Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

1 dalam 4 pelajar madrasah S'pura akhirnya jadi asatizah

Berdasarkan Kajian Perancangan Tenaga Kerja Asatizah, ini hampir memadai, kata Encik Masagos.

Anggaran Waktu Membaca:
1 dalam 4 pelajar madrasah S'pura akhirnya jadi asatizah

Para pelajar Madrasah Wak Tanjong yang menerima keputusan GCE O pada 11 Jan 2021. (Gambar: MUIS)

SINGAPURA: Tahukah anda, sekitar satu daripada setiap empat pelajar yang memulakan pendidikan mereka di madrasah lulus daripada laluan ukhrawi dan akhirnya menjadi asatizah.

Demikian dedah Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli semasa membahaskan Jawatankuasa Peruntukan Ehwal bagi Masyarakat Islam hari ini (10 Mac).

Beliau memberi perangkaan tersebut sebagai menjawab pertanyaan Anggota Parlimen Dilantik Encik Abdul Samad, yang bertanya tentang kadar pengekalan pelajar dalam sistem madrasah.

"Setiap tahun, madrasah secara keseluruhan menerima sekitar 380 pelajar di peringkat darjah satu. Dalam setiap kohort, sekitar 50 pelajar sertai sekolah nasional, sama ada dalam tempoh enam tahun pendidikan sekolah rendah ataupun selepas PSLE (Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah).


masagos


"Di kalangan mereka yang kekal dalam madrasah, sekitar separuh akan melanjutkan pendidikan posmenengah di institusi-institusi sekular.

"Hari ini, sekitar satu daripada setiap empat pelajar yang memulakan pendidikan mereka di madrasah lulus daripada laluan ukhrawi, dan menjadi asatizah. Berdasarkan Kajian Perancangan Tenaga Kerja Asatizah, ini hampir memadai," kata Encik Masagos di parlimen.

"HARUS BERBANGGA" NAMUN HARUS TITIKBERATKAN TUJUAN UTAMA

Encik Masagos menarik perhatian masyarakat "harus berbangga kerana para pelajar madrasah sekarang tidak menghadapi masalah untuk beralih ke jurusan sekular".

Namun, kata beliau, perlu juga dititikberatkan bahawa tujuan utama pendidikan madrasah setempat adalah untuk melahirkan asatizah baru yang bakal membimbing masyarakat Islam Singapura dan memperkembangkan sektor keagamaan. Ini di samping menyumbang ke jurusan-jurusan umum jika mereka pilih untuk melakukan sedemikian, kata Encik Masagos.

"Bagi pelajar madrasah yang bakal digelar asatizah, mereka harus berupaya menyampaikan nasihat agama yang berhikmah. Mereka perlu memahami realiti kehidupan masyarakat di sini, dan peka terhadap nuansa budaya kita demi membimbing masyarakat Islam untuk mengharungi cabaran-cabaran baru dan rumit.

madrasah

"Sejajar dengan tumpuan tahun ini untuk mempertingkat kemahiran masyarakat, kami akan menyokong sektor asatizah untuk sama-sama memperoleh kemahiran penting," kata Encik Masagos.

Ini akan dilaksanakan melalui tiga strategi termasuk membangunkan gedung-gedung ilmu yang kritikal bagi asatizah supaya mereka dapat didedahkan kepada pandangan serta perspektif yang lebih meluas.

Dua lagi strategi, kata Encik Masagos, ialah mempertingkat laluan kerjaya bagi sektor keagamaan bagi memastikan bidang tersebut kekal menarik dan relevan serta menggembleng sumber-sumber masyarakat untuk membangunkan terus sektor keagamaan.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan