Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

1,500 pekerja jagaan kesihatan letak jawatan dalam 6 bulan pertama 2021

Peletakan jawatan dalam kalangan pekerja jagaan kesihatan meningkat pada separuh pertama tahun ini dek tekanan pandemik COVID-19, kata Menteri Negara Kanan Kesihatan Janil Puthucheary pada Isnin (1 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 01 Nov 2021 03:10PM Dikemas Kini : 01 Nov 2021 09:14PM

SINGAPURA: Peletakan jawatan dalam kalangan pekerja jagaan kesihatan meningkat pada separuh pertama tahun ini dek tekanan pandemik COVID-19, kata Menteri Negara Kanan Kesihatan Janil Puthucheary pada Isnin (1 Nov).

Semasa memberikan kemas kini di Parlimen mengenai situasi semasa di unit jagaan rapi (ICU) dan hospital-hospital tempatan, Dr Puthucheary berkata sekitar 1,500 pekerja jagaan kesihatan meletak jawatan pada separuh pertama 2021, berbanding kira-kira 2,000 setiap tahun sebelum pandemik melanda.

Lebih ramai warga asing yang bertugas sebagai pekerja jagaan kesihatan di sini meletak jawatan dengan Kementerian Kesihatan (MOH) menerima hampir 500 peletakan jawatan daripada para doktor dan jururawat warga asing pada separuh pertama 2021, meningkat dari sekitar 500 pada 2020 dan sekitar 600 pada 2019.

“Peletakan jawatan ini kebanyakannya atas sebab peribadi, untuk bekerja di negara lain atau pulang ke negara asal mereka,” kata Dr Puthucheary.

Menurut beliau, tanda-tanda keletihan dapat dilihat pada pekerja jagaan kesihatan yang bertungkus lumus melawan wabak itu sejak 20 bulan yang lalu.

Sebilangan besar pekerja ini juga tidak berpeluang untuk mengambil cuti sejak 2020 dan lebih 90 peratus daripada mereka tidak akan dapat menghabiskan cuti mereka bagi 2021. Jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding dua tahun lalu.

MOH Holdings baru-baru ini mengumumkan bahawa pekerja jagaan kesihatan boleh bercuti di luar negara di bawah laluan perjalanan penumpang divaksin (VTL) yang dilaksanakan baru-baru ini.

“Pekerja jagaan kesihatan kita bertugas menjangkaui tanggungjawab mereka untuk menjaga pesakit. Pihak hospital cuba meminimumkan kakitangan bekerja lebih masa,” kata Dr Puthucheary.

Beliau turut menarik perhatian bahawa para jururawat bekerja purata 160 hingga 175 jam sebulan pada September lalu.

Bagi menangani kekurangan tenaga kerja, Kementerian Kesihatan (MOH) sedang giat mengerahkan semula tenaga kerja untuk berkhidmat sebagai pembantu jagaan kesihatan pesakit di institusi-institusi kesihatan.

Ia juga merekrut pekerja jagaan kesihatan dari luar negara.

“Institusi-institusi jagaan kesihatan awam kita juga telah mempertingkatkan usaha mereka untuk menyokong kakitangan dan menjaga kesejahteraan mereka. Ini termasuk menyediakan khidmat kaunseling, talian bantuan kakitangan dan program sokongan rakan sekerja,” kata Dr Puthucheary.

Menjawab soalan Dr Tan Wu Meng, Anggota Parlimen GRC Jurong, yang bertanya tentang jabatan hospital yang mengambil kira cuti sakit sebagai salah satu petanda untuk memantau prestasi kerja, Dr Puthucheary memberi jaminan bahawa walaupun terdapat insiden terpencil sebelum ini, amalan sedemikian sudah dihentikan.

Beliau menegaskan, pekerja jagaan kesihatan yang prihatin terhadap cuti sakit yang dikhuatiri akan menjejas penilaian prestasi mereka, boleh menghubungi kesatuan masing-masing, MOH, atau Kementerian Tenaga Manusia (MOM) untuk mendapatkan bantuan.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan