Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

1 dalam 3 pembeli online pilih bungkusan guna semula: tinjauan WWF-SG

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPORE: Satu daripada tiga pembeli online di Singapura memilih bungkusan boleh guna semula bagi pembelian mereka.

Demikian menurut kajian perintis yang dijalankan oleh Tabung Alam Sedunia Singapura (WWF-Singapura).

Kajian perintis selama enam bulan itu melibatkan sekitar 15,000 urus niaga pelanggan. Di bawah inisiatif tersebut, para pembeli yang membeli barang daripada peruncit boleh memilih beg guna semula untuk penghantaran barangan mereka.

Bungkusan itu boleh dipulangkan tanpa sebarang kos kepada syarikat penghantaran atau mana-mana peti surat Singapore Post (SingPost).

Antara pelanggan yang memilih untuk menggunakan bag guna semula, kira-kira lapan daripada 10 mengaitkan pilihan mereka dengan kebimbangan terhadap kemampanan.

Lebih separuh daripada pelanggan yang memilih bag guna semula juga menghantar semula bungkusan itu.

Dua belas peruncit yang menyertai usaha itu menjual pelbagai barang seperti barangan jagaan kesihatan, barangan runcit dan jagaan haiwan peliharaan.

GALAK BUNGKUSAN GUNA SEMULA DI SG

Kajian perintis itu bertujuan untuk menilai kebolehan bungkusan guna semula e-dagang di Singapura.

Ketua eksekutif WWF-Singapura R.Raghunathan berkata pada Selasa (11 Apr) bahawa setiap orang harus memainkan peranan supaya lebih banyak pelanggan serta peruncit menggunakan bungkusan guna semula.

Bagi inisiatif perintis itu, WWF-Singapura bekerjasama dengan UOB, DHL Consulting, SingPost dan Better Packaging Co.

Dr Yvonne Lin, seorang pakar bahan di WWF-Singapura berkata bahawa dapatan daripada kajian itu adalah memberangsangkan, memandangkan "ini adalah konsep baru bagi rakyat Singapura".

Mengenai sama ada para pelanggan harus membayar lebih untuk bungkusan sedemikian, Dr Lin memberitahu CNA938 pada Rabu (13 Apr) bahawa "ia bergantung kepada reka bentuknya".

Tinjauan itu mendapati bahawa dengan pendidikan dan kemudahan pelanggan yang lebih baik, kadar pemulangan bungkusan guna semula tersebut boleh meningkat lebih daripada 75 peratus.

SOKONG PERUNCIT USAHA GUNAKAN BUNGKUSAN GUNA SEMULA

WWF-Singapura menggesa pemain logistik, platform e-dagang, peruncit dan institusi-institusi pemerintah untuk mengambil peranan yang aktif bagi membolehkan ekosistem itu berkembang di luar kajian perintis tersebut.

Ini setelah beberapa peruncit online mengharapkan lebih banyak sokongan untuk membantu mereka meningkatkan kadar pilihan dan pemulangan bungkusan guna semula bagi pembungkusan e-dagang.

"Saya rasa dengan menetapkan undang-undang terhadap usaha itu, ia dapat menggalak orang ramai menggunakan bungkusan guna semula," kata Encik Terry Peh, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pengasas kedai haiwan online Good Dog People, yang merupakan antara peruncit yang terlibat.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan