Skip to main content

Singapura

1 daripada 4 pekerja platform berusia pilih caruman CPF lebih tinggi

Anggaran Waktu Membaca:
1 daripada 4 pekerja platform berusia pilih caruman CPF lebih tinggi

Seorang pekerja penghantaran makanan di daerah pusat bandar Singapura pada 14 Januari 2022. (Gambar: CNA/Calvin Oh)

SINGAPURA: Pemandu kenderaan sewa privet, Lincoln Khoo, memilih untuk menyertai skim caruman CPF (Tabung Simpanan Pekerja) lebih tinggi bagi pekerja platform kerana baginya, “CPF itu duit saya juga, jadi lebih baik saya sertai untuk dapatkan pendapatan tambahan.”

Dengan pilihan ini, beliau layak menerima caruman CPF daripada syarikat platform di mana beliau bekerja – dalam kes ini, Gojek dan Tada.

Encik Khoo, 40 tahun, yang memandu secara sambilan dan juga bekerja sebagai pengacara majlis serta perunding kewangan, memperoleh sekitar S$1,000 sebulan daripada 50 perjalanan yang dilakukan. Walaupun pendapatan tunai berkurangan disebabkan caruman CPF yang lebih tinggi, ia tidak menjadi masalah kerana beliau ada sumber pendapatan lain.

Beliau tergolong dalam kumpulan kecil pekerja platform lebih berusia – lahir sebelum 1 Januari 1995 – yang diberi pilihan sama ada mahu menaikkan caruman CPF mereka sehingga menyamai pekerja bergaji menjelang 2029.

Menurut jurucakap Lembaga CPF, setakat April lalu, hanya satu perempat daripada pekerja platform yang lebih berusia memilih untuk meningkatkan kadar caruman mereka.

Langkah ini bermula pada awal 2025 di bawah Akta Pekerja Platform, yang bertujuan memberi perlindungan pekerjaan lebih kukuh kepada pekerja gig seperti pemandu kenderaan sewa privet, penghantar makanan dan teksi yang menggunakan aplikasi e-hailing.

BAGAIMANA SKIM INI BERFUNGSI

Pekerja yang tidak memilih pilihan ini hanya membuat caruman MediSave dan tidak menerima caruman majikan.

Yang memilihnya pula akan mencarum ke MediSave, Akaun Biasa dan Akaun Khas, serta menerima caruman tambahan daripada majikan atau pengendlai platform.

Antara Januari hingga April, kira-kira 105,700 pekerja platform menerima caruman CPF sekurang-kurangnya sekali. Daripada jumlah ini, 88,200 adalah mereka yang lahir sebelum 1995, dan caruman lebih tinggi tidak diwajibkan bagi kumpulan ini.

Hanya 22,400 atau 25 peratus yang memilih untuk menyertainya, tiga kali ganda berbanding Disember 2024. Jika hanya mengambil kira mereka yang bekerja secara konsisten setiap bulan, kadar penyertaan naik kepada 30 peratus.

Jurucakap CPF berkata, trend ini menunjukkan mereka yang lebih bergantung kepada kerja platform dapat melihat nilai caruman CPF, dan pihaknya menggalakkan lebih ramai untuk mempertimbangkannya.

Bagi mereka yang lahir pada atau selepas 1 Januari 1995, caruman lebih tinggi adalah wajib.

APA KATA PEKERJA PLATFORM?

Mulai 2025, pengendali platform perlu mencarum 3.5 peratus daripada pendapatan bersih pekerja yang memilih pilihan ini, meningkat secara berperingkat sehingga 17 peratus pada 2029 – sama seperti majikan kepada pekerja bergaji.

Pekerja platform juga akan meningkatkan caruman sendiri sehingga 20 peratus menjelang 2029.

Namun, sesetengah pekerja masih bimbang pendapatan tunai akan berkurang.

Zulkifli Othman, 42 tahun, penghantar Foodpanda sepenuh masa, tidak memilihnya kerana mahu lebih banyak wang tunai untuk perbelanjaan harian. Beliau kemudian meninggalkan kerja penghantaran untuk bekerja di kilang demi kestabilan.

John Lau, 40 tahun, pemandu kenderaan sewa privet sambilan empat malam seminggu, juga tidak memilihnya kerana pendapatan tambahan daripada CPF dianggap kecil, dan beliau sudah ada caruman CPF melalui kerja tetapnya.

Mr Lee, 43 tahun, penghantar Grab, pada awalnya memilihnya tetapi kemudian menyesal kerana kadar permulaan 3.5 peratus terlalu rendah dan beliau tidak boleh menarik diri selepas mendaftar.

Pada tahun pertama pelaksanaan, bahagian terbesar caruman CPF pekerja platform diagihkan ke MediSave berbanding Akaun Biasa atau Khas, dan agihan ini akan diubah secara berperingkat sehingga 2029.

Pekerja platform berpendapatan S$3,000 ke bawah yang membayar caruman lebih tinggi boleh menerima bayaran tunai bulanan di bawah skim Bantuan Peralihan CPF Pekerja Platform (PCTS). Antara Mac dengan Jun, 16,500 orang meraih manfaat ini. Skim ini akan ditamatkan selepas 2028.

APA KATA PAKAR?

Menurut pakar ekonomi, Profesor Madya Walter Theseira, tidak memilihnya bermakna pekerja kehilangan “kenaikan gaji” berkesan kerana tidak menerima caruman majikan yang boleh mencecah 17 peratus.

Beliau menegaskan caruman ke Akaun Biasa penting untuk membeli rumah, dan tanpa CPF, lebih sukar untuk mengumpul wang pendahuluan. Beliau mencadangkan agar pekerja diberi contoh khusus, seperti simulasi jumlah CPF untuk membeli rumah atau simpanan persaraan.

Shamil Zainuddin, pelajar PhD yang mengkaji pekerjaan platform di Universiti California, berkata sebab paling biasa orang memilih langkah ini adalah disebabkan ada caruman tambahan daripada platform. Walaupun kadar awal rendah, ia tetap simpanan tambahan yang akan meningkat.

Beliau menekankan keperluan memberi maklumat lengkap supaya pekerja membuat keputusan yang tepat kerana pilihan ini tidak boleh diubah semula. Pekerja juga perlu mendengar pengalaman sebenar rakan sekerja yang memilih pilihan tersebut.
Sumber : CNA/NK/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita