ini (4 Nov) mengumumkan penubuhan satu Pasukan Bertindak yang baru di peringkat negara, untuk melakukan transformasi nasional demi mewujudkan penduduk lebih sihat.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pemerintah hari ini (4 Nov) mengumumkan penubuhan satu Pasukan Bertindak yang baru di peringkat negara, untuk melakukan transformasi nasional demi mewujudkan penduduk lebih sihat.

Pasukan bertindak berbilang agensi itu akan dipimpin Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan merangkap Ehwal Dalam Negeri, Amrin Amin.

Inisiatif baru itu didedahkan sedang Pemerintah memberi amaran bahawa penduduk Singapura yang menghidap kencing manis dijangka mencecah sejuta orang menjelang tahun 2050, jika tiada langkah diambil.

DITERAJUI 5 SETIAUSAHA PARLIMEN KANAN

Hari Kencing Manis Sedunia tahun ini jatuh pada 14 November. Namun Singapura menyambutnya lebih awal, iaitu hari ini.

Sebagai sebahagian usaha awal Singapura untuk menyekat trend bertambahnya pesakit kencing manis jugalah, Menteri Kesihatan Gan Kim Yong mengumumkan pembentukan Pasukan Bertindak yang akan menggalak gaya hidup sihat di kalangan penduduk Singapura.

"Pasukan Bertindak itu akan saling bekerjasama dan menyelaraskan usaha-usaha merentasi pelbagai agensi awam, dan meneroka idea-idea yang menjana kekuatan masyarakat, prasarana, teknologi dan kaedah kajian tingkah laku demi mendorong rakyat Singapura supaya mengamalkan gaya hidup sihat," menurut Encik Gan.

Gambar fail Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri, Amrin Amin.

Pasukan yang dipengerusikan Encik Amrin Amin itu dianggotai lima Setiausaha Parlimen Kanan dari pelbagai kementerian, iaitu:

1. Amrin Amin, Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan merangkap Ehwal Dalam Negeri

2. Baey Yam Keng, Setiausaha Parlimen Kanan Pengangkutan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia

3. Low Yen Ling, Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan merangkap Tenaga Manusia

4. Dr Muhammad Faishal Ibrahim, Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan

5. Sun Xueling, Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara

"LEBIH BANYAK BOLEH, PERLU DILAKUKAN"

Mengulas pelantikannya itu dalam catatan Facebook, Encik Amrin berkata bahawa walaupun semakin ramai rakyat Singapura mengamalkan gaya hidup sihat, "lebih banyak usaha boleh dan perlu dijalankan".

Encik Amrin menambah, Pasukan Bertindak itu akan mengadakan sesi-sesi perbincangan awam dari Januari hingga Mei tahun depan.

Ia bertujuan menjana pelbagai idea baru dan segar untuk dilaksanakan bagi membina Singapura yang lebih sihat.

Menurut Encik Gan pula, Pasukan Bertindak itu akan memberi tumpuan kepada tiga teras utama, iaitu:

- Mengubah sekitaran kehidupan
- Mengupaya individu menerusi teknologi, dan
- Mendampingi masyarakat menerusi pelbagai khidmat lebih cekap serta program lebih baik

Encik Gan turut mendedahkan bahawa kementeriannya akan menganjurkan satu Persidangan Peringkat Menteri berhubung Penyakit Kencing Manis, pada hujung bulan ini.

Disertai para pemimpin pemerintah antarabangsa dan pakar-pakar ia diharap menghasilkan kerjasama baru diperingkat tempatan dan global, demi mewujudkan sekitaran untuk hidup bebas kencing manis.

KECEWA TAPI ENGGAN BIAR KENCING MANIS JADI HAMBATAN

Di acara yang sama, Encik Gan juga menekankan betapa penyakit kencing manis bukan setakat menjejas para pesakitnya sahaja, malah turut mengganggu seluruh anggota keluarga mereka, khususnya beban kewangan dan penjagaan.

Namun demikian, dalam ucapannya itu Encik Gan memuji individu-individu yang walaupun menghidap penyakit kencing manis, terus berusaha menjadi pengaruh positif.

Iaitu dengan mengajak keluarga dan masyarakat supaya mengubah gaya hidup mereka.

Salah seorang yang disebut Encik Gan sebagai contoh ialah Encik Juhari Abdul Karim, yang disahkan menghidap penyakit kencing manis Jenis 2 pada tahun 2011.

Walaupun pada awalnya sukar untuk menerima hakikat tersebut, Encik Juhari berjaya menangani penyakitnya.

"Saya tidak boleh jadikan satu hambatan. Jadi saya teruskan dengan gaya sihat. Saya mulakan berlari, apa-apa jua senaman yang saya boleh buat, saya buat. Jadi itulah permulaan yang saya lakukan bila saya dapat (penyakit)," kata Encik Juhari, yang kini berlari-lari anak setiap hari.

Sekitar sebulan selepas beliau disahkan menghidap penyakit kencing manis, abangnya dan juga kedua ibu bapanya juga menghidap penyakit yang sama.

Enggan membiarkan keadaan keluarga begitu sahaja, Encik Juhari berusaha meyakinkan mereka supaya mengubah gaya hidup dan terus aktif. Ini di samping memastikan beliau tidak terlepas memantau kadar gula dalam darahnya sendiri.

Yang pasti, usaha Encik Juhari membuahkan hasil dan kini kadar gula dalam darah mereka dan dirinya dalam keadaan terkawal.

"AMAT SUSAH" AJAK ORANG MELAYU BERSENAM

Encik Juhari, yang bertugas sebagai Superintenden Projek dalam Industri Minyak dan Gas Luar Pesisir, bersama-sama isterinya Norafida Ismail juga cuba untuk mendampingi jiran tetangga di estet perumahan Toa Payoh supaya mengamalkan gaya hidup sihat.

Sekalipun demikian, usaha itu seolah-olah menemui jalan buntu. Encik Juhari dan isterinya memberitahu BERITAmediacorp, amat sukar untuk mengajak "orang melayu kita" bersenam kerana rata-rata mereka mempunyai mentaliti "tidak apa" atau "lain kali".

"Pada mereka kencing manis ini mereka tidak boleh bersenam, hanya perlu makan ubat dan mereka bergantung kepada apa-apa yang mereka ada. Untuk mengajak mereka bersenam amatlah susah. Kadang-kadang bila berjumpa, (mereka kata) 'ok saya datang. Lepas itu besoknya tak datang'," ujar Encik Juhari.

Oleh itu, beliau berharap masyarakat dapat mengubah cara pemikiran mereka.

"Walaupun kita rasa penyakit ini tidak datang tapi sebenarnya ada pada semua orang. Cuma watu dan masanya tak sampai lagi. So saya syorkan jangan malu teruskan bersenam. Kalau tak boleh lari kita jalan. Itu yang paling baguslah," kata Encik Juhari, 42 tahun. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan