Skip to main content

Singapura

1 daripada 2 orang di dunia yang hidapi barah sarkoma: Ibu ini tidak mudah berputus asa

Anggaran Waktu Membaca:
1 daripada 2 orang di dunia yang hidapi barah sarkoma: Ibu ini tidak mudah berputus asa

(Gambar: Atika Razak)

Diterbitkan : 14 Jan 2024 03:08PM

SINGAPURA: Atika Razak, 36 tahun, sudah menjalani tiga pembedahan otak, satu pembedahan hati, dan satu pembedahan pinggul dalam tempoh lapan tahun. Beliau didiagnos pada 2015 dengan sarkoma, sejenis barah yang tumbuh di dalam tulang dan tisu lembut, yang jarang berlaku.

Pada 2019, barah tersebut sudah menjadi barah Tahap 4, di mana pesakit biasanya dapat bertahan untuk setahun. Cik Atika kini sudah berjuang melawan penyakit tersebut selama empat tahun.

a


"Lelaki mana yang ingin menikahi wanita sakit?" tanya Cik Atika. Namun, suaminya Encik Abdul Razak Jumain, masih menemaninya bagi setiap lawatan ke hospital, lapan tahun selepas diagnosis buat kali pertama. Anak perempuannya, Daanya, 4 tahun, yang dilahirkan ketika Cik Atika sedang menghidapi barah, sering mengikut pasangan tersebut.

SAKIT KEPALA

Pada 2014, Cik Atika berusia dalam lingkungan lewat 20-an ketika dia mengalami sakit kepala yang teruk.

"Saya mengalami beberapa pengalaman pedih di mana kepala saya akan berdenyut dan saya akan melihat pancaran cahaya putih, dan kadangkala akan tidak sedarkan diri," kata Cik Atika ketika mengimbas kembali pengalaman tersebut.

Beliau bertemu doktor dan ke jabatan kecemasan hospital, namun keadaannya yang jarang berlaku mengelirukan doktor. Mereka menganggapnya sebagai migrain dan hanya memberinya ubat penahan sakit. Akhirnya, atas permintaannya, Cik Atika mendapat rujukan untuk berjumpa pakar bedah.

“Doktor yang merawat saya mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dan beliau meminta nasihat seorang doktor kanan. Namun ketika beliau kembali, doktor tersebut menghantar saya pulang dengan ubat penahan sakit untuk menunggu temu janji saya yang dijadualkan pada keesokan hari. Saya pulang ke rumah pada pukul 7.00 pagi dan baring di atas katil, di mana saya muntah pada setiap jam,” katanya.

i

Ketika Encik Razak membawa Cik Atika pulang ke hospital untuk temu janjinya pada pukul 3.00 petang hari itu, dia dalam keadaan tidak sedarkan diri. Cik Atika terbangun di unit jagaan rapi (ICU) dan diberitahu bahawa beliau mempunyai tumbuhan sebesar 8 sentimeter dalam otaknya.

Dua hari kemudian, pada Oktober 2015, Cik Atika menjalani pembedahan otak pertamanya untuk membuang tumbuhan tersebut. Doktornya menghantar tisu itu untuk biopsi dan mendapati bahawa Cik Atika menghidapi barah otak, khususnya jenis sarkoma tisu lembut.

Beberapa bulan kemudian selepas mengambil cuti sakit, beliau diminta untuk meletak jawatan secara tidak langsung sebagai ketua cef pastri di sebuah rangkaian kedai kek. "Saya rasa seperti semua dalam hidup saya sedang runtuh," kata Cik Atika.

MEMBINA KELUARGA MESKIPUN MENGALAMI CABARAN

Meskipun demikian, kehidupannya tidak runtuh. Dengan sokongan emosi dan kewangan suami dan keluarganya, Cik Atika perlahan-lahan bangkit dan memulakan perniagaan kek. Beberapa bulan kemudian pada Januari 2017, dia menikahi Encik Razak pada usia 30 tahun.

Beberapa bulan selepas pernikahannya, imbasan menunjukkan satu lagi tumbuhan di otak. Cik Atika menjalani pembedahan radio, yang menggunakan radiasi untuk membunuh sel barah dan mengecilkan tumbuhan tersebut. Pada Jun 2018, satu lagi tumbuhan 0.5 sentimeter dikesan di dalam otaknya.

Sebelum doktor dapat merawat tumbuhan itu, pasangan tersebut menerima khabar mengejutkan. Cik Atika mendapat tahu bahawa dia mengandung.

t

Rawatan dan imbasannya digantung ketika tempoh Cik Atika mengandung. Beliau juga menghentikan perniagaan keknya.

Pada Mei 2019, Cik Atika melahirkan bayi perempuan, yang dinamakan Daanya.

Walaupun keadaan kesihatannya yang teruk, Cik Atika menjaga bayi yang baru lahir itu. Bagaimanapun, disebabkan dia mengalami sawan akibat tumbuhan di otak, Cik Atika dan suaminya, yang merupakan kakitangan pemerintah bersetuju kepada satu kod kecemasan.

"Jika saya menghubunginya dan tidak berkata apa-apa, ia bermakna saya sedang mengalami sawan. Beliau akan bergegas balik ke rumah dan sampai dalam 30 minit.

"Selepas mengalami sawan, saya tidak dapat bercakap, dan saya akan rasa sangat letih, tangan saya juga akan rasa kebas. Beliau akan tolong menjaga Daanya sementara saya berehat," katanya.

PERJUANGAN SEORANG IBU MELAWAN BARAH

Malangnya, tumbuhan pada otaknya yang dikesan sebelum Cik Atika disahkan hamil terus berkembang. Pada April 2020, beliau menjalani pembedahan otak kedua pada hari pertama langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19.

Tujuh bulan kemudian, Penolong Profesor Valerie Yang, seorang onkologi daripada NCCS, menyifatkan tumbuhan yang ditemui di hati Cik Atikah sebagai "tumbuhan bersaiz bola sepak" sebesar 10 sentimeter.

Doktor juga menemui luka di tulang kelengkang, tulang belakang dan pinggulnya.

Barahnya sudah berada pada Tahap 4.

"Saya berasa positif selama beberapa tahun lalu. Namun perasaan berharap dan positif lenyap pada waktu itu. Ia merupakan masa yang sangat gelap," katanya. Keluarga Cik Atika membantunya mengharungi tempoh tersebut.

Sarkoma merupakan penyakit yang jarang berlaku, namun jenis sarkoma yang dihidapi Cik Atika, tumbuhan di bahagian otak yang dikenali sebagai ventrikel, lebih jarang berlaku dengan hanya 30 kes di dunia.

Demikian menurut Penolong Profesor Yang.

Cik Atika merupakan satu daripada dua kes yang diketahui di dunia di mana barah tersebut menunjukkan tingkah laku agresif, yang merebak dan berulang ke bahagian lain di dalam badan, tambah Penolong Profesor Yang.

Cik Atika menjalani dua kitaran kemoterapi, diikuti dengan pembedahan untuk membuang tumbuhan di hati, dan dia diberikan ubat yang berjaya mengawal barah tersebut untuk seketika.

Pada Disember 2021, dia menjalani pembedahan otak ketiga, diikuti dengan empat kitaran kemoterapi.

Cik Atika juga menjalani pembedahan radio serta imunoterapi pada 2023, iaitu rawatan yang membantu sistem imun melawan sel kanser.

q

Meskipun sudah menjalani rawatan yang banyak, keadaan Cik Atika menjadi buruk pada awal tahun ini. Imbasan menunjukkan bahawa barahnya sudah merebak ke bahagian lain dalam badannya.

Pada 4 Januari, dia menjalani pembedahan untuk memperbaiki retakan yang diakibatkan oleh sarkoma yang merebak ke tulang. Cik Atika dijadualkan bagi dua pembedahan untuk membuang tumbuhan yang menekan saraf tunjangnya.

"Meskipun dengan keadaan saya ini, saya rasa cukup. Saya rasa sempurna. Walaupun saya sakit, saya gembira. Seperti yang selalu dikatakan Razak, setiap hari adalah bermakna. Selagi mana kami mempunyai satu hari lagi untuk hidup, kami boleh mencipta lebih banyak memori bersama," kata Cik Atika sambil tersenyum.

Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita