Skip to main content

Singapura

1% Anggota Perkhidmatan Negara tidak layak terima kredit NS55 atas 'kesalahan serius & isu disiplin'

Anggaran Waktu Membaca:
1% Anggota Perkhidmatan Negara tidak layak terima kredit NS55 atas 'kesalahan serius & isu disiplin'

Gambar: Facebook Kementerian Pertahanan (MINDEF)

Diterbitkan : 13 Sep 2022 12:14AM Dikemas Kini : 13 Sep 2022 12:15AM
SINGAPURA: Kira-kira satu peratus Anggota Perkhidmatan Negara tidak layak menerima Pakej Pengiktirafan NS55 disebabkan oleh kesalahan-kesalahan serius dan isu-isu disiplin.

Ini didedahkan oleh Menteri Pertahanan Ng Eng Hen dalam jawapan bertulisnya kepada Parlimen pada Isnin (12 Sep) selepas diajukan soalan oleh AP Wan Rizal Wan Zakariah (PAP-Jalan Besar) mengenai berapa ramai Anggota Perkhidmatan Negara yang tidak layak menerima pakej tersebut.
"Semua penerima yang layak sudah menerima kredit masing-masing menjelang akhir Julai dan pada akhir Ogos, dengan lebih 50 peratus penerima sudahpun menggunakan sebahagian ataupun kesemua kredit mereka," kata Dr Ng.

"Kira-kira 47 peratus daripada semua kredit yang diagihkan sudah digunakan, dengan jumlah itu lebih tinggi berbanding tempoh yang sama bagi pakej NS50 pada 2017 semasa salinan fizikal baucar diagihkan."

Dr Wan Rizal juga bertanya mengenai jumlah aduan berhubung kesulitan yang dihadapi untuk menebus kredit dan langkah yang diambil untuk menangani isu-isu sedemikian.

Menurut Dr Ng, aplikasi LifeSG yang digunakan untuk menebus kredit itu mempunyai penarafan purata sebanyak 4.8 daripada lima bintang.

Beliau menambah bahawa pusat panggilan dan talian melalui emel Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) membalas hampir 8,000 panggilan telefon dan emel daripada Anggota Perkhidmatan Negara yang memerlukan pertolongan untuk menebus kredit ataupun meminta salinan fizikal baucar.

Jumlah tersebut membentuk kira-kira 0.8 peratus daripada kesemua penerima.

Para duta digital juga dikerahkan ke lokasi-lokasi seperti kelab masyarakat terpilih, perpustakaan awam serta kelab SAFRA dan HomeTeamNS.

Mereka menyediakan khidmat kepada kira-kira 16,000 individu daripada masyarakat awam. Para duta digital membantu mereka menangani pelbagai isu seperti memuat naik aplikasi dan menunjukkan cara-cara untuk menggunakan khidmat penebusan itu.

Kira-kira 4,000 Anggota Perkhidmatan Negara atau hampir 0.4 peratus meminta salinan fizikal baucar dihantar kepada mereka.

"Ini terutamanya para Anggota Perkhidmatan Negara yang tidak mempunyai akses kepada telefon bijak atau tidak selesa membuat pembayaran digital, meskipun kami sudah menawarkan bantuan," kata Dr Ng.

Beliau menambah bahawa mereka yang memilih untuk menukar kredit digital mereka kepada salinan fizikal lazimnya akan menerima baucar itu dalam tempoh sebulan dari permintaan mereka.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita